top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

Buluh yang bukan buluh kasap


KU SYAFIQ KU FOZI







BULUH memang dekat dengan jiwa orang Melayu. Buktinya, dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, ada 18 peribahasa orang Melayu yang ada perkataan buluh di dalamnya.


Suara merdu diibarat buluh perindu, anak yang kecil ditamsil rebung buluh dan perniagaan yang tiada untung pula dikatakan seperti buluh kasap. Begitulah akrabnya buluh dengan pemikiran orang Melayu.


Sebab itulah, apabila Menteri Industri Utama, Teresa Kok mencadangkan supaya golongan petani mempelbagaikan tanaman mereka dengan mengambil tanaman buluh sebagai salah satu alternatif, ia tidaklah sepatutnya janggal bagi majoriti petani dan peneroka yang berbangsa Melayu, Namun, menteri itu tetap juga dikecam. Mengapa?


Kejanggalan cadangan menteri itu bukanlah kerana buluh. Malah, jika diteliti, tanaman buluh ini memang ada nilai komersialnya dan ia memang baik untuk bumi yang kita cinta ini.


Untuk mendalami keluasan pasaran dan manfaat buluh, seeloknya kita merujuk kepada Dr. Pablo Van Der Lugt, cendekiawan Belanda yang menggelarkan dirinya sebagai pakar buluh (Bamboo Expert). Van Der Lugt menghasilkan sebuah buku bertajuk Booming Bamboo yang meneroka potensi buluh sebagai bahan binaan futuristik. Lebih mudah, cari sahaja video syarahannya di TedTalk yang bertajuk Bamboo to Save the World.


Hujah Van Der Lugt mudah, dalam dunia yang semakin menua ini, kita bakal kekeringan bahan untuk industri pembinaan. Konkrit, besi, aluminium dan lain-lain bahan binaan yang diguna secara meluas sekarang ini akan kehabisan. Dalam erti kata lain, ia sumber yang tidak boleh diperbaharui. Berbeza dengan buluh, ia boleh ditanam dan tempoh tuaiannya singkat, iaitu sekitar empat tahun sekali tuai.


Bukan sahaja dalam bidang binaan, buluh juga mempunyai kegunaan yang sangat pelbagai dan ia masih ada ganyak potensi untuk diteroka. Sehingga kini, sudah ada kertas, pakaian dan perabot yang diperbuat daripada buluh.


Buluh, dalam banyak negara, sudah mula dilihat sebagai industri gergasi pada masa hadapan. Namun, adakah Malaysia belum bersedia ke arah itu?


Di sinilah kerajaan perlu mengambil peranan. Dalam erti kata lain, Teresa tidak boleh hanya bercakap tentang buluh dan main suruh-suruh petani dan peneroka menanam buluh. Teresa yang kini menjadi kepala Kementerian Industri Utama perlu bertindak dan perlu dilihat bertindak (meminjam konsep undang-undang : keadilan perlu dilaksanakan dan dilihat dilaksanakan).


Ini bukan pertama kali Teresa bercakap tentang buluh. Beliau pernah menyuarakan hasratnya untuk melihat industri buluh di negara ini berkembang ketika melancarkan Hari Buluh Sedunia pada September tahun lalu. Cuma, belum nampak apa-apa hasil daripada visi murninya itu.


Industri buluh yang penuh potensi ini masih kecil di Malaysia. Pada tahun 2017, eksportnya baru mencatat nilai RM300,000. Bandingkan dengan China, di bandar Yibin dalam wilayah Sichuan sahaja nilainya pada tahun 2017 sudah mencecah kira-kira RM4.5 bilion (AS$1.1 bilion).


Kementerian Industri Utama perlu mengambil peranan dengan menyediakan rancangan khusus untuk industri buluh di Malaysia. Bermula dengan pendidikan tentang industri ini kepada petani, ia perlu diluaskan sehingga ke peringkat menyediakan bantuan kewangan dan kepakaran untuk petani meneroka industri ini. Buluh memang sudah dikenali tetapi bukan industri buluh. Ia lebih kompleks.


Segala macam taklimat tentang teknologi dan potensi tanaman ini perlu diberikan supaya petani tidak lagi ada rasa was-was untuk membuka langkah pertama. Usaha kementerian perlu pantas, berfokus dan menyeluruh untuk membangunkan industri ini.


Bukanlah apa, dalam keadaan kewangan petani di Malaysia ini yang tidaklah semewah mana, pastilah ada rasa takut untuk meneroka pasaran baharu. Mereka tak mahu tersalah pilih seperti terkena buku buluh, kerana akhirnya usaha mereka hanya ibarat berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.

Menteri pula tidak boleh hanya bercakap seperti gelegar buluh. Bertindaklah dengan penuh bijaksana, ibarat ular biar mati, tanah jangan lekuk, buluh jangan pukah.


-habis-


*Diterbitkan dalam Utusan Malaysia pada 9 Mac 2019

62 views0 comments

Comments


bottom of page