Isu pemisahan jantina dalam bas, aku memilih untuk menerima pendapat kedua-dua blok - penyokong dan pengkritik.
Tindakan syarikat bas berkenaan memang patut disokong kerana ia mampu mengurangkan masalah yang menjadi dilema kebanyakan pengguna bas ekspres berjantina wanita, iaitu gangguan seksual.
Aku pernah juga dengar keluhan kawan-kawan wanita aku bila naik bas. Ada lelaki yang tidur dengan kadar lentok yang berlebihan yang menyebabkan mereka tak selesa dan lain-lain situasi yang tidak mereka gemari. Mungkin ada yang pernah diraba, tapi terlalu malu untuk menceritakan. Siapa tahu?
Aku juga masih ingat ketika aku naik bas dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur, bas agak lengang tetapi seorang lelaki masih mahu duduk di sebelah seorang penumpang perempuan yang aku pasti tidak saling mengenali. Tindakan itu mengganggu aku sebab belakang banyak lagi kerusi kosong, tapi sebab mengantuk sangat, aku tidur dan tak tahu apa yang terjadi selepas itu.
Jadi tindakan ini baik sebab memberi pilihan kepada wanita untuk berada dalam situasi yang lebih selamat dan selesa. Lagipun itu polisi syarikat tersebut sahaja, jadi kalau ada yang tak suka boleh pilih syarikat bas lain. Kalau dah tak ada syarikat bas lain, redha saja lah.
Dan aku juga menyokong kritikan yang diberi. Kritikan ini aku spesifikkan pada kritikan Norhayati Kaprawi. Kalau kau nak baca, searchlah nama ni.
Aku sokong sebab aku nampak Kak Yati memandang dari sudut yang lebih luas. Dan aku sokong kritikan ini untuk hadir pada ketika ini kerana sebagai aktivis wanita, bukan mudah untuk beliau mencuri perhatian rakyat Malaysia berkenaan mana-mana isu wanita. Kau fikirlah semula, berapa kali sangat kau baca post tentang isu wanita daripada aktivis wanita seperti beliau? Ini adalah kesempatan yang patut beliau ambil supaya pandangan didengari oleh warga yang lebih ramai.
Dan pandangan beliau itu betul. Kita tak patut berpuas hati dengan tindakan ini semata-mata. Macam yang aku perjuangkan semasa Debat Gender tempoh hari, aku masih percaya yang tindakan afirmatif (diskrimasi positif) ini ada tindakan sementara yang tidak punya kesan yang betul-betul teguh untuk mengubah sesuatu keadaan, terutamanya dalam soal gender.
Kak Yati memperjuangkan supaya diwujudkan rang undang-undang yang boleh menghukum pesalah gangguan seksual di tempat awam, kerana selama ini kita cuma ada undang-undang untuk pesalah gangguan seksual di tempat kerja. Dan lebih penting lagi, pendidikan kepada warga supaya selalu aktif dan reaktif dalam hal gangguan seksual.
Maka, kedua-duanya boleh kita terima. Jangan marah orang yang menyokong dan jangan marah orang yang mengkritik. Kecuali kalau cara mereka menyokong dan mengkritik itu salah.
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 31 Disember 2016
Comments