top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

MAGIS KATA DALAM LANGIT MENEDUHMU



Ada beberapa kepuasan yang sukar untuk diucap dengan kata-kata apabila mendengar lagu ini.


Pertama, vokal penyanyi ini. Sudah lama kita tak dengar vokal maskulin sebegini. Di Barat masih ramai kerana pengaruh muzik country begitu kuat, terutamanya di Amerika Syarikat. Penyanyi lagu country beginilah bunyinya. Maskulin, keras, tapi berjiwa.


Di Indonesia, mereka ada Iksan Skuter. Muziknya lebih ke arah folk dan rock. Tapi vokalnya beginilah, keras dan maskulin.


Apabila sesuatu yang keras dan maskulin merintih dalam nyanyian, ia mudah menyentuh jiwa kita. Seperti seorang bapa yang kelakunya sentiasa tegas dan garang. Apabila dia menangis, dengan mudah air mata kita ikut jatuh.


Kedua, liriknya. Dalam penerangan video ini, ada disertakan lirik lagu. Empat rangkap yang berat dengan makna dan emosi.


Pendek sahaja, tetapi ia cukup. Merintih tak perlu panjang-panjang.


Sekali lagi, Guitarnjali mempamerkan watak lelaki yang klasik. Lelaki tidak merintih, maka lagu ini juga tidak merintih.


Tetapi mengapa dari tadi saya tulis tentang rintihan?


Begitulah cara Guitarnjali merintih. Lirik lagu ini pada lapis luarnya adalah sebuah pujukan. Menenangkan seseorang. “Sabarlah, langit ada,” mungkin begitu pujukannya.


Namun pada lapis kedua, penulis sebenarnya sedang memujuk diri sendiri. Seperti waktu kau dalam tekanan dan berseorangan, kau ucapkan kata-kata motivasi buat diri kau sendiri. Begitulah lagu ini.


Maka, ia sebenarnya adalah rintihan. Rintihan yang diselindung oleh ego seorang lelaki klasik.


Ketiga, langit. Langit adalah suatu simbolisme sufistik. Ustaz Wan Ji ketika membedah lagu Cermin Mimpi (boleh cari videonya di Youtube) memberitahu sufi mempunyai dua aliran, iaitu Ibnu Arabi dan Jalaluddin Rumi. Dalam aliran Ibnu Arabi, simbolisme Tuhan adalah laut, manakala Rumi melambangkan Tuhan dengan langit.


Saya tak tahu sama ada penulis lirik ini memang mendapat ilham menggunakan perlambangan langit melalui ilmu sufi hasil pembacaannya tentang Rumi atau tidak, tapi saya agak pasti langit yang dimaksudkan dalam lirik ini adalah Tuhan.


Sebenarnya, langit tidak meneduh apa-apa. Teduh yang kita faham, adalah perlindungan dari hujan dan panas. Langit terlalu jauh dan tiada horizon. Ia tidak melindung kita waima dari panas ataupun hujan. Awan yang melindung kita dari panas matahari. Payung dan bumbung meneduh kita dari hujan.


Kemengarutan (absurdity) ini merungkai terus mesej dalam lirik ini. Ia bukti lirik ini tidak literal. Buang terus fahaman literal anda.


Bukan daun yang layu. Bukan waktu yang tidak kembali. Bukan kecewa yang meruntuh. Bukan jiwa yang ingin disandar.


Langit mengingatkan kita pada kebesaran dan keindahan kuasa Tuhan. Keluasannya, cantiknya biru lazuardi pada tubuhnya. Dan walaupun ia jauh serta tidak dapat dicapai, namun ia mampu meneduh kita.


Lagu ini mengingatkan kita kepada agama. Kerana agama dengan kandungan metafiziknya yang memberi kita harapan dan perlindungan ketika satu-persatu perkara fizikal dan logik runtuh dan menghempap tubuh kita.


Ah, terlalu kompleks ayat saya.


Maksud saya, lagu ini adalah untuk mereka yang ditimpa kesusahan sehingga membawa kepada kemurungan. Pada saat-saat itu, kita fikir sudah tidak ada alasan lagi untuk kita teruskan hidup. Namun lagu ini memujuk kita untuk terus percaya, ada kuasa yang di luar batas logik yang akan menjaga dan melindungi kita.


Ramai yang sedang tertekan sekarang. Tidak kiralah anda pelajar yang gagal peperiksaan; anak yang kehilangan ibu ayah; kekasih yang ditinggalkan kekasih atau bapa yang putus punca rezeki kerana kehilangan pekerjaan. Lagu ini untuk anda.


Buah tangan terbaharu Guitarnjali ini perlu disebarluaskan sejauh mungkin. Kerana sayang lagu yang sebegini baik tidak didengar ramai orang.


Jika anda suka pada alunan lagu ini, mohon jasa baik anda untuk kongsikan link lagu ini kepada rakan-rakan mahupun keluarga.


Guitarnjali masih kecil, tetapi ia berpotensi menjadi besar. Semoga perjalan kugiran ini dimudahkan dan dapat menghasilkan lebih banyak lagu yang berkualiti.


*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 6 Januari 2020

0 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page