KALAU anda mula minat indie sekitar tahun 2005 hingga 2010, anda pasti biasa mendengar saluran radio XFM.
Dulu-dulu mana ada Spotify untuk kita strim lagu dari telefon bimbit kan? Telefon pun belum tentu ada. Jadi radiolah yang menjadi teman setia.
XFM memainkan peranan besar dalam perkembangan scene indie Malaysia. Sekitar tahun itu, XFM mengangkat banyak kugiran dengan memutarkan lagu mereka dengan kerap.
Buat yang biasa dengar XFM, pasti mereka tahu tentang Brader Lev.
Brader Lev adalah watak dalam satu segmen di XFM yang berperanan memberikan nasihat berkaitan percintaan kepada pendengar. Senang cerita, dia ni doktor cinta la.
Pelbagai kisah cinta diluahkan pendengar kepada Brader Lev. Dari kisah kecewa ditinggalkan kekasih sehinggalah pergaduhan antara pasangan.
Dalam kalangan pendengar, Brader Lev dianggap sebagai jaksa pendamai yang menjernihkan hubungan pasangan yang sedang keruh.
Memandangkan sasaran radio ini adalah pendengar muda, nasihat-nasihat yang disampaikan Brader Lev diterima baik kerana ia bertepatan dengan jiwa yang muda dan moden.
Segmen Brader Lev yang paling diingati pastilah kisah seorang penjual burger bernama Samad yang ditinggalkan tunangnya kerana tiada harta.
Rakaman perbualan itu yang dimuat naik ke laman Youtube setakat hari ini telah mendapat 27,000 tontonan.
Kisah itu mendapat perhatian kerana ramai yang simpati kepada Samad apabila tunangnya tanpa berselindung mengaku mahu memutuskan pertunangan dengan Samad kerana lelaki itu hanya mencari rezeki dengan menjual burger.
Brader Lev ketika dalam talian dengan Samad berjaya menelefon tunang lelaki itu dan sedikit pergaduhan berlaku sebelum Brader Lev sendiri menegur sikap tunang Samad yang materialistik.
Rakaman perbualan ini turut digunakan kugiran Jemson dalam lagu mereka, Lagu Paling Kecewa Dalam Dunia baru-baru ini. Betul-betul menggamit memori!
Satu lagi perkata menarik tentang Brader Lev adalah identitinya masih tidak diketahui umum sehingga sekarang.
Walaupun stesen radio itu telah menamatkan siarannya lapan tahun lalu, tidak ada sesiapa yang mahu mendedahkan identiti Brader Lev.
Walau siapa pun anda Brader Lev, kami mengucapkan terima kasih kerana mewarnai usia muda kami dengan nasihat-nasihat cinta!
*Disiarkan di KitaReporters.com pada
Comments