Minggu ketiga latihan mengajar membuat aku merenung sesuatu. Ya, renungan ini juga
dipengaruhi oleh berita-berita yang sering diperkatakan di media sosial baru-baru ini, berkenaan guru dan pelajar. ZF Zamir pula membangkitkan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak, yang diperolehinya melalui bacaan karya Za’ba. Renungan aku ini berkenaan adab para pelajar di sini. Perkara tentang adab ini juga telah melahirkan puisi Babi Bertahi dan satu puisi ultrarasis yang aku belum temui tajuknya lagi. Puisi itu mungkin kekal dalam simpanan aku sahaja, sebagai rekod bahawa aku pernah menulis sajak ketika diri dikawal nafsu amarah.
Berkenaan peranan guru dan ibu bapa dalam mendidik anak-anak, seperti yang dipesan oleh Za’ba (seperti yang ditulis oleh Zamir), ibu bapa ialah guru pertama anak-anak ini.
Sebagai guru pertama, ibu bapa perlu sensitif dengan ilmu apa yang ingin disumbat dalam diri anak-anak ini terlebih dahulu. Tak mengapa kita sumbat, kerana ilmu itu akan terlarut mengikut masa, jika kita kawal perkembangan anak-anak. Kalau tak kawal, apa yang disumbat itu akan terus terkumuh dan keluar dari tubuh anak-anak.
Sebelum minda anak-anak ini dipenuhi dengan ilmu-ilmu dunia – sains, matematik, linguistik atau politik – hati mereka perlu terlebih dahulu dididik dengan adab. Kerana adab ialah identiti manusia. Adab ialah intipati dominan kemanusiaan.
Mereka perlu ada adab supaya mereka tak membesar menjadi binatang yang bijak, seperti serigala dalam kisahnya bersama biri-biri. Bila sifat manusia ini kita kesampingkan di usia muda mereka, sifat binatanglah yang terserlah. Biadap, pentingkan diri, bersaing sepanjang masa. Bila jiwa mereka dah menebal dengan sifat binatang, susah untuk kita kembali memanusiakan mereka.
Mungkin ada ibu bapa yang menganggap gurulah yang perlu mendidik anak-anak mereka serba-serbi, kerana guru dibayar untuk berbuat demikian. Mari kita perbetulkan salah faham ini.
Tugas guru dan ibu bapa sebenarnya saling memudahkan. Guru, mendidik anak-anak mereka dengan bermacam-macam ilmu di sekolah supaya tugas ibu bapa menjadi mudah. Lihat sahaja di sekeliling kita, keluarga, jiran atau rakan-rakan kita. Ibu bapa yang anaknya berjaya melepasi peringkat sekolah dengan berjaya pasti lebih tenang kehidupannya. Berbeza dengan ibu bapa dengan anak-anak yang kurang berjaya, mereka agak gelisah dengan masa depan anak mereka, sehingga terpaksa bekerja hingga hujung usia (sebahagiannya, memang ada yang tak berjaya di sekolah tapi berjaya dalam lapangan pekerjaan, aku tak nafikan).
Jadi, tugas guru adalah untuk memudahkan urusan ibu bapa mengurus anak-anak mereka. Ibu bapa pula juga perlu memudahkan kerja guru, dengan cara mendidik anak mereka dengan adab supaya di sekolah kelak, guru tidak berhadapan dengan pelbagai masalah untuk memanusiakan dan memandaikan anak mereka. Ibu bapa mudahkan tugas guru, in sha Allah guru akan mudahkan tugas mereka kelak. Kerjasama ini perlu ada supaya proses membangunkan generasi yang gemilang dapat berjalan dengan baik.
Tapi perkara ini bukan mudah. Tekanan hidup di dunia kini menyebabkan semua perkara ini menjadi susah. Susah untuk ibu bapa nak didik anak dengan adab bila mereka sendiri sibuk bekerja dan terpaksa mengharapkan orang upahan untuk mendidik anak mereka. Susah guru nak ajar anak murid dengan sepenuh hati bila tekanan kerja setiap hari menghimpit ditambah pula dengan tekanan menguruskan keluarga.
“Dunia tumbuh dan tergesa-gesa.”
Petikan lirik Tumbuh dan Tergesa nyanyian Iksan Skuter. Kemajuan sekarang ini menyebabkan semua orang ingin jadi laju. Kejar itu, kejar ini. Dunia sedang tumbuh dan pertumbuhannya itu tergesa-gesa. Sampai kita tak sempat menikmati hidup.
Pernah tonton filem Click? Betapa watak utama lakonan Adam Sandler itu menyesal kerana ingin cepat mengejar masa sehingga tertinggal semua detik-detik yang sepatutnya indah bersama dengan keluarga.
Kita perlu perlahankan langkah. Kita perlu berani melawan arus dunia sekarang. Kita perlu bermula semula. Ajarkan anak-anak kita dengan adab supaya mereka menjadi manusia seawal usia kanak-kanak lagi.
Tebalkan rasa simpati, empati, kebersamaan dan kesantunan dalam diri mereka. Anak-anak yang ada dalam sekolah aku ini kebanyakan sudah kehilangan sensitiviti.
Aku selalu tertanya-tanya, apa yang diajarkan kepada mereka di rumah? Pernahkah ibu bapa mereka ajar mereka untuk hormat sekurang-kurangnya kepada orang yang lebih tua kepada mereka, kalau tidak mampu ajar mereka untuk hormat kepada guru?
Kalau tak pernah, ibu bapa mereka tak bantu memudahkan tugas aku sebagai guru. Maka perlukah aku bantu memudahkan tugas mereka sebagai ibu bapa?
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 28 Julai 2016
Comentarios