Aku tonton filem ini pada malam 31 Ogos. Aku antara yang beruntung dapat menonton filem ini lebih awal daripada tarikh tayangannya yang sebenar.
Dalam dunia filem, nama Korea Selatan besar. Mungkin boleh dikatakan bagai Iran, cuma Korea Selatan lebih terdedah pada budaya pop berbanding Iran. Aku bukanlah orang yang selalu tonton filem di pawagam dan ini adalah kali pertama aku menonton filem Korea Selatan di pawagam.
Filem Korea Selatan lain yang aku pernah tonton ialah My Way, tapi tiada apa yang aku ingat daripada filem tu sebab aku tonton tanpa fokus. Filem itu ditayangkan di dewan sekolah masa aku tingkatan 6, jadi aku lebih tertarik untuk berbual dengan kawan berbanding menonton filem tersebut.
Filem ini adalah tentang apokalips zombie. Aku boleh samakan filem ini seperti World War Z, itu filem zombie yang paling dekat dengan filem ini yang pernah aku tonton. Zombieland dan KL Zombie terlalu berbeza, lebih banyak jenaka. Aku bukanlah orang yang pandai mengulas filem secara teknikal, jadi aku akan terus lompat pada perkara-perkara yang menarik perhatian aku dalam filem ini.
1. Filem ini tak jual wajah jambu hasil pembedahan pelakon-pelakon lelaki Korea Selatan. Mungkin pengarah sedar bahawa wajah jambu lelaki mereka boleh ganggu fokus penonton wanita, jadi wajah-wajah jambu ini diminimumkan. Heronya, sang ayah (aku lupa dah nama dia), lebih manly. Watak jambu hanya ada pada pasukan baseball. Itupun ada diselitkan babak budak jambu tu menangis dengan sangat hodoh, sampai kau boleh lupa terus kejambuan dia selepas kau tonton babak tu.
2. Kapitalis dimaki bertubi-tubi dalam filem ini. Tak cukup watak Sang Ayah yang bekerja di pasaran saham, diwujudkan juga watak COO yang dari mula sampai habis menjengkelkan. Punca gelombang zombie itu juga ialah golongan kapitalis, iaitu syarikat tempat Sang Ayah bekerja. Permulaan filem ini juga menonjolkan kedurjanaan kapitalis.
Aku dah lupa apa yang Sang Ayah tu cakap, tapi aku ingat bahawa babak panggilan telefon semasa dia di pejabat tu adalah untuk memaki kapitalis. Encik Sado (suami Kakak Pregnant) juga ada sebut secara jujur yang Sang Ayah bekerja sebagai lintah darat. Dua watak kapitalis (Sang Ayah dan COO) ini jugalah yang buat kerja setan dalam filem ni, iaitu menghasut orang untuk pentingkan diri sendiri. Sang Ayah mengahasut Sang Anak, COO menghasut penumpang dan konduktor tren.
3. Babak paling menarik dalam filem ini bagi aku ialah babak pengumuman oleh Presiden yang ditayangkan di dalam TV yang ada dalam tren. Ucapan Presiden ketika itu menyebut perkara paling lazim diucapkan oleh pihak kerajaan ketika negara dalam situasi genting: keadaan terkawal. Bijaknya pengarah ini, audio ucapan Presiden itu dipasangkan dengan visual kekecohan dan kekalutan yang sedang berlaku. Permainan ironi yang sangat menarik. Ini namanya propaganda.
4. Individualisme menjadi persoalan utama dalam filem ini. Individualistik ini sifat yang buruk, kotor. Layak dilambangkan dengan warna hitam. Watak kanak-kanak pula mewakili warna putih yang berjaya memudar kehitaman individualistik tadi. Sang Anak berjaya menyedarkan Sang Ayah bahawa dalam hidup ini kita perlu bersama, bantu-membantu. Namun putih dan kudusnya Sang Anak masih belum mampu memudar hitamnya hati COO. Babak Sang Anak menangis dan ternampak oleh COO sangat penting. Menggambarkan COO ini merupakan antagonis utama dalam filem tersebut.
5. Perkara-perkara lain dalam filem ini bagi aku biasa-biasa. Watak Encik Sado dan Kakak Pregnant penting, tetapi tiada yang begitu menarik. Encik Sado adalah hiburan yang paling utama dalam filem ini, dari segi jenaka dan aksinya. Sangat menghiburkan. Yang lain-lain anda boleh tonton dan nilai sendiri. Filem ini memang best, tontonlah.
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 5 September 2016
Comments