top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

ULASAN BUKU BRADER, KITA MESTI TERUS HIDUP



Selesai membaca catatan ikhlas dan jujur Nasir Jani ni.


Kali pertama aku dengar nama Nasir Jani adalah ketika menonton filem Rock. Wataknya sebagai cameo je, jadi juri Battle of the Band. Juri-juri yang lain aku kenal, Amy Search dan Man Kidal, tapi Nasir Jani ni siapa?


Jangan salahkan aku sebab tak kenal. Aku lahir zaman band yang mula dengan huruf S. Spoon, Spin, Slam, Screen. Nasir Jani zaman sebelum tu lagi. Tapi dalam buku ni juga aku dapat tahu kenapa aku tak kenal dia.


Lama lepas aku tonton filem Rock, aku dapat tahu pasal filem Kembara Seniman Jalanan. Filem ni aku tahu dari buku Balada Pyanhabib dan buku tu betul-betul buat aku semangat nak tonton filem ni. Aku cari filem ni dalam Youtube. Aku jumpa lalu aku muat turun. Ironi, aku muat turun sebuah filem tentang cetak rompak secara percuma di internet.


Filem tu hebat. Kau yang acah-acah peminat filem wajib tonton filem ni. Setakat bangga pernah tonton semua francais Marvel, Harry Potter atau Lord of the Rings apa jadah? Khazanah filem tempatan kau tak pernah ambil peduli.


Buku ni sangat liar. Angkuhnya tak berapa, sebab bagi aku Nasir Jani tak angkuh. Dia seorang lelaki Melayu tipikal yang bijak dan ikhlas. Lelaki Melayu terkenal dengan barannya.


Tak payah sembanglah lelaki Melayu ni sopan, beradab. Pergi kedai kopi mana-mana kampung atau pekan kecil, mana sah bersembang kalau tak mencarut. Mereka hanya sopan dan beradab kalau masuk tv, depan mak mertua dan bos mereka. Tapi tidak Nasir Jani. Dia pernah menyebabkan sebuah rancangan tv dihentikan penyiarannya. Ya, sebelum Rosnah Mat Aris, ada Nasir Jani.


Nasir Jani sangat terbuka dan jujur dalam menentang penindasan dan ketidakadilan. Susah nak jumpa orang macam ni sekarang. Aku sukakan takdir Tuhan yang membawa aku membeli buku ini ketika aku keluar bersama rakan menikmati cuti sempena hari kemerdekaan. Dalam buku ini, aku jumpa manusia yang benar-benar merdeka!


Nasir Jani menegakkan pendirian dan pendapatnya tanpa sebarang rasa takut akan kehilangan punca rezeki. Dia tidak takut pada ancaman penguasa. Dalam hatinya, dia hanya mahu menyampaikan kebenaran dan isi hatinya. Ini betul-betul merdeka!


Aku jangka aku akan banyak baca nama Pyanhabib dalam buku ni. Tambahan pula muka depan dihias wajah penyair pelat itu. Rupa-rupanya nama yang paling banyak disebut ialah Ito Mohammad. Ito kawan baik Nasir yang paling kenal Nasir dan paling banyak bersama Nasir di waktu sukarnya. Itu yang aku dapat tahu dari buku ini.


Buku ini mengsintesis dunia seni dan politik Malaysia. Bahasanya kasar, ada kalanya sangat kasar, tetapi isinya murni dan suci. Percaya kata aku. RM25 itu berbaloi dihabiskan untuk naskhah ini.


Brader, Kita Mesti Terus Hidup!


*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 2 September 2016

2 views0 comments

Comments


bottom of page