top of page

UEC: Pastikan selaras Akta Pendidikan 1996

Writer: KU SYAFIQ KU FOZIKU SYAFIQ KU FOZI





KU SYAFIQ KU FOZI


KUALA LUMPUR 1 Ogos - Sebarang keputusan mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu selaras dengan Akta Pendidikan 1996.


Hal demikian ini kerana, menurut tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim, akta tersebut perlu menjadi satu-satunya instrumen pengiktirafan mana-mana sijil pendidikan di negara ini.


“Apa-apa persijilan swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak harus memperoleh taraf yang sama dengan persijilan kebangsaan.


“Apabila ada dua atau lebih bilangan persijilan pendidikan akan wujud polarisasi (kaum) yang mampu menjurangi bangsa Malaysia pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Beliau mengulas keputusan Kementerian Pendidikan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dianggotai pakar-pakar pendidikan bagi mengkaji dan mengumpul fakta mengenai UEC dari semua sudut.


Malah, tambah Rais lagi, seluruh silibus pendidikan juga perlu dibentuk mengikut acuan Akta Pendidikan 1996 dan falsafah Rukun Negara, Wawasan 2020 serta program Asuhan Budi perlu disepadukan dalam sistem pembelajaran kebangsaan.


“Sekolah kebangsaan wajib diperkasakan pedagogi, mata pelajaran dan disiplinnya serta harus melibatkan nisbah kaum yang sihat. Apabila suasana dan keadaan di sekolah kebangsaan berada pada tahap terbaik, amat mudah bagi ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan,” katanya.


Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pro­fesor Datuk Dr. Teo Kok Seong berpandangan, kerajaan perlu memastikan jawatankuasa yang ditubuhkan kelak mempunyai anggota yang seimbang.


Kata beliau, selain wakil daripada Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), jawatankuasa tersebut turut perlu melibatkan wakil daripada pihak yang membantah seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan tokoh-tokoh bahasa.


“Jawatankuasa yang ditubuhkan perlu meneliti kesan baik dan buruk pengiktirafan ini yang pada hemat saya, lebih banyak buruk daripada baik,” katanya yang turut mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa tersebut.


-habis-



Comentarios


017-8800432

  • facebook

©2020 by KU SYAFIQ KU FOZI. Proudly created with Wix.com

bottom of page