KU SYAFIQ KU FOZI
KUALA LUMPUR 25 Julai - Beberapa graduan pendidikan yang dihubungi memaklumkan kesukaran mereka untuk mendapatkan pekerjaan memandangkan majikan sering menolak permohonan mereka kerana mempunyai ijazah pendidikan.
Alasan yang diberikan kebiasaannya kerana graduan dikhuatiri meninggalkan jawatan selepas menerima penempatan dan anggapan bahawa graduan hanya mempunyai kemahiran mengajar, bukan kemahiran amali dalam sesuatu bidang.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Sains Pertanian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Asiah Shahrulzaman, 25, berkata, usahanya memohon pekerjaan sebelum ini sering gagal kerana majikan tidak yakin dengan kemampuannya untuk bekerja di luar bidang pendidikan.
“Saya pernah cuba mohon pekerjaan di pejabat pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tetapi ditolak kerana saya pemegang ijazah pendidikan, mereka berpandangan saya hanya tahu mengajar.
“Malah, saya diterima bekerja sebagai penyambut tetamu sekarang pun selepas terpaksa menipu dengan memberitahu saya hanya ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya mengaku mempunyai ijazah pendidikan hanya selepas diterima, mujur majikan tidak ambil apa-apa tindakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini mendedahkan terdapat kira-kira 6,500 graduan pendidikan yang masih belum mendapat tempat sebagai dan ada antara mereka yang bekerja sebagai pekerja pembersihan serta penoreh getah sementara menunggu penempatan.
Isu ini dijangka akan menjadi lebih rumit apabila Utusan Malaysia mendapati terdapat dua lagi universiti menawarkan pengambilan untuk Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPP) yang membuka peluang graduan bukan pendidikan memasuki pasaran kerja sebagai guru sekaligus menambah lagi lambakan graduan yang menunggu penempatan sebagai guru.
Namun begitu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengumumkan semalam bahawa isu ini sudah berada dalam perhatian kementeriannya dan penyelesaian akan diumum setelah kajian diselesaikan kelak.
Sementara itu, seorang lagi graduan, Nur Syamimi Abu Bakar, 25, terpaksa menganggur buat sementara waktu setelah khidmatnya sebagai guru ganti tamat dan kini pengambilan guru ganti di daerahnya dibekukan seketika.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan (Pengajian Bahasa Melayu) Universiti Sains Malaysia (USM) ini juga pernah memohon jawatan guru di sebuah sekolah swasta di Masai, Johor namun ditolak dengan alasan dikhuatiri meninggalkan jawatan selepas diluluskan penempatan kelak.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai guru ganti namun gaji yang ditawarkan hanya pada taraf SPM memandangkan pejabat pendidikan daerah (PPD) sudah menetapkan sedemikian,” katanya.
-habis-
*Salah satu laporan yang membolehkan saya tercalon sebagai lima terbaik untuk Anugerah Wartawan Muda A. Samad Ismail, Anugerah MPI 2018
Comments