top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

Kisah sebenar komunis lebih teruk




KU SYAFIQ KU FOZI



KUALA LUMPUR 31 Julai - Sejarah komunis yang dipaparkan dalam buku teks sekolah kini adalah kisah yang telah ‘dibersihkan’ kerana mengikut fakta sebenar, komunis adalah lebih teruk daripada apa yang digambarkan.


Pengerusi Biro Sosiobudaya Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, komunis bukan sahaja melakukan kegiatan keganasan, malah boleh dianggap sebagai penjajah kerana mahu mengubah status negara ini kepada republik.


“Walaupun digambarkan sebagai penentang penjajah British, sebenarnya dia (komunis) adalah penjajah. Memulakan gerakan di Kuala Pilah (Negeri Sembilan), komunis berjuang untuk menghapuskan kerajaan Melayu dan menggantikannya dengan republik komunis, itu sejarah yang sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Menurut Zainal, sejarah tentang komunis yang disampaikan melalui naratif perdana telah ‘dilembutkan’ dan ‘dibersihkan’ untuk mengelakkan perselisihan antara kaum.


Kata beliau, apa yang dilakukan oleh pengganas komunis sukar untuk diterima masyarakat di negara ini kerana mereka sering bertindak ganas dengan membunuh dan melakukan kekacauan demi mencapai matlamat politik mereka.


“Kalau hendak cerita, kita boleh ceritakan ideologinya bagaimana, propagandanya bagaimana, apa cita-citanya. Apa yang disampaikan sekarang ini amat lembut, kejahatan komunis sudah dibersihkan.


“Jadi kalau ada yang kata mahu tulis semula sejarah, jangan tulis semula. Tulis sahaja sejarah yang sebenar biar semua orang tahu,” katanya.


Tambah Zainal lagi, dakwaan ahli panel dalam forum Perlukah Kita Menulis Semula Buku Teks Sejarah Kita? yang menjadi kontroversi Ahad lalu bahawa buku teks Sejarah di sekolah dijadikan alat propaganda politik adalah tidak benar.


Menurut beliau, sejarah yang disampaikan sudah seimbang apabila setiap pihak yang terlibat dengan perjuangan kemerdekaan dinyatakan dalam buku tersebut.


Namun, katanya, pelajar atau guru perlu melakukan pembacaan tambahan untuk mengetahui perincian peristiwa yang pernah berlaku di negara ini kerana buku teks hanyalah ringkasan daripada keseluruhan kisah yang berlaku.


“Tiada isu (haluan) kiri atau kanan, kedua-duanya dinyatakan. Cuma parti kanan (UMNO) mendapat ruang yang lebih banyak kerana parti tersebut yang berjaya mendapatkan kemerdekaan untuk tanah air, maka ia layak diberikan kredit tersebut (muka surat yang lebih banyak),” katanya.


-habis-

2 views0 comments

Bình luận


bottom of page