top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

PANDANG DI MATAMU DENGAN MATAMU, BUKAN MATA SUFIAN SUHAIMI



Peh, steady juga tajuk aku. Kikiki


Baiklah. Aku sebenarnya seronok mahu terus bercerita tentang AJL, walaupun aku belum tengok habis. Seronok baca pelbagai pendapat tentang acara tahunan ini, terutamanya tentang persembahan Sufian Suhaimi semalam.


Ada tadi aku baca orang samakan Sufian macam Zainuddin dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wick. Menarik juga, tapi aku tak setuju. Huhu


Aku fikir ramai antara kita yang menafsir hasil seni dengan cara yang bagi aku, tak patut. Tapi ini bukanlah perbahasan benar-salah, cuma apa yang aku fikir lebih patut.


Contohnya, tentang status yang samakan Sufian dengan Zainuddin tu, ada cubaan yang keras untuk membaca apa dalam fikiran Sufian waktu menulis lagu tu. Aku fikir, ini silap.

Kita sedang membaca hasil seni, bukan esei sejarah. Tidak salah kalau kita mahu faham sejarah lagu itu - proses penciptaannya, peristiwa-peristiwa signifikan seputar penghasilannya - tapi untuk mentafsir - menghayati, mengambil mesej - itu bukan caranya.


Saharil Hasrin Sanin pernah menulis tentang ini, dalam pascakata buku Cerpen-cerpen Underground. Dia memetik hal kefalsafahan, tapi aku tak mahu sampai ke situ.


Bagi aku, dalam menafsir hasil seni, kita perlu tinggalkan proses penghasilan. Lupakan detik karya itu keluar dari rahim penulis/pelukis/pencipta, nikmati detik ia terserap masuk ke rongga-rongga tubuh kita.


Ini lebih afdal kerana setiap orang ada set pengalamannya sendiri. Setiap orang mampu mentafsir sesuatu secara unik, berbeza daripada orang lain.


Hasil seni yang baik mampu membentuk tafsiran yang berbeza-beza. Ia seni; seni tidak sepatutnya keras dan rigid.


Contohnya, semalam bos aku, Husaini beritahu yang Eric Clapton tulis lagu Tears in Heaven selepas anaknya mati. Itu bagaimana ia dihasilkan. Tapi bagaimana ia menyerap masuk ke rongga kau?


Kalau aku, aku tiada pengalaman anak mati. Tapi aku ada pengalaman kehilangan kawan baik. Jadi tafsiran aku adalah tentang kawan baik aku, bagaimana rupanya nanti kalau kami bertemu di syurga. Itu belum masuk soal agama aku yang berbeza dengan Eric. Tafsiran kami tentang bertemu di syurga akan berbeza mengikut dogma agama yang kami percaya.

Tanggungjawab Eric adalah membuka ruang orang berfikir tentang syurga, kehilangan, tangisan dan ingatan. Tanggungjawab kita pendengar adalah menghayati mesej yang disampaikan mengikut pengetahuan dan pengalaman kita.


Sebab itu, kita tidak perlu kisah apa sebenarnya cerita Sufian dan Elfira yang melatari penciptaan lagu Di Matamu itu. Biar ia jadi cerita dalam kepala Sufian dan Elfira, manakala kita binalah cerita kita sendiri dalam kepala kita. Aku percaya, itu lebih bermakna.


Begitulah aku fikir cara yang lebih afdal untuk menafsir hasil seni. Kalau tidak nanti, kita akan terperangkap dalam perbahasan spekulatif dan pascabenar (post-truth). Sibuk nak tahu apa dalam kepala orang sampai kita abaikan apa dalam kepala kita.


*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 4 Februari 2019

2 views0 comments

Recent Posts

See All

Yorumlar


bottom of page