KU SYAFIQ KU FOZI
KUALA LUMPUR – Faktor kos, masa dan ketidakpastian dipercayai menjadi pertimbangan kerajaan apabila mengambil keputusan untuk menarik diri daripada semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan keputusan melibatkan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Timbalan Pengarah Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, berdasarkan ketiga-tiga faktor tersebut, mungkin kerajaan berpendapat adalah lebih baik untuk menarik diri daripada membazirkan masa serta wang ringgit untuk proses semakan semula tersebut.
“Kerajaan memerlukan kos yang tinggi untuk membayar upah peguam yang dibawa dari United Kingdom (UK) selain daripada kos-kos lain, malah ia juga boleh memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.
“Tambahan lagi, tiada kepastian bahawa kita akan memenangi tuntutan kali ini memandangkan Singapura sendiri kelihatan yakin dengan bukti yang mereka ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Walaupun dilihat sebagai kontroversi, Sufian yang mengenali Tun Dr. Mahathir Mohamad secara peribadi yakin bahawa Perdana Menteri itu mempunyai justifikasi yang jelas berkenaan keputusan tersebut.
Minggu lalu, Channel News Asia melaporkan kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA) yang menyatakan kementerian tersebut telah dimaklumkan oleh ICJ mengenai keputusan Malaysia menggugurkan dua semakan kes berhubung tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh yang juga dikenali sebagai Pedra Branca.
Permohonan semakan keputusan ICJ tersebut difailkan kerajaan Malaysia pada Februari tahun lalu atas alasan penemuan fakta baharu yang boleh mencabar keputusan yang berpihak kepada Singapura pada tahun 2008.
Mengulas lanjut, Sufian berkata, walaupun penemuan fakta baharu setahun lalu dalam bentuk rekod komunikasi antara pemimpin tertinggi British pada lewat 1950-an adalah kukuh, namun kenyataan yang dikeluarkan oleh Singapura bahawa mereka yakin dengan bukti yang dimiliki mungkin mempengaruhi keputusan kerajaan kali ini.
Menurut laporan Straits Times pada Julai 2017, MFA mendakwa Singapura ‘yakin dengan kes dan pasukan peguamnya’ selepas memfailkan penolakan terhadap permohonan semakan semula oleh Malaysia.
Malah, kata Sufian lagi, jangkaan berkenaan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) kedua-dua buah negara yang mungkin berubah jika keputusan ICJ berpihak kepada Malaysia juga tidak semestinya tepat kerana Pulau Batu Puteh hanyalah berstatus batuan menurut definisi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Menurut beliau, UNCLOS menetapkan untuk mengiktiraf sesebuah kawasan itu sebagai pulau, ia perlulah menepati beberapa ciri seperti tidak tenggelam ketika air pasang dan mempunyai habitat.
“Setakat ini Pulau Batu Puteh masih tidak menepati ciri-ciri ini, maka ia tidak boleh dianggap sebahagian daripada EEZ kedua-dua buah negara,” katanya.
-habis-
Bình luận