Dah lama nak tonton Matinya Seorang Patriot tapi susah nak mula sebab mutu gambarnya agak teruk. Taraf 3gp, segalanya kabur. Ya lah, cerita lama. Dan aku download pun di Youtube (maaf, terpaksa download sebab tak tahu nak tonton di mana. Mungkin lepas ni Finas boleh ambil alih tugas Youtube sebagai arkib filem Malaysia).
Baru tonton satu pertiga. Sekejap-sekejap berhenti buat benda lain sebab agak bosan. Ini bukanlah bermakna filem ini tak bagus, ini masalah aku yang susah nak fokus tonton filem berat. Tambah pula dengan masalah visual.
Cuma tadi ada dialog menarik. Watak seorang boss (aku tak dapat tangkap namanya sebab audio pun bergema, entah Encik Hasnul atau apa) yang membantah cadangan persembahan oleh Yuhanis. Yuhanis, menurut seperti yang dikehendaki pelanggan, menyediakan persembahan tarian tradisional. Pelanggannya mahukan persembahan berciri budaya nasional.
Boss itu menolak, katanya dia tak mahu persembahan bersifat perkauman, dia mahu yang universal. Maka dia cadangkan supaya dimasukkan gerak tarian jazz dan ballet.
Yuhanis membantah, sambil mencebik dia berkata : "Tak habis-habis perkauman. Orang berotak sempit sahaja fikir pasal perkauman".
Kemudian datang Saiful. Saiful menyindir dan memberitahu, seni kita itu sebenarnya sudah cukup universal. Menurutnya, lagu joget ada pengaruh Portugis dan Sepanyol. Apabila mendengar lagu inang pula, dia terasa mahu menari chacha dan rumba.
Ini mengingatkan aku kepada klip temuramah bersama Jamal Abdillah dan M. Nasir sebelum persembahan Ghazal Untuk Rabiah di AJL 1997. Menurut mereka, idea asal lagu itu adalah lagu Latin. Ia dikemukakan oleh Jamal. Apabila M. Nasir dengar, dia kata lagu Latin ini rentaknya lebih kurang sahaja seperti ghazal. Maka terhasillah Ghazal Untuk Rabiah.
Tapi itu bukan pokoknya. Aku mahu bercakap tentang budaya. Dialog ini mungkin kritikan Rahim Razali terhadap kecelaruan pemikiran orang Melayu bandar terhadap budaya.
Apa-apa berkaitan Melayu dikatakan perkauman. Kalau itu perkauman, apa lawannya?
Lawannya adalah budaya universal yang dicedok tanpa tapis dari Barat. Mahu melawan 'perkauman Melayu' kita mesti jadi Barat.
Bukankah kritikan terhadap orang Melayu bandar sekitar 1980-an ini masih relevan sehingga sekarang? Lihat bangsa Twitter, semuanya mahu ambil contoh Barat. Bercakap pun seperti Barat, termasuk pemimpin politik muda seperti KJ, Nurul Izzah, Syed Saddiq dan Nik Nazmi.
Asal Melayu sahaja perkauman sehingga celaru soal kebudayaan kebangsaan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu kalau seorang manusia, dia sedang terpuruk di pojok rumah usangnya mengenang dirinya yang tak diendahkan masyarakat. Kalau dia mati,mungkin tidak bernisan. Kalau dijenguk ahli politik pun, ia dengan tujuan untuk mengubah rupanya. Disolek dan disuntik untuk jadi muda sedangkan rupa tuanya itu elok sahaja. Sihat dan karismatik.
Persejagatan itu laut. Kita boleh bersuka ria bermandi-manda menikmatinya. Namun jangan lemas dibadai ombaknya. Teguhlah berdiri disokong akar budaya kebangsaan yang kuat.
Terima kasih Rahim Razali atas skrip filem yang begitu kuat (penilaian pramatang selepas tonton satu pertiga filem).
*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 10 April 2019
Comments