top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

BELASUNGKAWA HARMI MOHAMAD JAMIL




Semalam Hafirah HT menulis dalam ulasan, kisah debat dalam #ProjekKonvo bagai air lalu sahaja. Tak pasti kisah debat penulis yang mana, tapi kalau kisah aku, memang ia bagai air lalu sahaja. Aku cuma sentuh permukaan. Tapi kalau kau nak tahu, kandungan belasungkawa ini adalah antara fasa penting dalam kisah debat aku.


Kau nak tahu, aku mula bersemangat berjuang dalam debat intervarsiti selepas menonton Haziq Jamaluddin dalam Debat Alam Sekitar 2014 di UniMAP. Selepas DAS, aku terpilih pula untuk ASTAR 2015, dan kami diberi peluang untuk menghadiri bengkel kelolaan seorang legenda debat yang aku tak kenal pun ketika itu, iaitu Harmi Mohamad Jamil. Sesinya sekejap sahaja tak silap, tapi ada magis yang membentuk kimia antara kami.


Bengkel itu diteruskan dengan sesi makan-makan di Saudagaq Sup Junior, dan selepas itu kami masih terus berhubung dan bersenda melalui media sosial. Kau selaklah garis masa aku ni, kau akan jumpa post Cikgu Harmi tentang AJL, yang mana beliau membuat ramalan reaksi setiap daripada kami ketika menonton AJL malam itu.


Dan ASTAR adalah keajaiban. Kami ke separuh akhir. Tiada siapa pun yang sangka, termasuklah kami sendiri. Kuncinya kes kami kuat, dan punca kes kami kuat adalah hasil tunjuk ajar beliau tentang formula dalam debat. Bagaimana memahami kes debat itu sebagai sebuah formula. Untuk bina kes yang kukuh, perlu hasilkan formula hujah yang kemas. Begitu juga untuk patahkan kes lawan, putuskan rantaian formula mereka!


Aku jumpa kekuatan dan semangat dalam Astar, lalu aku bawa ke Debat Diraja di UMP. Di sana, pertama kali aku dapat pendebat terbaik dalam debat intervarsiti. Kata FaMieza Aida, aku caras Canigia Uden. Kami tak break, tapi aku dapat rasa peningkatan prestasi aku.


Kau tahu, ketika pusingan akhir saringan, ada pendebat yang beri amaran kepada kami supaya "jangan malukan Cikgu Harmi!", seolah-olah Cikgu Harmi jurulatih rasmi kami. Sedangkan tidak, dia ajar kami dua jam sahaja!


Tapi itulah magis kimia antara kami dengan Cikgu Harmi.


Tahun lepas, aku dijemput menjadi juri di SBPI Gombak. Pertama kali jadi juri debat sekolah. Cikgu Harmilah yang jemput. Aku hanya kenal beberapa orang di sana, tapi Cikgu Harmi bantu letakkan imej yang baik pada aku di sana. Dia puji post-post aku di Facebook.


Oh ya, aku ingat lagi. Dia tertarik dengan ulasan Train To Busan aku, dan dia tonton filem itu di pawagam sebab ulasan aku. Dia pernah minta aku ulas satu lagi filem tapi tak tonton filem tu.


Dalam pertandingan itu aku dipilih menjadi juri pertandingan akhir, dan ia satu penghormatan bagi aku. Aku dapat belajar banyak tentang penjurian daripada Cikgu Harmi.


Hari ini Cikgu Harmi dah pergi. Seluruh penggiat debat perlu bersedih, aku kira. Sebahagian besar pendebat yang ada sekarang pernah menerima sentuhan didikan daripada Cikgu Harmi.


Tiada apa yang dapat diucap, selain selamat pergi. Tiada apa yang dapat diserah, selain doa mengiringi. Tiada apa yang dapat disumbang, selain ilmumu dimanfaati.


Terima kasih Cikgu Harmi Mohammad Jamil. Damailah, dan tuailah hasil takwamu di sana kelak.


*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 26 Oktober 2017

4 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page