KU SYAFIQ KU FOZI
KUGIRAN super (supergroup) bukanlah istilah yang asing dalam industri muzik Malaysia, terutamanya bagi kugiran rock.
Awal 1990-an, Mus yang keluar dari kumpulan May membentuk satu kugiran baharu yang diberi nama Strangers. Dalam kugiran itu, Mus berpadu tenaga dengan tiga lagi ahli yang sudah menempa nama bersama kugiran masing-masing, iaitu Black (dram/Wings); Aznan (gitar/Saturnine) dan Bard (bass/Handy Black).
Kugiran itu berjaya merakamkan satu album selain tampil dalam tiga album kompilasi. Tidak begitu berjaya dan dikenali, namun ia satu pahatan sejarah yang menarik untuk muzik rock negara.
Kebangkitan gelombang kedua indie sekitar 10 tahun lalu membentuk lebih banyak kugiran super. Ada yang kekal dan ada yang ditubuhkan berasaskan projek lalu terus menyepi.
Antara yang diingati ialah projek Angkatan Pemuzik Indie (API) yang digerakkan pengasas Butterfingers, Loque. Selain Loque, kugiran super ini dibarisi nama-nama besar seperti Noh (vokal/Hujan); Azlan (vokal/Azlan & The Typewriter); Din Hormatov (gitar/Estranged); Imran (dram/One Buck Short) dan AJ (bass/Pop Shuvit).
Satu lagi kugiran super yang semakin menempa nama kini ialah Toko Kilat.
Ditubuhkan pada 2016, Toko Kilat adalah ‘reunion’ pemuzik-pemuzik handalan gelombang kedua indie yang bergabung dan bersedia merempuh masuk lalu mencipta nama dalam gelombang ketiga.
Diterajui bekas vokalis kugiran rock alternatif/noise pop, They Will Kill Us All, Edwin Raj, Toko Kilat turut dianggotai Irfan Iskandar (dram/Bittersweet/The Times); Redzuan Hussin (bass/Force Vormit/Moods); Azhari (gitar/Laila’s Lounge) dan Paul (keyboard/The Padangs).
Dengan status anggotanya yang bukan calang-calang, tidak hairanlah muzik Toko Kilat kedengaran begitu matang dan terkehadapan bagi sebuah kugiran baharu.
Trek Pemacu Api yang dikeluarkan pada 2016 mempunyai kualiti rakaman yang sangat baik dan susunan muzik yang segar. Ia trek yang sempurna untuk memperkenalkan Toko Kilat dalam industri.
Kembali membentuk sebuah kugiran pada usia lewat 30-an adalah satu tindakan yang berani buat kelima-lima anggota Toko Kilat. Tapi itu belum cukup gila. Jelajah Pemacu Api 2019 lebih gila. Jelajah ini dipromosikan sebagai jelajah yang melawan arus dan dihasilkan dalam fesyen tersendiri.
Bagi peminat yang hanya membaca atau menonton video tentang jelajah ini, sukar untuk anda tafsir apa yang dimaksudkan Toko Kilat dengan jelajah dalam fesyen tersendiri mereka ini. Namun bagi yang hadir menonton sendiri persembahan mereka, jawapan akan segera berlegar dalam kepala.
Jelajah yang turut menampilkan vokalis Hujan, Noh Salleh ini bermula di Loft 29, Georgetown, Pulau Pinang pada 17 Ogos; Sunway Iskandar, Nusajaya, Johor pada 24 Ogos dan ditamatkan di The Gasket Alley, Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada 14 September.
Menurut Edwin, sambutan terhadap jelajah ini semakin baik dari venue pertama hingga ketiga. Persembahan terakhir mereka di The Gasket Alley dihadiri kira-kira 1,000 peminat. Tiket habis dijual. Suasananya sangat meriah.
Jangkaan awal penulis, kebanyakan yang hadir adalah untuk menonton Noh. Ia dapat dilihat daripada ‘uniform’ kebanyakan peminat yang berkumpul di luar venue sebelum persembahan bermula. Rata-ratanya memakai baju hitam Hikari Riders.
Jika mahu dibandingkan nama Noh dengan Toko Kilat, tidak hairanlah jika itu situasinya. Tambahan pula, ketika persembahan pembukaan oleh Noh ruang memang sudah hampir penuh.
Noh memulakan persembahan akustiknya dengan lagu Di Kala Bulan Bermain Biola dari album Hujan, Lonely Soldier Boy (2011). Ini mungkin 'lagu belanja' dari Noh kerana mengikut senarai persembahan, Noh hanya akan menyanyikan lagu dari album solonya.
Tetapi ternyata Noh bijak. Dia mungkin sedar, yang hadir persembahan malam itu juga ramai dari kalangan peminat gelombang kedua memandangkan nama anggota Toko Kilat sememangnya dikenali pada zaman itu.
Selepas lagu pertama, Noh kembali kepada senarai persembahan asal dengan lagu Sang Penikam dan Biar Seribu dari album Angin Kencang (2014). Lagu-lagu bergenre french pop itu ternyata sangat cocok dimainkan secara akustik, ditambah dengan alunan seruling oleh Jasmine dan gesekan cello Mariam Lisa yang menangkap syahdu.
Kemudian, Noh sekali lagi mengimbau kenangan dengan lagu Kotak Hati (Lonely Soldier Boy, 2011), antara lagu Hujan yang paling berbekas di hati para peminat.
Persembahan dilanjutkan dengan lagu Renjana, salah satu daripada tiga lagu tambahan dalam album Angin Kencang yang dilancarkan semula pada 2017; Bunga di Telinga dan menutup persembahan dengan trek 'berhantu', Angin Kencang.
Persembahan Noh boleh dikira berjaya apabila rata-rata penonton terhibur bukan sahaja dengan persembahan dan permainan lampu yang memukau, malah telatah spontan Noh mengendalikan persembahan.
Acara berehat seketika sementara menunggu Toko Kilat bersedia. Telatah Ahmad Syafiq Zakaria selaku pengacara menghiburkan, dan ia memudahkan peralihan mood dari suasana tenang hasil persembahan akustik Noh kepada situasi 'riot' yang akan dibawa Toko Kilat selepas itu.
Riot benar-benar riot. Persembahan Toko Kilat dibuka dengan paparan logo berwarna merah kugiran itu di belakang pentas. Persembahan dibuka dengan lagu Satu Suara - lagu berjiwa paling 'muda' dalam EP Toko Kilat (2019).
Ketika ini penonton sudah menggila. Sistem bunyi pada malam itu sangat memuaskan. Ia ditambah dengan bantuan visual dari set pentas dan pencahayaan yang setaraf konsert.
Toko Kilat mempersembahan keenam-enam lagu dari EP Toko Kilat - Satu Suara, Pemacu Api, Nahas, Ratu Malam, Kabur dan Gema. Selain itu, empat lagu yang tidak ditampilkan dalam EP tersebut turut dimainkan, iaitu Detik, Penjuru, Kesan dan Bahaya.
Persembahan pada malam itu ternyata memuaskan hati peminat, cocok dengan statusnya sebagai persembahan kemuncak untuk Jelajah Pemacu Api 2019.
Jika diteliti setiap trek yang dimainkan pada malam itu, ia bukanlah bunyi yang begitu asing kepada peminat muzik rock. Ada kedengaran pengaruh daripada beberapa kugiran terkenal dunia dalam lagu dan gaya permainan mereka.
Namun yang menonjol dan berpotensi menjadi 'cop mohor' Toko Kilat adalah ketukan dram Irfan dan vokal keras Edwin. Ia membentuk 'bunyi Toko Kilat'.
Jelajah Pemacu Api 2019 adalah kerja gila kerana dalam usia kugiran yang sangat muda, Toko Kilat berani menganjurkan jelajah yang besar. Tiketnya boleh dikira mahal bagi kugiran indie. Malah set pentas yang digunakan bukan taraf gig, ia konsert.
Toko Kilat mengadakan konsert dalam venue gig. Bagi penulis, itulah fesyen tersendiri mereka.
Comments