Ku Syafiq Ku Fozi
KUALA LUMPUR 24 Julai - Seorang graduan pendidikan sanggup berkelana ke negara jiran, Singapura demi mendapatkan pekerjaan bagi menampung kehidupan selepas tiga kali gagal dalam temuduga untuk menjadi guru sebelum ini.
Graduan tersebut, Muhammad Adlan Noor Khafiz, 25, berkata, walaupun terpaksa berulang-alik sejauh 100 kilometer setiap hari, tawaran gaji yang tinggi membuatkan dia nekad untuk bekerja di Singapura sebagai pekerja pembersihan.
“Saya bekerja di sebuah syarikat antarabangsa sebagai pekerja pembersihan dan dapatkan pekerjaan ini menggunakan ijazah memandangkan syarikat mahukan pekerja berkelulusan ijazah untuk mengisi jawatan yang lebih tinggi pada masa hadapan.
“Untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia dengan gaji seperti yang saya peroleh sekarang sangat susah, malah saya pernah mencuba pelbagai pekerjaan seperti operator pengeluaran di kilang-kilang sebelum membuat keputusan untuk bekerja di Singapura,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Moral dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menerima nasib yang hampir serupa, Nur Halimatun Ab. Mueei, 25 yang memilih untuk bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah dewan makan asrama untuk mengelak membelanjakan wang yang lebih banyak apabila bekerja di negeri lain.
Beliau yang merupakan graduan ISMP Pengajian Malaysia dengan Pendidikan UPSI berkata, kebanyakan peluang pekerjaan yang ditemui adalah di Selangor dan Pulau Pinang sedangkan beliau menetap di Terengganu.
“Saya lihat, kebanyakan pekerjaan seperti guru swasta melibatkan lokasi yang jauh dan disebabkan masalah kos, saya memilih untuk mendapatkan apa sahaja pekerjaan yang berdekatan untuk membantu keluarga, terutamanya adik-adik yang masih bersekolah,” kata anak sulung daripada tujuh beradik itu.
Sementara itu, seorang lagi graduan, Mohd. Idzham Md. Nor, 25, pula memilih untuk membantu bapanya sebagai penoreh getah sementara menunggu keputusan penempatan.
Namun, agak malang baginya kerana harga getah yang jatuh teruk kini menyebabkan pendapatannya semakin berkurangan.
“Sedih juga kerana selepas graduasi, saya tidak pernah mendapat panggilan temuduga, apatah lagi saya sebagai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) perlu membayar pinjaman,” katanya.
Comments