top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

M. NASIR DAN JEJAKNYA DALAM SCENE INDIE MALAYSIA



Legenda muzik Malaysia, M. Nasir baru selesai menyudahkan konsertnya, Satu Hikayat semalam. Konsert sempena perjalanan seninya selama 40 tahun itu turut mencatat rekod tersendiri apabila menerima sambutan yang sangat hangat sehingga terpaksa dilanjutkan ke hari kedua.


Bercerita tentang M. Nasir, tidak kecil sumbangannya kepada muzik Malaysia. Malah, pada suatu ketika, gaya muzik beliau memberi definisi kepada muzik Malaysia dengan ciptaan lagu berasaskan bunyi Melayu/tradisi disuntik elemen pop menjadikan majoriti pendengar muzik Malaysia mendambakan lagu-lagu berkualiti untuk dibuat halwa telinga.


Mudah kata, kerana penangan M. Nasir, rakyat Malaysia tidak kekok mendengar lagu ‘pelik’ dan ‘unik’. Bayangkan, lagu seperti Kias Fansuri yang sangat pekat pengaruh Arab-nya, ditambah pula dengan lirik yang sangat kompleks boleh diterima peminat muzik secara majoriti. Ia bukan mudah untuk dilakukan sekarang.


Hari ini juga tular satu ungkapan beliau yang dipetik akaun twitter Memoir Muzik Malaya. Ramai yang salah faham dengan apa yang dikatakannya sebagai “Lagu sekarang terlalu mengejar pendengar sehingga kurang kreatif dan tiada lagi eksperimen”. Ramai yang meloncat dan mengemukakan pandangan mereka. Malah ada yang mencadangkan band indie untuk didengar M. Nasir.


Mengenali M. Nasir melalui karya dan sedutan-sedutan wawancaranya, admin tak terfikir langsung beliau sedang mengkritik penggerak scene indie. Jelas, ia ditujukan kepada penggerak muzik arus perdana.


Lihatlah penyanyi-penyanyi yang ada. Hafiz contohnya, lagu Kisah Cinta Kita begitu pekat pengaruh lagu melankolik Indonesia yang dipelopori Virgoun dan sekarang disambung pula oleh Andmesh. Sedangkan dengan kejayaan-kejayaan beliau sebelum ini, Hafiz yang sepatutnya membikin bunyi sendiri dan mempengaruhi penyanyi lain, bukan dipengaruhi dengan begitu nyata oleh penyanyi seberang. Inilah makna “lagu yang terlalu mengejar pendengar”, apabila ada formula lagu yang berjaya popular, yang lain berbondong-bondong mengikut.


Situasi sangat berbeza dalam scene indie. Bunyi yang dihasilkan sangat pelbagai. Ada sahaja bunyi-bunyi yang hampir sama seperti Orkes A. Hizadin dan Loko yang kedengaran seperti Hujan serta Shuuna yang mirip Yuna, namun ia tidak begitu pekat dan ia bukanlah berlaku kerana mengikut trend, sebaliknya pengaruh yang bersifat muzikal.


Admin percaya, jejak yang ditinggalkan M. Nasir dalam scene indie Malaysia bukan kecil anak. Keberanian beliau bereksperimentasi dengan pelbagai jenis muzik diwarisi oleh anak-anak muda dalam scene indie. Malah, cinta beliau kepada muzik Melayu juga menjadi ikutan sekarang. Lihatlah pengaruh Melayu yang ada pada Ramayan, Iqbal M., Monoloque dan Sang Rawi.


Korang tahu tak, idea asal lagu Ghazal Untuk Rabiah sebenarnya adalh muzik Latin? Jamal Abdillah datang bertemu M. Nasir dan memberi cadangan itu, tetapi M. Nasir mencadangkan supaya ia dighazalkan kerana asas muzik Latin dan ghazal tidak jauh beza.


Sempena ulang tahun ke-40 penglibatan M Nasir dalam industri seni ini, marilah kita sama-sama doakan kesihatan beliau dan semoga beliau terus mampu menyumbang kepada perkembangan seni muzik tanah air. Dan pemuzik-pemuzik baharu, kajilah perjalanan seni beliau. Ia adalah inspirasi besar buat kalian yang mewarisi tanggungjawab membijakkan rakyat Malaysia melalui muzik.


Dirgahayu, sifu!


*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 25 November 2019.

1 view0 comments

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page