KU SYAFIQ KU FOZI
KUALA LUMPUR 12 Jun - Tanpa menafikan keperluan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris rakyat terutamanya penjawat awam, beberapa tokoh bahasa berharap kerajaan tetap meletakkan agenda bahasa Melayu sebagai keutamaan, khususnya dalam urusan dalam negara.
Tokoh bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, walaupun terdapat beberapa keadaan yang menuntut penggunaan bahasa Inggeris dengan cekap oleh penjawat awam, namun dalam urusan rasmi dalam negara, penggunaan bahasa Melayu perlu diutamakan.
“Sebarang usaha kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan penjawat awam perlu disokong, terutamanya melibatkan pegawai yang banyak berurusan dengan pihak luar seperti pegawai Kementerian Luar Negara dan Kementerian Pelancongan.
“Namun usaha tersebut janganlah sehingga seolah-olah mengetepikan bahasa Melayu. Kerajaan perlu bijak membezakan waktu bila mahu gunakan bahasa Melayu dan waktu bila mahu gunakan bahasa Inggeris,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan kerajaan agar semua pegawai kerajaan menjalani ujian kecekapan bahasa Inggeris bagi mengenal pasti tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata demikian dalam sebuah sidang akhbar dekat sini, minggu lalu.
Berkongsi pandangan yang sama, seorang lagi tokoh bahasa, Prof. Emeritus Dr. Che Hamid Mahmood berkata, kerajaan perlu sentiasa mengutamakan bahasa Melayu dengan memastikan para pegawai kerajaan mampu menggunakan bahasa Melayu dengan cekap dan berwibawa.
Menurut beliau, ujian kecekapan bahasa Inggeris tersebut perlu untuk mengangkat taraf perkhidmatan awam namun penguasaan bahasa Melayu tidak sepatutnya dikesampingkan.
“Seseorang itu tidak akan maju hanya dengan menguasai satu bahasa, namun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diberi keutamaan,” katanya.
-habis-
Comments