top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

TENTANG IMEJ



Dua tiga hari ni aku banyak menulis posting yang melawan norma dengan hashtag #AntiSeragam. Boleh klik pada hashtag ni untuk lihat semula posting-posting itu.


Pengalaman praktikum, campur dengan pengalaman #Edtalk dan beberapa bacaan yang lain, membawa aku kepada idea Antiseragam ni. Lalu idea Antiseragam ni pula membawa aku kepada satu pengalaman berfikir yang mendalam tentang imej. Aku ambil pengajaran daripada pengalaman lepas, jadi aku akan jelaskan pandangan akhir berkenaan posting ini pada perenggan akhir nanti.


Sejak sekolah, kita diajar untuk berpenampilan kemas dan segak. Rambut sikat tepi, pakai Tancho, baju tuck in, baju bergosok.


Berpenampilan kemas ni menjadi satu kemestian pada pelajar sekolah, supaya kita dipandang tinggi oleh orang. Pelajar yang kemas dan segak adalah pelajar baik dan dicontohi. Pelajar yang rambut tak bersikat, baju malas tuck in, muka selebet macam tak mandi pula pelajar yang jahat dan nakal. Degil dan menjadi liabiliti buat pihak sekolah. Di sinilah, imej tercipta.


Imej merupakan penilaian lapisan pertama (first layer of judgement). Penilaian lapisan pertama merupakan tahap yang paling rendah. Tak perlu fikir, nampak sahaja dah boleh menilai. Jadi, penilaian lapisan pertama inilah yang paling digemari orang.


Benda tak payah fikir, mestilah orang suka. Orang biasa menggunakan lapisan tahap pertama ini sebagai tapisan tahap pertama. Kalau dalam temuduga, aspek imej dulu diambil kira. Kau salah sikat rambut, gagallah kau. Kau salah pakai tie, gagallah kau. Kau salah warna baju pun boleh buat kau gagal. Aku pun tak tahu apa kaitan warna baju dengan kebolehan kerja.


Orang menilai dengan imej sebab kita daripada kecil dah dididik untuk menjaga imej. Imej dah jadi perkara terpenting sekarang.


Memori pahit paling segar dalam ingatan rockers negara ni mungkin peristiwa pemotongan rambut oleh menteri secara live di kaca tv dulu. Aku tak tengok pun, tapi aku banyak dengar dan baca cerita ni, yang terbaharu dalam buku Nasir Jani.


Yang aku faham, kerajaan haramkan imej berambut panjang dalam kalangan rockers supaya anak muda tak terlibat dalam masalah moral. Peristiwa tu menjadi titik mula kemeruduman industri rock kapak.


Fenomena rock kapak digantikan dengan rock leleh. Search berganti Spoon, Wings berganti Spring dan Lefthanded berganti Screen. Lagu lebih banyak berkisar cinta antara jantina tanpa sebarang mesej subliminal tentang kemanusiaan mahupun ketuhanan.


Aku masih terkesan dengan lagu Asyik daripada Damasutra. Lagu tu, kalau aku tengah nak bunuh orang, boleh terbatal niat sebab dengar lagu tu.


Rock leleh diganti pula dengan fenomena kugiran muka jambu tanpa bulu. Mula dengan Exists (yang ni power lagi), kemudian New Boyz dan Boboy. Imej mereka ni lebih bersih dan suci. Keterampilan mereka sangat polos macam belum baligh. Tapi lagu mereka lebih jauh tersesat dalam alam cinta remaja.


Kalau dibandingkan imej mengikut skema yang ditanam dalam minda kita di waktu sekolah, dalam tiga zaman ini, zaman New Boyz tu lah yang paling manang. Imej muka suci rambut belah tengah tu akan dianggap sebagai orang yang baik dan tak dibenci ibu mertua. Tapi cuba kau banding lagu kugiran berimej ganas tu dengan lagu mereka.


Antara menggigil tubuh dengar azan (Seruan-Lefthanded) dengan menggigil tubuh tengok makwe dengan lelaki lain (Meraung-New Boyz) mana lagi baik? Lirik-lirik power lagu rock kapak dipandang sepi masyarakat kerana imej mereka yang dinilai mengikut skema yang sekolah terapkan.


Oleh sebab masyarakat lebih suka menilai imej, mudah orang nak buat jahat. Analoginya, sebab biri-biri dah diajar untuk percaya dan sanjung binatang yang berbulu macam mereka (imej biri-biri), serigala dengan mudah kencing muka mereka. Sarung bulu biri-biri, terus dapat kepercayaan.


Oleh sebab masyarakat memandang tinggi orang berimej baik (kemas, segak, pakai blazer), orang yang hati busuk hanya perlu sarung kemeja dan blazer, sapu minyak di kepala dan berkasut kulit berkilat sentiasa, terus hilang bau busuk di hati mereka. Boleh jadi juga blazer yang disarung itu jubah, minyak yang disapu tu serban dan kasut yang berkilat tu capal.


Kebergantungan kita kepada penilaian lapisan pertama telah memudahkan orang memijak lalu kencing kepala kita.


Jadi, perlukah kita mansuhkan semua peraturan-peraturan yang mewajibkan pelajar berpakaian kemas ke sekolah?


Tidak. Malahan berpenampilan kemas, cantik dan bersih itu juga tuntutan agama. Cuma yang perlu kita elakkan ialah stereotaip kita terhadap pelajar/orang yang penampilannya tak kemas.


Janganlah nampak orang rambut panjang terus kita stereotaip sebagai penyangak. Lepat bagi ceramah agama pasal makrifat kita tak nak terima sebab rambut dia rasta. Murid-murid, janganlah dicop nakal hanya sebab penampilan mereka. Kalau sikap mereka nakal, tegurlah sikap mereka bukan penampilan mereka. Jangan distereotaip semua murid yang penampilan tak kemas sebagai budak jahat, takut-takut kalau dia sebenarnya baik tapi sebab stereotaip kita dia memilih untuk jadi jahat.


Kita yang dah dewasa, ada akal, dah matang, janganlah menilai hanya pada lapisan pertama. Orang alim bukan sebab dia pakai jubah, tapi sebab ilmunya. Orang kejam bukan sebab baju Slipknot atau parut pada mata, tapi sebab jiwanya. Suharto, George Bush, dan pelaku korupsi dan jenayah kemanusiaan besar-besaran yang lain mengajar kita yang sut mahal tak menjamin perikemanusiaan.


*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 21 September 2016

4 views0 comments

Comments


bottom of page