KU SYAFIQ KU FOZI
KUALA LUMPUR 28 Jun - Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dengan sokongan Majlis Perundingan Melayu (MPM) akan mengadakan sebuah perhimpunan aman untuk membantah penggunaan bahasa asing dalam urusan rasmi kerajaan di perkarangan Masjid Putra, Putrajaya selepas solat Jumaat, esok.
Ketua Dua Gapena, Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, perhimpunan ini terbuka untuk sesiapa yang berminat untuk ikut serta dan berharap tiada sebarang provokasi dilakukan sepanjang perhimpunan berlangsung.
“Perhimpunan ini adalah sebuah perhimpunan aman yang bertujuan untuk membawa suara rakyat yang mahu kedaulatan bahasa Melayu ditegakkan dan Perlembagaan Persekutuan dihormati.
“Hal ini kerana tindakan menggunakan bahasa asing dalam urusan rasmi, secara jangka masa panjang, boleh menyebabkan rakyat tidak berminat untuk mempelajari bahasa Melayu, terutamanya orang bukan Melayu dan situasi ini berpotensi mewujudkan perpecahan antara rakyat kelak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Minggu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menimbulkan kontroversi apabila pihak kementeriannya mengeluarkan kenyataan media berkenaan isu penyelewengan dana projek Tun Razak Exchange (TRX) oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam bahasa Mandarin.
Kontroversi tersebut menyebabkan ramai pihak tampil menyuarakan bantahan, termasuklah bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan.
Peserta perhimpunan akan berkumpul di Masjid Putra kemudian berarak ke bangunan Kementerian Kewangan bagi menyerahkan memorandum kepada Guan Eng.
Turut dilaporkan, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang juga merupakan ahli Lembaga Penasihat MPM akan mengetuai perhimpunan ini sebagai tanda sokongan beliau terhadap usaha mengangkat kepentingan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Datuk Hasan Mad pula berkata, pihaknya menyokong usaha mengadakan perhimpunan tersebut sebagai tanda bantahan terhadap tindakan Guan Eng tersebut.
Katanya, sebagai seorang penjawat awam, Setiausaha Agung DAP itu tidak sepatutnya menggunakan bahasa lain dalam urusan rasmi kerana peruntukan berkenaan dengannya telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kami mahukan pendirian yang konsisten daripada beliau (Guan Eng) berkenaan perkara ini,” katanya.
/habis
Comments