Alhamdulillah, satu lagi kemajuan buat diri aku apabila terpilih dan memilih untuk menjadi salah seorang juri untuk Pertandingan Debat Tunas Muda 2016 di SBPI Gombak bermula Jumaat hingga Ahad (petang tadi). Satu pengalaman yang sangat segar untuk aku yang tak pernah terlibat dengan debat sekolah melainkan membantu serba-sedikit Encik Fawiz Bakri melatih adik-adik SESERI tak lama dahulu.
Penghargaan yang sangat tinggi perlu aku berikan kepada Cikgu Harmi Mohammad Jamil yang sudi menjemput aku yang dangkal pengalaman ini menjadi juri, lebih-lebih lagi sebagai juri persidangan akhir.
Dalam debat ini, aku berjumpa dengan ramai wajah-wajah penting dalam industri debat di negara ini, yang kebanyakannya baru aku kenal. Aku juga sangat berbangga bila diletakkan sebaris dengan orang-orang power semasa menjadi juri persidangan akhir.
Fatehah dari UPNM, walaupun usianya lebih muda daripada aku, tapi pengalamannya lebih luas. Semangatnya juga gila power. Encik Jailani dan Encik Rafee, orang kuat pendidikan negara. Abang Mohd Adam Salam, antara senior debat intervarsiti yang terawal aku kenal. Ramah dan rendah dirinya memang tak terlawan. Encik Azwan, usahawan muda yang memang menginspirasikan. Dan yang paling penting, yang aku anggap guru debat aku walaupun hanya mengajar aku debat secara rasmi selama beberapa jam sahaja, Cikgu Harmi.
Debat ini adalah pentas pertarungan pendebat-pendebat junior sekolah yang rata-ratanya berusia dari 13 hingga 15 tahun. Tetapi kualiti perdebatan yang mereka tunjukkan melangkaui kualiti debat dalaman yang biasa dianjurkan di UPSI yang pesertanya dalam lingkungan 18 hingga 23 tahun. Mereka sangat hebat.
Melihat kehebatan adik-adik ini, ada buah fikir yang terlahir. Aku nampak ramai manusia power yang zaman universitinya terkenal sebagai pendebat. Syed Saddiq, MatRodi, Jufazli Shi Ahmad serta Rem Dambul. Ini antara yang aku kenal, aku pasti masih ramai pendebat yang kini menjadi manusia hebat.
Maka aku terfikir, peranan senior, jurulatih serta guru-guru debat ini begitu penting dalam membentuk komuniti yang berpotensi sebagai pemimpin pada masa akan datang ini.
Tapi kita mungkin terkeliru, kita nak bentuk anak-anak yang begitu petah berkata-kata menjadi apa? Ilmu-ilmu orator yang kita turunkan kepada mereka ini, untuk mereka mereka gunakan sebagai apa? Dan yang lebih penting lagi, dalam menurunkan ilmu orator yang begitu luas ini, kita mahu fokuskan kepada apa?
Aku selalu berpendapat, menjadi pendebat yang hebat ini tidaklah begitu bermakna dalam hidup. Kalau kita bermula di sekolah, kita akan masyhur di sekolah, kemudian menjadi rebutan universiti, dan menyambung kemasyhuran di peringkat universiti.
Pengalaman debat juga aku yakini akan membantu kita mendapat pekerjaan yang baik dan kita juga akan banyak terlibat dengan program debat selepas itu. Tapi selepas itu apa?
Apa yang mampu debat ini beri kepada kita, dalam perjalanan kita mengenali diri sendiri? Apa yang mampu debat ini beri kepada kita, kemudian boleh pula kita gunakan manfaat yang sama untuk saling membantu sesama manusia?
Dayang Sifar dalam Filsuf Untuk Noob ada bercerita tentang golongan Sophist yang wujud pada zaman kegemilangan tamadun Yunani. Menurut beliau, golongan Sophist ini merupakan antitesis kepada ahli falsafah, kerana perjuangannya adalah untuk menguntungkan diri dengan memanfaatkan kebolehannya menguasai bahasa dan seni retorik berbanding ahli falsafah yang mencari kebenaran dengan mementingkan usaha berfikir dan bersikap rasional.
Tambah beliau lagi, golongan Sophist ini juga tidak berminat untuk mencari kebenaran mengenai alam, sebaliknya lebih berminat untuk menunjukkan kebolehan retorik untuk memenangi debat-debat.
Kini, golongan Sophist bagaikan terlahir semula dengan wajah baharu, iaitu sebagai Peliur Gula. Peliur Gula ini aku rujuk sebagai manusia-manusia yang dikurniakan kebolehan berkata-kata tetapi digunakan dengan tujuan yang buruk.
Kebolehan mempengaruhi orang lain dengan kata-kata itu digunakan untuk memperdaya manusia dengan fantasi dan janji-janji supermanis, dan tujuannya adalah semata-semata untuk kepentingan diri sendiri, atau kelompok yang diwakilinya. Para pendusta MLM, saintis-saintis palsu serta ahli politik yang kerjanya menipu, inilah antara contoh Peliur Gula.
Gula terkumpul pada pinggir bibir mereka, lalu dengan menggunakan lidah mereka meratakan gula tersebut pada seluruh permukaan bibir. Dan dengan bibir yang sama, mereka meludah-ludah wajah pendengar-pendengar mereka sehingga penglihatan menjadi kabur dan akhirnya buta.
Pemilik bibir lembab dan melekit tadi meraih laba yang lumayan hasil pembutaan pendengar-pendengar tadi yang membelanjakan wang serta tenaga yang banyak demi mengejar kebenaran yang palsu.
Menyedari kewujudan dua golongan ini, aku percaya bahawa ilmu orator perlu hadir dengan tanggungjawab yang tinggi. Pandai bercakap membuka peluang untuk seseorang menjadi manusia yang sangat baik, tetapi turut membuka peluang untuk dia menjadi seorang yang sangat jahat.
Yang paling utama dalam mendidik seorang pendebat bukanlah teknik berbicara dengan berkesan, atau semangat bersaing yang tak pernah padam. Pendebat perlu diajar mengutamakan kebenaran yang merupakan seri ilmu. Selepas mereka faham dan menghayati seri ilmu ini, barulah yang lain-lain hadir.
30 Ogos yang lalu, Drew Faust sebagai Presiden Universiti Harvard dalam ucapan selamat datangnya kepada pelajar-pelajar Class of 2020 memberi amanat supaya para pelajar universiti ternama itu merangkul seerat-eratnya motto universiti tersebut, iaitu Veritas.
Veritas membawa maksud kebenaran. Menurut beliau lagi, Veritas perlu menjadi inspirasi dan aspirasi pelajar-pelajar tersebut. Aku percaya Veritas juga perlu menjadi inspirasi dan aspirasi para pendebat dalam perjalanan mendalami ilmu ini.
Kalau ini dilakukan, kita berpeluang cerah membentuk generasi yang lebih baik berbanding generasi kita sekarang.
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 23 Oktober 2016
Comments