KU SYAFIQ KU FOZI
WARKAH seorang petani, Ibas Hamud, 77, berjaya menyentak jiwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub sehingga air mata menteri itu tumpah Khamis lalu.
Lagu iringan, air mata menteri bahkan kehadiran Ibas itu sendiri mungkin sekadar gimik. Namun apa yang nyata, kandungan warkah pertani yang mesra dipanggil Wak Ibas itu adalah realiti dan suara sebenar golongan petani yang sekian lama hanya diluah di warung kopi sebelah bendang atau kepada anak isteri sahaja.
Subsidi
Luahan pertama Wak Ibas adalah tentang subsidi. Katanya yang mewakili golongan petani, pesawah dan nelayan, Salahuddin sebagai menteri telah memotong subsidi mereka. Potongan ini bukan gimik, bukan cubaan. Ia benar-benar berlaku.
Peruntukan untuk subsidi kepada pesawah, petani atau nelayan dikurangkan dalam Belanjawan 2019 walaupun belanjawan itu memperuntukkan perbelanjaan terbesar dalam sejarah negara. Jelas, keutamaan tidak diberikan kepada golongan itu.
Kita juga sering disogok dengan berita-berita negatif tentang subsidi. Ada pemimpin kita yang tidak senang dengan pemberian subsidi. Subsidi dianggap sebagai tongkat yang akan melumpuhkan kaki petani.
Kita perlu mengubah persepsi terhadap subsidi. Seperti yang disebut seorang rakan aktivis petani, subsidi perlu dilihat sebagai insentif terhadap susah payah dan kesanggupan petani mengusahakan tanah dan menghasilkan makanan buat kita semua. Subsidi bukan jasa kerajaan kepada petani tetapi bayaran terhadap jasa petani kepada kerajaan dan seluruh rakyat.
Kedaulatan Makanan
Di sinilah kita perlu memahami konsep kedaulatan makanan. Konsep ini belum tua lagi, baru diperkenalkan secara rasmi 12 tahun lalu. Deklarasi yang mendefinisikan konsep kedaulatan makanan dinamakan Deklarasi Nyeleni 2007, diambil sempena nama sebuah kampung di Selingue, Mali, lokasi kira-kira 500 wakil dari lebih 80 negara berkumpul untuk memperjuangkan hak golongan petani, pesawah dan nelayan pada 27 Februari 2007.
Konsep kedaulatan makanan memperjuangkan hak petani. Ada 11 perjuangan yang digariskan dalam Deklarasi Nyeleni namun untuk memudahkan pemahaman, cukuplah konsep ini didefinisikan sebagai sebuah penekanan terhadap hak petani untuk menghasilkan makanan sendiri dan membuat pilihan terhadap sistem penghasilan makanan mereka.
Memilih mazhab jaminan bekalan makanan
Selain kedaulatan makanan, kita terlebih dahulu mesra dengan konsep jaminan bekalan makanan (food security). Namun, fahaman terhadap konsep ini berbeza-beza. Untuk melahirkan dasar yang tepat, fahaman terhadap konsep ini terlebih dahulu perlu diluruskan.
Buat sesetengah negara, jaminan bekalan makanan difahami sebagai kemampuan negara untuk mengimport makanan demi memenuhi keperluan nutrisi rakyatnya. Mudahnya, asal negara ada duit untuk mengimport makanan, jaminan bekalan makanan negara akan beres.
Untuk mengiktiraf fahaman ini, Unit Pemikir majalah United Kingdom (UK), The Economist membangunkan Indeks Jaminan Bekalan Makanan Sejagat (GFSI) dengan 28 indikator berteraskan isu kemampuan (affordability), kebolehsediaan (availability) serta mutu dan keselamatan (quality and safety).
Jika kita berfikir dalam kerangka ekonomi pasaran bebas dan neoliberal, fahaman ini mudah untuk diterima. Namun sebenarnya, fahaman ini bermasalah.
Menurut GFSI, menghasilkan makanan secara kendiri bukanlah faktor utama yang menjamin bekalan makanan di sesebuah negara. Fahaman ini terpesong kerana sepatutnya, negara - terutamanya negara yang punya cukup tanah - perlu digalakkan untuk menghasilkan makanan mereka sendiri.
Dengan cara ini, negara dapat mengelak risiko putus bekalan makanan. Pernahkah terjadi kes sebegitu?
Pastilah pernah. Akibat krisis ekonomi 2008, beberapa negara pengeksport beras seperti India dan Vietnam telah menghentikan eksport mereka buat seketika. Tindakan ini menyebabkan negara-negara yang tidak mampu mengeluarkan beras mencukupi buat penggunaan domestik menggelabah. Negara-negara ini - termasuk Malaysia - cuba pelbagai cara untuk mendapatkan bekalan beras manakala negara pengeluar beras yang masih mampu mengeksport seperti Thailand mula mengambil kesempatan dengan meningkatkan harga berkali ganda.
Kerana tak cukup beras, rakyat Haiti mengamuk dan merusuh. Oleh sebab krisis itu juga, Brunei sedar bahawa wang bukan segala-galanya. Sehingga hari ini, Brunei terys berusaha menambah bekalan beras domestiknya.
Tahap Sara Diri
Sebab itulah Wak Ibas marah. Selain daripada risiko tak cukup bekalan, import makanan juga membunuh petani tempatan secara perlahan-lahan. Mana mungkin petani tempatan boleh bersaing dengan syarikat antarabangsa yang kaya-raya. Dari segenap segi petani tempatan akan kalah.
Marah Wak Ibas sehingga dia cadangkan, tukar sahaja slogan "Pertanian Adalah Perniagaan" kepada "Kita Import Sahaja Hasil Pertanian". Kerajaan terlalu memberi muka kepada hasil import. Bukan tidak pernah kita dengar rintihan petani cili kita yang terganggu perniagaannya kerana cili Vietnam yang menguasai pasaran.
Oleh itu, kerajaan perlu mengubah fahaman mereka terhadap konsep jaminan bekalan makanan. GFSI bukanlah indikator yang tepat. Cara terbaik mengukur jaminan bekalan makanan negara adalah menggunakan ukuran Tahap Sara Diri (SSL). SSL mengukur bekalan makanan yang dihasilkan secara domestik tanpa bergantung kepada import.
Pastilah tidak salah untuk kita mengimport, namun seboleh-bolehnya negara perlu mampu menyediakan bekalan makanan ruji (beras) secara kendiri untuk mengelakkan krisis kelak. Makanan lain, jika masih belum mampu, bolehlah kita terus import.
Tangisan menteri
Orang menangis atas pelbagai sebab. Ada menangis kerana kehilangan, ada menangis kerana kesakitan, ada juga yang menangis kerana keinsafan. Kita berharap, Salahuddin menangis kerana insaf.
Insaf dengan kesilapannya yang menetapkan sasaran SSL beras negara hanya pada 80 peratus pada tahun 2023 seperti diumumkan Januari lalu. Salahuddin perlu menghayati rintihan Wak Ibas sepenuhnya. Usahakan supaya bekalan beras domestik negara mencukupi. Usahakan juga supaya nasib para petani terbela dan tidak ditindas konglomerat gergasi antarabangsa.
Ada banyak yang perlu dilakukan untuk membela nasib petani. Mulakanlah dengan mengiktiraf petani sebagai pemegang kedaulatan negara melalui penghasilan makanan. Angkat darjat petani dengan memelihara kedaulatan makanan serta memulihara jaminan bekalan makanan negara.
-habis-
*Diterbitkan dalam Utusan Malaysia pada 22 Februari 2019
Comments