KUALA LUMPUR 6 Nov. - Penganjuran Forum Pertanian Ikatan Profesor Indonesia Malaysia (IPIMA) 2017 dilihat mampu menjadi saluran kedua diplomasi untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dengan Indonesia yang telah terjalin sejak sekian lama.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Haji Bakar , hubungan akademik seperti ini bukan sahaja menjadi medan berkongsi kepakaran tentang topik yang dibincangkan, malahan boleh menjadi tempat para bijak pandai berkongsi idea untuk menambah baik hubungan antara kedua-dua buah negara.
"Kita pernah melihat negara menggunakan diplomasi pertahanan, kali ini kita usahakan pula diplomasi pertanian.
"Kita boleh gunakan idea-idea daripada profesor dari kedua-dua buah negara untuk menyelesaikan masalah-masalah dalam negara atau antara negara yang lebih besar, kerana mereka mempunyai hubungan yang rapat," ujarnya ketika merasmikan forum tersebut di Auditorium Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Putra Malaysia dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid pula berkata, forum yang dijalankan ini bukan sekadar bersifat saintifik dan teknikal, sebaliknya mempunyai semangat kebersamaan yang mampu mengikat hubungan diplomasi yang baik antara kedua-dua buah negara.
"Dengan kelebihan ilmu dan kepakaran yang ada pada MPN dan API, kami boleh memberi nasihat kepada pucuk pimpinan negara.
"Inilah keistimewaan forum ini yang berbeza dengan forum-forum lain, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cadangan ini turut dipersetujui oleh Ketua Umum Asosiasi Profesor Indonesia, Prof. Dr. Sofian Effendi.
"Kerjasama sebegini boleh membantu kedua-dua buah negara untuk terus menghadapi cabaran dalam sektor pertanian dagang," katanya.
Forum Pertanian IPIMA 2017 ini diadakan bermula hari ini sehingga 9 November 2017.
Forum ini melibatkan dua komponen utama, iaitu Perbincangan Dua Hala Malaysia-Indonesia yang meliputi 12 sesi dan Seminar dalam Bidang Pertanian dan Makanan.
-habis-
*Diterbitkan dalam Utusan Malaysia pada 7 Noveber 2017.
Yorumlar