[Analisis]
KU SYAFIQ KU FOZI
HARI pertama sidang Dewan Rakyat kali ini tidak banyak perubahan. Seperti sidang-sidang sebelum ini, rakyat masih boleh lihat beberapa ahli Parlimen bergaduh, bertekak dan kadang-kala bercakap isu yang tidak relevan.
Seawal sesi soal jawab lisan pada sebelah pagi lagi sudah ada suara yang bersahut-sahutan menganggu perjalanan sidang dewan sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof terpaksa menutup mikrofon beberapa kali.
Perkara itu berlanjutan sehingga ke sesi perbahasan pada waktu petang. Ada sahaja isu yang membuatkan Ahli Parlimen menjadi tidak ubah seperti sekumpulan remaja yang tidak berpuas hati antara satu sama lain.
Masalah itu tidak eksklusif kepada mana-mana pihak. Dalam hal ini, pihak kerajaan dan pembangkang kedua-duanya ada wakil yang ‘nakal’.
Begitu juga dalam aspek perbahasan, bukan sahaja pihak yang sering menganggu perbahasan dengan mencelah tanpa izin, malah pihak yang membentang juga perlu menjaga kata-kata supaya tidak menimbulkan kontroversi sehingga mengganggu perjalanan sidang dewan.
Perkara ini berlaku kerana provokasi. Boleh dikatakan, kebanyakan ‘gangguan’ dalam sidang Dewan Rakyat hari ini adalah kerana kes-kes rasuah yang sedang dalam perbicaraan dan siasatan dibangkitkan.
Contohnya, ketika membahaskan Titah Diraja, Akmal Nasir (PH-Johor Bahru) membangkitkan skandal rasuah melibatkan pemimpin-pemimpin Pas yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia menyebabkan hampir semua Ahli Parlimen Pas bangkit mempersoal tindakan tersebut dan membazir masa perbahasan sehingga kira-kira 20 minit.
Provokasi begitu akhirnya akan merugikan masa perbahasan kerana kedua-dua pihak akan berbalas-balas dakwaan yang tidak relevan dengan teras perbahasan.
Walaupun sesetengah Ahli Parlimen merasakan mereka boleh mendapat manfaat politik daripada provokasi sebegitu, sebaiknya ia dielakkan demi memelihara kesucian Parlimen.
Ahli Parlimen perlu sedar, mereka bukan sahaja wakil rakyat malah suri teladan kepada rakyat maka berubahlah, beri peluang kepada rakyat menonton perbahasan yang berkualiti dan damai di Parlimen.
-habis-
*Diterbitkan dalam Utusan Malaysia pada 12 Mac 2019
Opmerkingen