top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

TENTANG TUAH, JEBAT, RAJA DAN KERAJAAN (2)



Terima kasih buat semua yang respon pada post sebelum ini. Pada post tersebut, aku tak kemukakan apa-apa pandangan sendiri pun sebenarnya. Aku cuma petik kandungan-kandungan yang ada dalam buku Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan tu saja. Tapi pada post kali ini, aku akan cuba berikan beberapa pandangan.


Perlu diingat, SN Dr Zurinah Hassan tak pernah tujukan sajak-sajak yang dihasilkan ini kepada pimpinan UMNO walaupun sajaknya banyak digunakan oleh pimpinan UMNO. Asas kelahiran sajak Korban Hang Tuah hanyalah renungannya terhadap nasib bangsa ketika sedang menyapu sampah di rumah, manakala sajak-sajak lain seperti Dilema Seorang Melayu, Jebat Yang Tidak Jadi Menderhaka, Rintihan Taming Sari dan Apologia Kepada Taming Sari adalah lanjutan pemikiran selepas penghasilan Korban Hang Tuah.


Sudah pastilah sajak ini banyak digunakan oleh pimpinan UMNO kerana mereka kerajaan yang memerintah kini. Sajak ini adalah tentang mempertahankan kerajaan dan menentang tindak-tanduk penderhakaan.


Membaca sajak-sajak ini mengingatkan aku kepada gagasan pemikiran Azman Hussin yang sempat aku dalami ketika membaca Keldai dan Kitab serta membaca post-post beliau di Facebook. Azman sering menggunakan analogi gembala dan kambing untuk menjelaskan situasi sebegini.


Kambing-kambing ini, menurut beliau, adalah lebih baik berada dalam kawalan gembalanya walaupun gembalanya kejam dan sering mencederakan kambing-kambingnya itu dengan cemeti. Hal ini demikian kerana jika dibiarkan kambing-kambing itu bebas tanpa gembala, kelak dengan mudah kambing-kambing itu menjadi mangsa serigala-serigala yang sudah lama dengan sabar memerhatikan dan menunggu peluang untuk meratah daging kambing-kambing tersebut.


Lebih menarik lagi adalah contoh daripada kisah di dalam surah Al-Kahfi yang diambil oleh Azman untuk menerangkan kepentingan mempertahankan kerajaan yang memerintah.


Azman mengambil konflik ketiga dalam kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa dalam surah tersebut, iaitu apabila Nabi Khidir membangunkan dinding sebuah rumah yang hampir roboh di sebuah tempat yang penghuninya sombong dan tidak mahu menjamu mereka sebagai tetamu dengan makanan.


Alasan Nabi Khidir membangunkan dinding tersebut adalah untuk melindungi harta anak yatim yang terdapat dalam rumah tersebut. Azman menjadikan dinding tersebut sebagai tamsil kepada pemerintah yang zalim. Walaupun zalim, pemerintah perlu ada supaya kepentingan-kepentingan masyarakat dapat dijaga. Pegangan Azman, di bawah seribu tahun pemerintahan yang zalim adalah lebih baik daripada anarki sehari.


Inilah yang dibawa oleh Zurinah Hassan dalam sajaknya. Hang Jebat adalah simbolik kepada anarkisme. Malahan ketika itu, Melaka telahpun berada dalam keadaan anarki buat beberapa hari. Jebat bebas berkelakuan sumbang dengan dayang-dayang, malahan istana menjadi miliknya tanpa dia menjalankan tugas-tugas sebagai raja. Maka pada pandangan Zurinah, yang ditentang oleh Tuah bukanlah batang tubuh saudaranya Jebat, tetapi perlakuan Jebat yang baginya merupakan mudarat besar kepada negara kesayangannya - Melaka.


Namun, memikirkan satu lagi situasi, apakah benar-benar baik perbuatan mempertahankan pemerintah zalim ini dalam konteks Melaka? Tuah bukanlah satu-satunya mangsa kezaliman Sultan Melaka. Yang lebih penting dalam pensejarahan Melaka adalah kezaliman Sultan Mahmud kepada Bendahara Seri Maharaja dan keluarga.


Sultan, hasil rasa hasadnya terhadap Bendahara, dengan mudah menerima fitnah tentang Bendahara dan terus menjatuh hukum bunuh ke atas Bendahara dan keluarga. Bendahara, seperti juga Tuah, menerima hukuman tersebut dengan hati terbuka walaupun anaknya Temenggung Hassan ingin melawan. Bendahara melarang anaknya untuk melawan mungkin atas sebab yang sama, mengelakkan anarkisme.


Namun kesannya, Sultan terpaksa melantik Bendahara Tepok yang sudah lemah kudrat untuk menggantikan beliau. Ketiadaan Bendahara Seri Maharaja melemahkan Melaka dan kesempatan ini diambil oleh Portugis untuk menyerang dan menakluki Melaka. Selama hampir separuh alaf dunia Melayu dijajah selepas itu.


Dan satu lagi dimensi pandangan yang ingin aku bawa, situasi pemerintahan dahulu dengan sekarang berbeza. Dahulu Melaka mengamalkan sistem monarki mutlak yang mana kalau difikirkan, pasti akan membawa kekecohan apabila Sultan dijatuhkan.


Jatuhnya Sultan akan membawa kepada perebutan kuasa dalam kalangan pembesar dan akan menjadi satu kejutan budaya buat masyarakat kerana tindakan itu sangat bertentangan dengan amalan masyarakat ketika itu yang berpegang dengan ungkapan 'anak Melayu pantang derhaka'.


Berbeza dengan sekarang, kita sudahpun mengamalkan sistem demokrasi. Menolak pimpinan kerajaan tidak membawa erti menderhaka dan kita juga sudah ada bayangan kepimpinan baharu sekiranya kepimpinan kini dijatuhkan, malahan mungkin tidak akan terjadi situasi anarki pun jika kerajaan kini dijatuhkan.


Maka, masih relevankah perjuangan Tuah dalam sajak ini untuk kita pegang?


*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 7 Disember 2016

9 views0 comments

Comments


bottom of page