top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

KL SPECIAL FORCE : BIAR BETUL POLIS MALAYSIA BEGITU?



Filem ini mungkin filem tempatan yang paling disebut-sebut sekarang. Jenama Skop Productions, Syafiq Yusof, Syamsul Yusof dan Fattah Amin buat orang teruja nak tengok wayang. Aku tak terkecuali, tapi bukanlah sebab nama-nama yang disebut tu. Tujuan aku tonton akan aku tulis di hujung status ini.


Cuma harus diingat, ini pendapat aku sahaja, bukan ulasan filem profesional.


1. Logika


Filem ini bagi aku filem aksi-hiburan. 80% kandungannya adalah aksi yang dibikin dengan niat untuk menghiburkan. Sebab itu ada pendapat sebelum ini yang kata filem ini bingit. Memang bingit, terlalu banyak bunyi tembakan dan letupan.


Tapi hendak dibanding aksi filem ini dengan filem Hollywood, masih jauh lagi. Tak mengapa, bukan itu yang dituntut pun. Cukuplah kalau aksinya menarik, buat jantung pam darah dengan lebih laju dan paling penting, biarlah logik.


Aksi tembak-menembak dalam filem ini kurang logik. Terlalu banyak peluru dilepaskan, tetapi terlalu sedikit yang kena sasaran. Yang menembak pula dalam kedudukan terbuka, tapi masih tak kena sasaran.


Jalan ceritanya juga tidak memuaskan logik akal. Polisnya terlalu lemah akal. Mudah betul ditipu, mudah betul dimanipulasi.


2. Polis


Aku fikir negara kita dalam keadaan bahaya jika kualiti polis kita sama seperti yang digambarkan dalam filem ini. Polis dalam filem ini kurang kemahiran, emosional dan bodoh.


Aku fikir, dalam 1,000 tembakan yang dilepaskan, tak kira dari polis atau penjenayah, hanya 10 yang kena pada sasaran. Begitu nisbahnya. Babak dalam kondominium, ada tiga penjenayah guna machine-gun, tiga polis guna pistol dan seorang pengawal keselamatan juga guna machine-gun (agaknya, aku tak pasti), tapi punyalah lambat nak bagi salah seorangnya terkena tembakan. Polis dan penjenayah ni belajar menembak dekat siapa?


Kita perlu semak semula, dalam latihan menembak polis, KPI mereka perlu menembak kena sasaran sebanyak berapa peratus? Teruk sangat prestasi polis KLSF ni.


Dan tuan-tuan, Roslan, seorang polis berpengalaman yang mengetuai kes rompakan besar-besaran, pergi tembak musuh yang ada jauh nun di bangunan sebelah guna pistol! Guna pistol. Kawan sebelah tu tembak dia guna sniper, dia guna pistol?


Polis yang ramai-ramai tu tak sepatutnya mati pun. Mereka cuma lawan 4 orang penjenayah yang tak reti menembak pun. Main tala je tembak, sebijik pun tak kena. Macam mana polis boleh kalah ni?


Belum cerita Supritendan tu. Dia tak tahu bitcoin tu apa. Dia bagi arahan macam cikgu disiplin marah budak suruh beratur masa perhimpunan. Aduh, kesian Shaharudin Tamby kena berlakon watak tu.


Dan dalam filem ini, ada cubaan untuk menunjukkan beberapa orang polis dimanipulasi fikirannya oleh seorang penjenayah yang bijak. Tapi cubaan tu tak berjaya. Polis tu dimanipulasi bukan sebab penjenayah tu bijak, tapi sebab polis tu bodoh.


3. Anarki


Bolehlah dikira sebagai cubaan yang baik, tapi masih tak berjaya bagi aku. Ashraff hanyalah seorang anarki poseur sebenarnya. Kononnya nak tegakkan keadilan, tapi masa jumpa mak dia, katanya, "Mak, kami dah kaya sekarang". Kepala bana betul anarki macam tu.


Lambang A anarki, topeng Guy Fawkes, semua itu hanyalah kosmetik. Aku tak fikir akal penjenayah anarkis selemah ini.


Ambil sahaja sejarah Guy Fawkes itu dibuat contoh, adakah setanding anarkisnya dengan Ashraff? Fawkes buat pelan nak bom Parlimen woih, guna jalan subway. Ashraff buat apa? Rompak bank buat beli kemeja mahal nak dipakai waktu tembak polis?


Yang paling sedih, Ashraff sang anarkis membunuh dan merompak demi melempias dendam peribadi. Taklah anarkis mana nampaknya.


Pengisian falsafah dalam filem ini masih kurang. Ada, tetapi lemah.


Ada cubaan untuk gambarkan betapa terkejutnya seorang lelaki dengan realiti dunia selepas mendengar syarahan seorang anarkis, sampai jadi gila, tapi lemah. Realiti dunia tu kau boleh jumpa dalam sangat banyak buku dan filem, tak perlu ada seorang anarkis sembur kau depan-depan baru kau sedar. Kesimpulan aku hanya satu, lelaki itu lemah akal dan malas membaca, sebab tu dia baru sedar.


4. Penyelamat


Seperti biasa, filem Malaysia sering sahaja diselamatkan oleh pelakon. Rosyam Nor sangat cemerlang. Begitu juga Esma Daniel, Syamsul dan Fattah Amin.


Lepas tonton filem ini, aku fikir Fattah ada potensi untuk jadi pelakon aksi terbaik di Malaysia. Dia dah ada pakej - rupa, figure dan reputasi. Belajar martial art setahun dua, buat body, berlakon filem baik-baik. Memang boleh pegi jauh.


30 minit terakhir filem ini juga jadi penyelamat. Bermula dari babak Rosyam Nor sujud, sehingga ke akhir, tempo filem berubah dan menjadi lebih sedap. Walaupun masih belum cukup sedap, haha.


Akhirnya, filem ini tak berjaya capai jangkaan aku. Masih kosong. Pengalaman menonton Tombiruo lebih menarik. Aku tak tahu orang lain, tapi aku fikir dari segi skrip, Syafiq boleh rujuk filem dan telemovie geng Razaisyam Rashid/Redza Minhat/Rewan Ishak/Nik Amir Mustapha. Mereka lebih bijak mencipta dialog yang beri kesan besar pada penonton. Filem sebegini sesuai dimasukkan dialog yang berfalsafah. Seperti Dark Knight Rises, contohnya.

Syafiq juga boleh ambil ilham babak aksi dari filem seperti The Raid. Tak dapat sesempurna itu, ambil ilham logik dan realistiknya pun sudah cukup.


Baiklah, tujuan aku tonton ni ada beberapa. Pertama, aku perlu tonton supaya aku boleh buat perbandingan antara filem ni dengan filem One, Two, Jaga nanti. Kedua-duanya filem tentang polis, sebab tu nak bandingkan. Kedua, ramai yang mengulas dan ada yang memuji, jadi aku nak tonton sendiri. Ketiga, usaha buat filem sebegini perlu disokong. Sekurang-kurangnya taklah macam Badang, kan?


Untuk yang nak menonton, silakanlah. Boleh la korang nilai sendiri nanti.


*Disiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 14 Mac 2018

31 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page