Sudah menjadi lumrah buat peminat muzik Malaysia, setiap awal tahun ruang media sosial akan didominasi cerita tentang Anugerah Juara Lagu (AJL).
Anugerah yang akan mencecah usia 34 tahun ini tidak pernah gagal untuk mendatangkan keterujaan kepada para peminat.
Selepas ketiadaan Anugerah Industri Muzik (AIM), AJL menjadi tempat rujukan peminat muzik untuk mengetahui lagu-lagu berkualiti yang dihasilkan dalam industri. Walaupun penilaiannya tidak sebaik kategori Lagu Terbaik dalam AIM, sedikit-sebanyak AJL boleh beri gambaran lagu-lagu yang menguasai industri dalam satu-satu tahun.
Kalau dilihat sejarah AJL, setiap penganjurannya memberi gambaran, industri ketika itu dikuasai genre atau bentuk lagu yang bagaimana.
Contohnya, pada awal penganjurannya, lagu berentak balada banyak mendominasi. Ketika itu, kita boleh lihat komposer seperti Manan Ngah, A. Ali dan Ahmad Nawab mendominasi industri. Penyanyi perempuan seperti Francissca Peter, Zaiton Sameon dan Ramlah Ram sangat popular.
Kemudian ia dituruti dengan musim rock apabila kugiran seperti Search, Wings dan Lefthanded menjadi pujaan anak muda. Ia begitu jelas sehingga semua peserta akhir AJL6 pada tahun 1991 adalah penyanyi rock.
Ia membuatkan penganjur mengambil langkah memperkenalkan pecahan kategori untuk mengelakkan dominasi rock pada tahun berikutnya.
Bermula tahun 1994, bermulanya persaingan antara bunyian world music M. Nasir, balada cinta Siti Nurhaliza/Ziana Zain/Ning Baizura dengan irama Malaysia ND Lala. Masing-masing punya pengikut tersendiri dan masing-masing juga menempa kejayaan tersendiri.
Kemenangan Cindai pada 1998 membuka lembaran baharu. Ketika rakyat Malaysia mula mengenal erti moden dan celik teknologi, di lapangan muzik lagu berentak asli pula yang mendominasi.
Pengaruh Allahyarham Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah bersama regunya, Hairul Anuar Harun begitu kuat. Cindai dan Balqis menjadi bukti kehebatan muzik Melayu.
Memasuki milenium, corak muzik yang mendominasi AJL juga berubah. Kejutan kemenangan Aidit Alfian pada 2002 melalui lagu Keliru, walaupun kontroversi, memberi isyarat bahawa rakyat Malaysia sudah berubah selera dan bersedia menerima muzik yang lebih eksperimental.
Sejak 2001, sudah ada beberapa lagu yang disifatkan tidak konvensional berjaya mara ke peringkat akhir.
Antaranya ialah Marilah Maria (Def Gab C - 2001), Julia (Exists - 2002), Cinta (Flop Poppy - 2002), Percayakan Siti (Exists - 2003) dan Akustatik (OAG - 2003). Kemenangan Spider melalui Relaku Pujuk pada 2004 merupakan bibit-bibit awal ledakan muzik underground melanggar mainstream.
Ia diteruskan dengan penampilan Pretty Ugly pada 2006, kemenangan Estranged pada 2007 sebelum mereka mencatat hatrik dua tahun berikutnya dan pastinya, 2008 hingga 2010 yang meriah dengan band indie.
Tahun 2015 adalah sisa-sisa akhir penampilan indie di AJL sebelum ia malap.
Tahun-tahun seterusnya, dari segi pencalonan melihatkan dominasi lagu berentak balada dan kemunculan artis-artis baharu serta sangat muda seperti Sufian Suhaimi, Haqiem Rusli dan Wany Hasrita. Tidak dilupakan penyanyi lelaki popular seperti Black, Hazama dan Akim terus mendapat tempat.
Namun jika diperhatikan, hanya lagu yang berani melanggar kebiasaan dan mempunyai nilai avant-garde sahaja yang akan membuahkan hasil. Contohnya, juara 2016, Lelaki Teragung adalah sebuah power ballad yang sangat kuat. Ia menenggelamkan terus lagu-lagu yang ‘biasa’ seperti Ku Rela Dibenci dan Terakhir.
Begitu juga dengan kemenangan dua kali Hael Husaini dan Ezra Kong. Lagu yang dihasilkan mereka segar, tidak klise serta ada nilai komersial yang sangat tinggi.
Pada 9 Februari ini, malam kemuncak AJL34 akan berlangsung. Keputusan pada malam itu juga sedikit-sebanyak akan menggambarkan siapa komposer serta penyanyi yang mendominasi industri muzik Malaysia pada 2019.
Ia juga boleh membuka ruang untuk dominasi baharu. Manalah tahu jika Aman RA berjaya menang, beliau akan bawa sekali rakan-rakannya seperti K-Clique, Kmy Kmo dan B-Heart menguasai industri muzik Malaysia. Atau mungkin Masdo akan menjadi perintis kebangkitan semula kugiran indie.
Sama-sama kita nantikan ledakannya nanti!
*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 20 Januari 2020
Comments