top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

STAR juara sulung Desti 2018




KU SYAFIQ KU FOZI


PULAU PINANG 22 Julai - Pasukan debat Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh berjaya merangkul gelaran juara sulung Pertandingan Debat Sains, Teknologi dan Inovasi (Desti) 2018 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.


Wakilnya, Mohamad Luqman Hafiz Md. Hanif, 16, berkata, beliau gembira kerana akhirnya segala usaha mereka selama ini terbayar dengan kemenangan yang sangat manis.


"Alhamdulillah, usaha kami tidak sia-sia, segala latihan sehingga lewat malam dan penyelidikan yang dilakukan, akhirnya terbayar dengan kemenangan yang sangat bermakna.


"Harapan saya semoga budaya debat di STAR terus bersinar," katanya ketika ditemui selepas pertandingan akhir di Dewan Budaya, di sini hari ini.


STAR berjaya menewaskan pasukan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (Integomb) dalam pertandingan akhir yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Penggawa USM, Mohd. Shafie Ariffin, Penasihat Kelab Debat dan Pengucapan Awam USM, Dr. Zarul Fitri Zaaba dan Pengarah Projek Desti 2018, Nur Qistinna Israrr Ahmad.


Pasukan STAR dibarisi Luqman Hafiz, Budriz Esqandar Badrulesham, 17, Amirul Syafiq Suzainie, 17 dan Syabil Fikri Sabri, 16 manakala Integomb diwakili Ayesha Hannah Sakir Husein, 14, Aiesya Salsabila Mohd. Radzuan, 16, Eirfan Hakimi Shukri, 16 dan Amani Fakhirah Azlan, 14.


Aiesya Salsabila turut memenangi anugerah Pendebat Terbaik Akhir manakala wakil dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Nur Izzah Nasuha Zulmuksah, 15 membawa pulang anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan.


Sementara itu, Zarul Fitri yang turut bertindak sebagai ketua juri bagi pertandingan tersebut memberitahu, USM akan terus berusaha menganjurkan pertandingan ini untuk edisi yang seterusnya memandangkan ia mendapat sambutan yang baik kali ini.


Kata beliau, pihaknya berpuas hati dengan penyertaan sebanyak 18 buah pasukan untuk pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu.


"Pertandingan akhir juga berlangsung dengan sangat sengit dan kami berharap usaha kami menganjurkan pertandingan ini dapat menyemarakkan lagi budaya debat dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini," katanya yang merupakan pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Komputer USM.


-habis-

0 views0 comments

Comments


bottom of page