Iklan Karya 12 di Astro Citra menggambarkan sebuah projek mega yang sangat mengangkat seni. Barisan pengarah yang terlibat juga hebat-hebat. Lebih menarik apabila dalam iklan tersebut pengarah-pengarah ini berbicara tentang definisi karya. Konsep ini menggambarkan kebijaksanaan, ketelitian dan kehalusan hasil kerja. Namun selepas menonton The Berlian Job oleh Rashid Sibir dua minggu lepas, aku kecewa.
Minggu ini giliran salah seorang pengarah kegemaran aku menampilkan hasil kerja beliau, iaitu Nik Amir Mustapha. Power! Sangat power!
Aku fikir, karya ini menepati jangkaan aku selepas menonton iklan Karya 12. Ia benar-benar sebuah karya yang boleh dianggap mahakarya, dan aku fikir karya ini benar-benar autentik dan datang dari 'Eureka Moment' seperti yang Nik Amir sendiri katakan dalam iklan tersebut.
Karya ini sebuah penghargaan terhadap anak seni secara umumnya dan secara spesifiknya penghargaan kepada penggiat seni teater. Kenapa Ilham memilih teater untuk menyampaikan kisahnya bersama Indah? Dan kenapa pementasannya begitu intim? Tiada pentas dan penonton berada rapat dengan pelakon, kenapa?
Telemovie ini dibangunkan dengan asas filosofi. Perjalanan ceritanya disulam dialog-dialog filosofikal yang sangat bijak.
Satu tips, setiap kali melihat Redza Minhat sebagai penulis skrip, beri tumpuan kepada dialognya.
Idea-idea seperti tiada indah tanpa kesakitan, tiada cinta tanpa kehilangan, dan manusia tak mampu mencintai setiap inci manusia lain kerana cinta hadir bersama penipuan berpotensi memberi orgasme minda kepada sesiapa yang meneliti.
Kalau naskhah ini menjadi filem (aku fikir naskhah ni tak sesuai ditonton di pawagam), persembahan Rashidi Ishak telah meletakkan beliau dalam barisan pelakon elit lelaki Malaysia. Melalui watak Ilham oleh beliau, kita dapat melihat persoalan seni sebagai pelepas depresi. Rashidi secara fizikal dan spiritual berjaya menggambarkan keadaan seorang lelaki yang dikelambu depresi. Bagi aku dia hebat.
Babak penting telemovie ini adalah apabila Ilham dan Indah saling mengucap kata "I hate you". Babak ini diulang sebanyak dua kali (aku fikir tiga, tapi yang ketiga itu dalam keadaan senyap) dan yang menariknya, kedua-dua babak ini walaupun 90% sama, tetapi dilakonkan semula, bukan setakat mengulang lakonan sebelumnya. Ya, bila tidak 100% sama memang perlu dilakonkan semula tapi aku dapat lihat babak itu sengaja dilakonkan dengan sedikit perbezaan. Dialog ditutur dengan lebih laju. Aku tak tahu kenapa, atau adakah perbezaan ini signifikan, tapi aku fikir ia menarik.
Kalau korang tak sempat tonton malam ni, cubalah tunggu ulangannya. Aku yakin ia akan diulang beberapa kali dalam masa dua minggu ni. Sangat berbaloi untuk ditonton, percayalah.
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 7 Oktober 2017
Comments