(Ulasan filem Spiderman Homecoming dengan sedikit spoiler)
Semalam habis saja tonton Spiderman Homecoming, aku baca status Hadri Shah tentang IKEA. Tentang bagaimana operasi IKEA yang global mewujudkan lebih banyak kerosakan alam dan penindasan pekerja. Ia persoalan sebenarnya, tapi berkenaan topik itu. Pagi ni pula aku baca status Zamir Mohyedin yang berkongsi artikel Futurism tentang cadangan Universal Basic Income (UBI) oleh Elon Musk pada masa hadapan akibat kehabisan pekerjaan untuk manusia yang diambil alih oleh robot.
Segalanya tentang kerja.
Watak jahat dalam filem Spiderman Homecoming, iaitu Vulture juga membawa persoalan tentang kerja. Babak filem ini dibuka dengan situasi Vulture (aku lupa nama sebenar dia) yang awalnya dapat tender membersihkan kawasan serangan makhluk asing (Ultron/Chitauri?) tetapi tendernya itu dihentikan serta merta selepas Syarikat Stark dan ada satu jabatan kerajaan ni ambil alih. Vulture dan pekerjanya kehilangan pekerjaan dan kehilangan sumber rezeki.
Situasi hilang kerja ini, yang terjadi tanpa sebarang pembelaan atau bayaran pampasan yang menjerumuskan Vulture dan rakan-rakannya ke kancah jenayah. Watak Vulture digambarkan sebagai seorang bapa yang baik. Memang, sebab segala jenayah yang dia lakukan adalah untuk menyara keluarga.
Dalam banyak keadaan bagi aku, keterdesakan akibat kesempitan menjadi punca orang terlibat jenayah.
Jadi kita akan tertanya-tanya nanti. Bila teknologi robotik makin maju, artificial intelligence (AI) lebih menjadi pilihan, pekerjaan buruh semakin terhad, bagaimana nasib orang yang selama ini bergantung dengan kerja-kerja buruh ni? Dalam 16 Puasa, watak Sabri Yunus juga jadi mangsa penindasan pekerja selepas dihentikan tanpa sebarang pampasan. Dan kata beliau, selepas berpuluh tahun bekerja di kilang, dia dah tak tahu nak buat kerja lain. Aku sensitif dengan dialog ni sebab ada benarnya. Orang yang dah berpuluh tahun kerja kilang, kalau nanti robot ambil alih kerja mereka kita nak harapkan mereka jadi apa?
Sebab itu penting untuk kita, lebih tepat lagi kerajaan untuk menilai idea UBI. Sebelum ni aku ada tonton dan kongsi sebuah Ted Talk. Dalam video tu, pengucap menyatakan bahawa orang miskin banyak buat keputusan yang salah sebab kesempitan hidup mereka, bukan sebab mereka tak bijak. Siap dengan kajian. Boleh tonton di sini : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1454700407922505&id=100001476793628.
Maka pengucap ini juga mencadangkan hal yang hampir sama dengan UBI, iaitu Guaranteed Basic Income untuk selesaikan masalah kemiskinan. Kita dah tahu kapitalisme tu melebarkan jurang pendapatan, jadi kenapa kita tak cuba teroka cara baharu seperti filantrokapitalisme dan menyuntik sedikit idea sosialisme seperti pendapatan asas ni. Hal-hal masa depan macam ni perlu diberi perhatian. Dunia bergerak terlalu laju. Kita tak boleh ketinggalan. Geng-geng anak muda yang nak masuk politik tu, dah boleh lupakan dah politik barbarik macam orang tua kita guna sekarang. Ada benda lebih besar yang menanti kita di hadapan.
Ini adalah sebahagian ekstrakan aku dari filem ini. Hari tu Zailee cakap, Marvel buat filem memang untuk bagi orang suka-suka je tonton, sebab tu lawak. Tapi bagi aku filem ni juga ada bawa inti falsafah, cuma dalam bentuk yang santai. DC pula kaedahnya lebih berat dan serius. Kalau kat Malaysia, Marvel ni macam geng Nik Amir/Rewan Ishak/Razaisyam Rashid dan DC macam geng Dain Said dan Tunku Mona Riza. Dua-dua power. Pada yang belum menonton, silalah tonton.
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 8 Julai 2017
Comments