Baru-baru ini aku ada kongsikan perkongsian Aidil Khalid tentang puisi SN Dr Zurinah Hassan yang dibacakan oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pada ucapan penggulungan beliau di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Tajuk puisi tersebut ialah Korban Hang Tuah.
Hari ini, untuk mengisi masa aku di perpustakaan, aku cari mana-mana buku yang mengandungi sajak ini dan alhamdulillah, aku bertemu dengan buku yang sangat tepat dengan kemahuan aku, iaitu buku Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan.
Dalam buku ini aku dapat tahu yang ini bukan pertama kali puisi tersebut diguna pakai dalam Perhimpunan Agung UMNO, malah bukan juga pertama kali ia dibacakan oleh DS Hishamuddin. Kali pertama ia dibacakan oleh DS Hishamuddin adalah pada PAU 1999 yang pada waktu itu beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Ketika ini, ia didedikasikan kepada Tun Dr Mahathir yang pada ketika itu masih dibadai gelombang reformasi akibat pemecatan DS Anwar Ibrahim. Kemudian, ia dijadikan rujukan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika PAU 2003 yang ketika itu memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO. Kata Tun Abdullah,
"Sasterawan Zurinah Hassan secara tepat dalam puisinya mengungkapkan bahawa yang ditentang oleh si Tuah bukannya Jebat, tetapi penderhakaan dan perebutan kuasa.Yang dipertahankan oleh Si Tuah bukannya Raja, tetapi sebuah kerajaan. Kerana tanpa kerajaan tidak akan wujud sebuah negara. Tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa. Episod yang berlaku menghilangkan keramat Keris Taming Sari. Taming Sari lambang kekuasaan, digunakan untuk bertarung sesama sendiri. Hang Tuah juga tidak berupaya mempertahankan kejatuhan Melaka."
Kemudian, sajak ini juga dirujuk oleh Sultan Nazrin Shah (ketika itu Raja Muda Perak) pada tahun 2009, dengan bertitah :
"Dalam puisi Korban Hang Tuah, penyair Zurinah Hassan cuba menyelami gelombang serba salah yang menghempas dada Hang Tuah ketika terpaksa membuat perhitungan untuk memilih antara kesetiaan kepada sahabat dan kesetiaan kepada raja. Hang Tuah akhirnya terpaksa memilih, mengorbankan sahabat kesayangan walaupun dituduh melakukan kesetiaan melulu. Zurinah menghuraikan Hang Tuah sebenarnya tidak sekadar membunuh Hang Jebat tetapi menentang satu penderhakaan - menentang perebutan kuasa. Bagi Zurinah, Hang Tuah bukan sekadar mempertahankan seorang raja tetapi mempertahankan lambang negara kepada sebuah kerajaan demi memastikan bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia. Tanpa kerajaan apalah ertinya sebuah negara."
Ini petikan sajak tersebut :
"Jebat, tahukah kau betapa terseksanya aku bila Bendahara membawa khabar tentang penderhakaanmu.
Semalam aku tidak tidur gelombang serba salah menghempas ke dadaku aku menimbang dan mengenang kaulah sahabat yang kusayang bagaimana dapat kutusuk keris itu ke badanmu.
Alangkah sukarnya membuat pilihan jika aku pulang membunuh Jebat aku akan kehilangan kawan tapi jika aku membiarkan kau menderhaka bangsaku akan kehilangan Tuah.
Lalu aku pilih untuk mengorbankan sahabat kesayanganku sendiri walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu atau dikutuk kerana kesetiaan yang melulu.
Biarkanlah kuharap disuatu waktu nanti bila bangsaku berpecah belah mereka akan menyedari bahawa si Tuah bukan menentang Jebat tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa yang kupertahankan bukan raja tetapi kerajaannya tanpa kerajaan tidak kan wujud sebuah negara tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa.
Jebat, aku mungkin tidak begitu bijaksana tetapi inilah usaha terakhirku agar tanah airku tidak akan hilang kerajaanya bangsaku tidak akan hilang ketuanannya dan Melayu tidak akan hilang di dunia."
Cuba kita renungkan kandungan sajak ini, dan kaitkan dengan situasi semasa. Apa kefahaman yang boleh kita lahirkan?
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 6 Disember 2016
Commentaires