top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

Haramkan terus import sisa plastik




KU SYAFIQ KU FOZI


KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kerajaan digesa mengharamkan sepenuhnya import sisa plastik dari negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain untuk dikitar semula di negara ini yang pada tahun lalu sahaja mencatat jumlah 550,000 tan bagi mengelak kesan buruk kepada kesihatan awam dan alam sekitar.


Walaupun langkah kawalan dilakukan termasuk menghentikan permit import (AP) sisa plastik selama tiga bulan, namun pakar dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melihat perkara itu belum memadai kerana sisa plastik domestik sendiri cukup banyak untuk diuruskan.


Apatah lagi kata mereka, China yang selama ini pembeli utama sisa plastik dari seluruh dunia sudah mengharamkan sepenuhnya import bahan itu dengan Malaysia sendiri mengeksport plastik untuk dikitar semula ke negara itu sebanyak 115,000 tan tahun lalu mengikut data sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Bagi pegawai penyelidik Sahabat Alam Malaysia (SAM), S. Mageswari, usaha mengawal pengimportan sisa plastik dengan membeku sementara lesen import sahaja tidak mencukupi kerana rekod menunjukkan kawalan yang dilakukan tidak memberi kesan.


Katanya, justeru langkah mengharamkan sepenuhnya import sisa plastik perlu dibuat segera kerana jika tidak, lebih banyak bahan itu dibawa masuk dari negara maju oleh peniaga tamak yang bersedia mewujudkan kilang haram berikutan larangan import oleh China sejak awal tahun ini.


“Dari dahulu ada langkah kawalan tetapi tidak berkesan. Plastik diimport itu bukan semua boleh dikitar semula, ada yang kualiti rendah sampai jadi lambakan dan akhirnya dibakar untuk dilupuskan sedangkan bahan kimia yang dilepaskan akibat pembakaran plastik amat berisiko dan boleh menyebabkan kanser.


“Pencucian sisa plastik sebelum proses kitar semula juga menyebabkan pencemaran sungai dan laut. Kenapa Malaysia perlu import sisa plastik dari negara maju? Seharusnya negara maju seperti Britain dan AS bertanggungjawab terhadap sisa yang dijana di negara masing-masing. Kita bukan tong sampah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Selasa lalu, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dalam sidang Dewan Rakyat menegaskan Malaysia tidak akan menjadi tong sampah sisa-sisa plastik dari negara-negara maju walaupun setelah China mengharamkan import plastik berkuat kuasa Januari tahun ini.


Sehubungan itu, Bee Yin memberitahu, kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji kaedah yang terbaik untuk mengawal pengimportan sisa plastik dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah membekukan AP sisa plastik kepada 114 syarikat dan kilang berkuat kuasa 24 Julai lalu.


Selain China, Thailand juga menghentikan import sisa plastik manakala Vietnam pula memperkenalkan kawalan ketat berhubung perkara itu bagi mengelakkan mereka menjadi tong sampah kepada negara maju.


Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris pula berkata, apa yang berlaku ini menunjukkan negara maju mengambil kesempatan ke atas ‘negara-negara miskin’.


Kata beliau, puncanya akibat lompong di dalam perundangan sedia ada yang tidak menangani isu tersebut dan oleh itu, kerajaan perlu menyemak segera akta berkaitan agar tidak terus diambil kesempatan oleh negara-negara maju.


Menurutnya, ini penting kerana pengurusan sisa plastik dengan cara yang salah boleh memberi kesan serius kepada penduduk dan alam sekitar terutama meningkatkan risiko kanser kepada manusia selain daripada mengganggu kestabilan endokrin haiwan seperti ikan sebagai contohnya.


“Sebahagian plastik ditangani dengan cara yang salah iaitu dibakar jika tidak dapat dikitar semula. Apabila dibakar antara bahan kimia yang dilepaskan adalah BPA dan boleh menjadi antara punca kepada kanser. Bahkan sebenarnya banyak sisa berbahaya dihantar ke negara miskin, keadaan ini perlu dihentikan segera,” katanya.


Dalam pada itu, Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin pula berpendapat, kerajaan perlu memastikan pengurusan sisa plastik domestik berada dalam keadaan yang baik terlebih dahulu sebelum menerima beban sisa plastik dari negara maju.


“Untuk menguruskan sisa plastik dengan baik, kita perlu ada kemudahan yang mencukupi. Ini yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan,” katanya.


-habis















*Diterbitkan sebagai laporan muka depan Utusan Malaysia pada 4 Ogos 2018

0 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page