Nyanyi Fred Durst,
"no one knows what it's like to be a bad man, to be a sad man."
Mungkin suara Fred ini mewakili suara ramai lagi orang-orang jahat di luar sana. Tiada siapa yang pernah fikir apa rasanya menjadi mereka. Tiada siapa fikir apa rasanya lahir dalam keluarga yang berpecah-belah. Tiada siapa fikir bagaimana rasanya menjadi anak kecil yang didera ibu atau bapa, atau remaja yang setiap hari menadah telinga secara paksa mendengar pertelingkahan ibu dan bapa.
Itupun kalau semua orang jahat itu hidupnya begitu.
Dua malam yang lepas, aku duduk dalam bulatan di pinggir kolam di Kem KARISMA, Juasseh. Bersama aku ada 9 orang pelajar Tingkatan 5 SMK Dato Haji Mohd Redza. Daripada sembilan pelajar tersebut, terdapat dua orang budak lelaki yang sangat pendiam.
Mendengar pengakuan dan keluhan mereka sebelum itu, dapat aku rumuskan dua lelaki ini menjadi begitu pendiam kerana keyakinan diri mereka sudah lama mati dibunuh sistem pengasingan kelas di sekolah. Mereka dari kelas hujung, mungkin sudah biasa dilabel bodoh.
Mendiamkan diri adalah perisai terbaik buat mereka daripada terus dilabel bodoh kerana mungkin bagi mereka, setiap patah kata yang terpacul dari mulut mereka akan diperlekeh oleh pelajar lain yang menghuni kelas-kelas yang lebih pangkal.
Sampai bila pendidikan kita harus begini?Adik-adik ini bukan Fred Durst yang mampu meluahkan rasa hati dengan seni kata, malah mereka mungkin tak tahu pun yang ada sebuah kugiran yang pernah suarakan isi hati mereka. Tapi suara mereka telah kita bunuh dengan sistem, dengan label.
Berkali-kali aku pesan pada mereka, mereka ada potensi dalam diri yang mungkin masih bersembunyi. Cari dan kembangkan. Juga aku pesan berkali-kali, jangan pernah berani masuk ke lubang jenayah. Seperti lubang yang memenjara Bruce Wayne dalam filem The Dark Knight Rises, begitulah lubang jenayah. Sekali masuk, cukup payah nak keluarkan diri.
Aku cuma tak mahu suatu hari nanti mereka akan menyanyikan lagu ini dalam tangis. Ketika itu mungkin sudah terlambat kerana mereka telahpun bergelar 'bad man', juga 'sad man'.
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 26 September 2017
Comments