top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

FOLK GAYA KEMBARA DAN CEBISANNYA YANG TERTINGGAL HARI INI



Masih tentang M. Nasir. Teachable moment yang wujud waktu ramai memperkatakan tentang beliau ketika ini eloklah dimanfaatkan sepenuhnya.


M. Nasir memulakan langkahnya dalam bidang muzik secara solo, melalui album Untuk Pencinta Seni menggunakan nama Mohamad MN. Sebagaimana tidak komersialnya nama Mohamad MN itu, album itu juga tidak begitu menjadi.


Beliau seterusnya membentuk kumpulan vokal harmoni bernama Kembara bersama A. Ali dan S. Sahlan. Admin mahu mengulas tentang kumpulan ini.


Genre folk rock yang dibawakan Kembara tidaklah komersial. Pada tahun penubuhannya, 1981, corong radio Malaysia lebih didominasi lagu pop dan rock seperti yang didendangkan kumpulan Sweet Charity serta Allahyarham Sudirman.


Namun, Kembara tetap mahu memperjuangkan muzik mereka, iaitu muzik rakyat. Semangatnya sama seperti watak Bujang/Jebat dalam filem Kembara Seniman Jalanan.


Genre folk antara genre yang paling lama bertahan di dunia. Namun, ia berevolusi seiring dengan perkembangan zaman dan perubahan pemikiran masyarakat. Ia juga bervariasi mengikut budaya setempat. Di Amerika Syarikat bunyi folk-nya lain, di Indonesia juga berbeza.


Kembara memberi definisi kepada bunyi folk Malaysia circa 80-an dan 90-an. Liriknya banyak bercerita tentang kelas pekerja, baik di bandar mahupun desa. Ia seiring dengan perkembangan industri yang membadai Malaysia sekitar dua dekad itu.


Maka terhasillah lagu seperti Impian Seorang Nelayan dan Senandung Buruh Kasar. Lagu-lagu seperti ini mewakili suara rakyat terbanyak sekali gus menjadikan ia popular dalam kalangan masyarakat.


Kembara juga menghasilkan lagu dengan tema pop seperti percintaan, namun ia lebih berseni dan puitis. Dengarkan sahaja Sekuntum Bunga Plastik dan Keroncong Untuk Ana 1 & 2 (boleh sahaja lagu-lagu ini difahami dengan mesej yang berlainan, namun secara kasarnya ia boleh dikaitkan dengan percintaan).


Kecekalan Kembara menghasilkan lagu yang merakyat perlu dirai. Banyak lagi lagu tentang masyarakat terbanyak dihasilkan seperti Ekspres Rakyat, Di Perhentian Puduraya, Duit malah Penjual Surat Khabar.


Namun, tema lagu sebegini tidak lagi menjadi pilihan kugiran dan penyanyi baharu. Ada tetapi tidak popular dan penghasilannya tidak seprolifik Kembara.


Panji genre folk diteruskan oleh kugiran seperti Mafidz serta penyanyi solo seperti Bayangan (Fikri Fadzil), Azmyl Yunor dan Meor Pesta Jiwa. Azmyl Yunor dan Meor ada juga hasilkan lagu-lagu tentang kelas pekerja namun ia kurang mendapat perhatian. Para rider Foodpanda, pekerja kilang dan buruh kontrak tidak bersiul lagu mereka ketika rehat makan tengah hari.


Mafidz dan Bayangan pula lebih popular dengan lagu tentang perasaan, yang lebih bersifat individualistik.


Adakah lagi lagu tentang kelas pekerja? Ada, contohnya lagu Sarapan dari Spooky Wet Dreams. Juga mungkin ada didendangkan kugiran yang lebih underground seperti Ayam Hitam. Dulu ada lagu Gundah dari Hujan dan La La La Kerjalah dari Meet Uncle Hussein.


Namun, jangan salah faham. Bukanlah admin mahu pemuzik seperti Mafidz dan Bayangan menghasilkan lagu-lagu seperti Kembara. Seni tidak berjalan begitu. Paksa-paksa hanya akan mencacatkan hasil seni kerana ia tidak dibuat dengan motivasi organik dari penggiat itu sendiri.


Ia sebenarnya persoalan zaman. Seperti yang disebut tadi, genre folk itu sendiri berevolusi mengikut zaman. Setiap zaman ada persoalannya tersendiri.


Perihal kelas pekerja pada zaman ini lebih banyak dibincangkan dalam wacana politik. Ini kerana kita mencari penyelesaian sistem kepada masalah pekerja dan ia paling mampu dicapai melalui jalan politik.


Nilai komersial muzik pula akan ditentukan oleh kehendak pendengar. Dengan seribu satu tekanan hidup yang ditanggung masyarakat kini, mendengar muzik yang dibebani mesej berat bukanlah pilihan popular. Masyarakat lebih berminat melayan persoalan abstrak seperti perasaan sedih, cinta dan murung berbanding hal-hal real seperti dilema kerja dan penindasan.


Biarpun tidak lagi pekat, namun masih ada cebisan pengaruh Kembara dalam muzik tempatan. Ia tidak akan luput, sebaliknya hanya menunggu masa untuk bangkit semula.


Admin percaya, suatu masa nanti lagu-lagu yang merai kelas pekerja akan menjadi siulan semula .


Hidup makin susah. Suatu hari nanti, kesusahan itu akan disalurkan dalam bentuk seni - baik muzik, filem mahupun lukisan. Ketika itu, hal remeh seperti putus cinta akan di-pergi-mampus-kan.


Ketika itu, cebisan-cebisan legasi Kembara akan bersatu dan menumbuh megah.


Kembara akan kekal membentuk satu episod gemilang muzik Malaysia. Legasi folk-rock kumpulan ini perlu terus dirai dan diwacanakan. Semoga anak muda kita terus mengambil tahu tentang legenda ini. Amin.


*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 26 November 2019

2 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page