SETELAH empat tahun mencuba, rezeki akhirnya memihak kepada kumpulan Puteh apabila dinobatkan juara Maharaja Lawak Mega 2019, Jumaat lalu.
Puteh yang dianggotai Ali, Mamak dan Man berjaya menewaskan empat lagi kumpulan di peringkat akhir, iaitu Zero (tempat kedua), Bocey (ketiga), Jborn (keempat) dan Rare (kelima).
Walaupun mula menyertai Maharaja Lawak Mega pada tahun 2016, perjalanan ketiga-tiga anggota Puteh dalam seni lawak sudah bermula lama.
Mari kita telusuri sejarah penglibatan Ali, Mamak dan Man dalam seni lawak, dari peringkat amatur sehinggalah menjadi kumpulan lawak nombor satu hari ini.
ALI
Pemilik nama sebenar Syed Ali Mubarak Syed Ridzuan ini mula menyertai pertandingan Raja Lawak 6 pada tahun 2012 bersama abangnya, Syed Umar Mokhtar Syed Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Abam. Kumpulan mereka diberi nama Albob.
Kumpulan mereka tidak berjaya ke peringkat akhir apabila tersingkir di minggu ketujuh. Ali dan Abam kemudian berpecah membawa haluan masing-masing.
Abam bersama seorang lagi peserta Raja Lawak 6 dari kumpulan Selak, Fad membentuk kumpulan Bocik dan menyertai pertandingan Bintang Mencari Bintang 2013. Dalam pertandingan itu, mereka bertemu Achey dan ketiga-tiga mereka membentuk kumpulan bersama dengan nama Bocey.
Ali turut menyertai pertandingan yang sama bersama gandingannya dalam kumpulan Bowl, Mohd Danial Lee namun tidak membuahkan hasil.
Tidak mahu berputus asa, Ali akhirnya menemui gandingan yang betul-betul serasi dengannya, iaitu Mamak. Mereka membentuk kumpulan Puteh dan menjadi naib juara Projek Komedi Warna 2015.
Langkahnya bersama kumpulan Puteh diteruskan dengan menyertai Maharaja Lawak Mega dan mereka berjaya menjadi finalis buat empat tahun berturut-turut, sebelum akhirnya menjadi juara pada tahun 2019.
MAMAK
Mamak atau nama sebenarnya Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad melalui jalan yang hampir sama dengan Ali dalam karier lawaknya.
Beliau turut menyertai Raja Lawak 6 bersama kumpulan Cuit dan memperoleh keputusan yang lebih baik berbanding Ali, iaitu tempat ketiga di belakang Zero dan Shiro.
Walaupun dilihat mempunyai keserasian dalam Cuit kerana ketiga-tiga mereka menggunakan dialek Utara dalam persembahan, jodoh Mamak bersama kumpulan itu tidak bertahan lama.
Mamak kemudiannya menyertai Puteh bersama Ali dan menjadi naib juara Projek Komedi Warna pada tahun 2015 sebelum bergelar juara Maharaja Lawak Mega 2019.
MAN
Tidak keterlaluan jika dikatakan, Man adalah juara Raja Lawak paling bernasib malang.
Mana tidaknya, tidak sampai sebulan memegang status sebagai juara Raja Lawak musim kelima, pemilik nama penuh Abdul Rahman Kasim itu terpaksa menyertai satu lagi pertandingan lawak iaitu Maharaja Lawak 2011.
Dalam Maharaja Lawak, Man tenggelam kerana terpaksa bersaing dengan peserta yang lebih berpengalaman seperti Jozan (Johan dan Zizan); Sepah (Jep, Mamat dan Shuib); Jambu (Yus dan Tauke) serta Nabil.
Tidak sempat merasa kegemilangan sebagai juara, nama Man terus tenggelam setelah tersingkir pada minggu kelapan.
Tiga tahun selepas itu, Man kembali tampil dalam Maharaja Lawak Mega 2014 bersama kumpulan Samurai namun tersingkir awal pada minggu ketiga.
Pada tahun 2018, Man sekali lagi kembali dan kali ini bergandingan dengan Tauke membentuk kumpulan Taman. Kumpulan Taman berjaya mara ke final dan mendapat tempat kelima.
Percubaan ketiga Man dalam Maharaja Lawak Mega akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara bersama kumpulan Puteh.
-habis-
*Disiarkan di KitaReporters.com pada 12 Januari 2020
Comments