KU SYAFIQ KU FOZI
KUALA LUMPUR 16 Nov. - Rakyat Malaysia kini celik huruf tetapi masih belum celik politik.
Begitu pandangan Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, menurut pemerhatiannya kepada corak pemilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Menurut beliau, budaya politik negara sejak berpuluh tahun dahulu masih tersekat pada budaya politik simbolik, iaitu mengundi berdasarkan simbol parti.
"Pada PRU tahun 1974, saya bawa nenek saya mengundi, dia pelik kerana tiada simbol kapal layar (Parti Perikatan). Maknanya ketika itu mereka mengundi berdasarkan simbol.
"Ini mengingatkan saya kepada PRU-14. Saya dengar, kalau (simbol) dacing (Barisan Nasional) jangan undi, kalau (simbol) mata (PKR) kena undi," katanya ketika menjadi panel dalam Wacana Intelektual Reformasi Pilihan Raya : Impak Terhadap Demokrasi Di Malaysia di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia dekat sini hari ini.
Keadaan tersebut, menurut Shamsul Amri, dimanfaatkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menetapkan semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) perlu menggunakan hanya satu simbol, iaitu PKR dan ia membuahkan kejayaan.
"Simbol itu penting. Itu maknanya, kita celik huruf tapi buta politik," katanya.
Wacana tersebut turut disertai bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sebagai ahli panel dan Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan UPM, Prof. Madya Mohd. Izani Mohd. Zain sebagai moderator. - UTUSAN ONLINE
コメント