Berita-berita menjengkelkan tentang protes Rohingya di Kuala Lumpur hadir serentak dengan virus demam, selsema dan migrain yang menyerang aku sejak semalam. Mungkin itu faktor aku sangat mudah melenting bila membacanya. Namun selain daripada itu, ada juga faktor lain yang buat aku rasa betul-betul jengkel dengan sentimen anti-Rohingya yang dilaung bangga oleh para Melayu fasis dan rasis.
Sekitar 40 tahun dahulu, Profesor Datuk Dr Syed Husein Alatas menulis sebuah buku bertajuk Mitos Peribumi Malas (The Myth of a Lazy Native). Buku ini merupakan antitesis kepada pandangan ramai sarjana Barat yang menganggap kaum peribumi di sekitar Asia Tenggara ini sebagai malas dan beberapa lagi label negatif seperti suka berhibur dan pengotor. Ketika semester akhir, aku ada meneliti sebahagian fragmen buku ini sebagai rujukan untuk tugasan subjek Asia Tenggara Abad Ke-20.
Memahami idea dalam buku ni buatkan aku faham bahawa bangsa Eropah dah lama guna strategi pembunuhan karakter (character assasination) untuk merasionalkan tindakan kejam mereka di tanah-tanah jajahan mereka.
Tadi aku baca satu lagi artikel yang berkaitan dengan mitos ini, iaitu artikel yang bertajuk Pendapat Mengenai Mitos Melayu Malas yang ditulis oleh Randy Noralyza. Kandungan artikel ini menyedihkan.
Antara yang dicatat ialah pandangan Isabella Bird tentang bangsa Melayu yang disifatkan sebagai pemalas kerana mengerjakan sawah secara sambil lewa, suka hiburan kerana banyak terlibat dengan judi sabung ayam dan mempunyai pelbagai jenis tarian, pengotor kerana suka makan sireh dan menjijikkan serta tidak berperikemanusiaan kerana menggunakan kerbau untuk membajak sawah. Ada satu lagi pendapat tapi aku tak nak masukkan sebab status ni akan jadi terlalu panjang.
Kenapa orang Eropah perlu mengenakan label negatif ini kepada orang Melayu?
Kawan-kawan, inilah caranya untuk menjadikan bangsa mereka lebih superior seterusnya menghalalkan perbuatan mereka menjajah tanah ini.
Pernah dengar terma Beban Orang Putih? Kononnya bangsa kulit putih ini membawa tamadun bersama bagasi-bagasi mereka, masuk ke negara-negara yang masih belum merasa nikmat bertamadun dengan tujuan suci memperkenalkan tamadun dan memajukan mereka. Dalam masa yang sama,mereka turut menggerakkan agenda ekonomi dan ideologi mereka disini.
Di Kepulauan Jawa lebih teruk. Golongan konservatif menggunakan alasan peribumi di sana malas untuk menghalalkan sistem tanaman paksa yang dijalankan mereka. Peribumi dipaksa untuk bekerja dan keuntungan dihantar ke bumi Belanda. Nasib baik ada golongan Liberal yang menghentikan sistem keji ini. Liberal yang bukan liberal lancungan seperti Auni Ameera.
Dan kawan-kawan, hari ini sempena dengan sambutan kemerdekaan kita yang ke-60, kita dapat lihat betapa bangsa Melayu kini sudah setanding dengan bangsa Eropah dahulu.
Demi menidakkan perjuangan etnik Rohingya yang mengganggu trafik mereka pada suatu petang, bangsa yang pernah dibunuh karakternya kini pula yang membunuh karakter etnik malang ini.
Liberal lancungan si Auni Ameera mengatakan etnik ini pembawa penyakit, maka let's kick them out. Sultan Melaka tukang troll murahan menyokong dengan hujah, "hanya mereka yang pernah berurusan dengan mereka tahu perasaannya". Seorang lagi lelaki yang dikaburkan nama Facebooknya hadir dengan sebuah dialog yang entah betul entah direka, menunjukkan etnik ini ini biadap, maka jangan dibantu lagi mereka.
Ya, kita tahu ada dalam kalangan etnik Rohingya yang sikapnya buruk, tapi bangsa mana dalam dunia ni yang tak terlepas dari dihuni orang bersikap buruk? Macam juga label yang diberi kepada Melayu dahulu, memang ada Melayu yang malas, pengotor dan suka berhibur tak ingat dunia, tapi adilkah nak hukum seluruh bangsa kerana sikap mereka yang segelintir ni?
Siapa sangka, bangsa kesayangan kita ini sudah berevolusi daripada bangsa tertindas, kepada bangsa maju yang lupa pada akar bangsa sendiri. Siapa sangka, kan?
Inilah kita selepas 60 tahun merdeka. Walaupun tak pernah gagal melaungkan rasa benci dan jijik kepada penjajah kita dahulu, tanpa kita sedar kita sendiri bersikap seperti mereka. Apalah ertinya merdeka kepada kita, kalau kemerdekaan itu sendiri membasuh rasa benci kita kepada kekejaman dan kezaliman.
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 1 September 2017
תגובות