
Aku fikir membandung perasaan menggunakan seni itu sudah sukar, namun Kabir Bhatia berjaya membikin sebuah koktel emosi!
Ini memang kepakaran Kabir rasanya - bermain dengan emosi. Mana-mana lelaki yang menonton filem ini kemudian memilih untuk tidak melayan permainan perasaan demi menjaga ego berada dalam kerugian. Benar-benar rugi kerana perasaan yang menggerakkan filem ini. Ia bagai sos lada hitam pada burger Prosperity, burger jadi automatik tak sedap bila tiada sos itu.
Saya ucapkan pergi mampus buat persoalan CGI. Saya tidak berminat mengulasnya. Cuma saya ingin beritahu, filem ini banyak dosanya, terutamanya pada perincian. Namun, pengakhiran filem ini adalah taubat nasuha, segala dosa kecil itu wajib diampunkan dengan taubat tersebut!
Beban jangka waktu yang panjang berjaya dipikul Kabir. Filem ini tidak terkejar-kejar seperti lazimnya filem Skop Productions walaupun terpaksa memasukkan banyak babak dalam banyak era berlainan.
Tidak banyak filem atau novel yang mempunyai pengakhiran yang sangat baik sebegini. Novel Fahmi Mustaffa selalu gagal dalam hal ini, haha. Tapi berbeza dengan filem ini.
Pengakhirannya menakjubkan. Ada elemen kejutan, plot-twist dan pencerahan.
Babak penuh magis adalah babak tarian atas sampan dan terjunan Othman di laut Singapura. Ada sesuatu yang memukau.
Update : Terlupa tentang satu kata. Perkataan Pulang mempunyai makna yang besar dalam filem ini. Siapa yang akan tonton, carilah makna kata ini ketika menonton.
Pembukaan bulan sinema Malaysia (ni aku sendiri reka, tak ada pun sebenarnya, haha) yang sangat baik. Seterusnya ada Hantu Kak Limah, Mencari Rahmat dan One, Two, Jaga. Ayuh raikan sinema Malaysia!
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 8 Ogos 2018
Comentarios