top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

DILEMA ORANG TERPINGGIR DAN KOMPLEKS HERO SI ALI DALAM EJEN ALI



(Awas, banyak spoiler)

. . . . . . .

Admin memang teruja nak tonton Ejen Ali The Movie: Misi Neo. Untuk itu, admin habiskan banyak masa tonton keseluruhan dua musim siri Ejen Ali yang tak pernah ditonton sebelum ini.


Ternyata pengalaman menontonnya sangat memuaskan. Ia memuaskan kerana segala yang penonton siri ingin tahu, dimuatkan dalam filem. Penonton siri pastilah ingin tahu, bagaimana Ketua Teras Tekno, Dayang dan Ketua Teras Kombat, Ganz berlawan. Begitu juga Jeneral Rama. Hebat sangatkah lelaki India ini berlawan sehingga boleh jadi Jeneral? Apa sebenarnya jadi pada mak Ali? Semuanya terlunas dalam filem ini.


Sejak musim pertama siri, graf keterujaan menonton menaik. Dari ruang kecil sekitar Ali, Alicia, Bakar dan Rizwan, ia diperbesarkan dengan pengenalan watak-watak lain dalam ruang lebih besar. Semuanya berkembang, baik watak baik mahupun jahat.


Sejujurnya, admin fikir Analogman akan memainkan peranan besar sebagai antagonis melihatkan senjata yang digunakan penjahat dalam kapal terbang serta penglibatan golongan di Pinggiran Cyberaya. Dalam siri, hanya Analogman yang pernah membangkitkan masalah golongan di Pinggiran Cyberaya.


Namun, watak Niki pula yang diwujudkan. Dan ia lebih menarik. Plot twist tentang watak Niki menghentak pegangan moral kita. Ia seperti yang dimainkan dalam filem One Two Jaga. Bezanya One Two Jaga tidak meletakkan kompas - tiada jawapan siapa baik siapa jahat - dan Ejen Ali berbuat sebaliknya.


Pengarah menjalankan tugas baik apabila persoalan-persoalan berat dalam filem ini disadur dengan hiburan yang sarat. Orang yang tak mahu fikir berat-berat boleh layan, orang yang suka fikir berat-berat pun boleh layan.


Separuh kedua filem ini dipenuhi dengan konflik bandar metropolitan Cyberaya dengan kawasan pinggiran. Fahmi Mustaffa pernah menampilkan persoalan ini dengan cara lebih ekstrem melalui novel Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan.


Sejak musim pertama sirinya, kita tidak pernah diperkenalkan dengan keadaan golongan di kawasan pinggiran. Semuanya tentang Cyberaya yang serba canggih dan moden. Seperti Raudhah dalam Syukur 21.


Langkah tepat oleh pihak produksi untuk memperkenalkan kawasan pinggiran dalam filem ini. Ia masalah terbesar Cyberaya. Lebih besar berbanding dendam kesumat Djin dan konflik jiwa Rizwan.


Niki ini, kalau kau mahu, bolehlah dikatakan sebagai orang jahat yang merupakan orang baik yang tersakiti. Namun, sifat kejamnya kepada Aliya telah mematikan label itu. Kau boleh jadi Robin Hood yang merompak si kaya untuk memakmurkan hidup si miskin, namun kekejaman kau terhadap orang yang pernah berbuat baik kepada kau telah memuktamadkan bahawa kau sepenuhnya telah dirasuk iblis. Tiada baiknya pada orang yang hatinya penuh hitam dikotori dendam.


Sifat anarkis Niki dan pasukannya tidakpun dipersetujui sepenuhnya oleh penghuni pinggiran. Mak Yah tak setuju dengan caranya. Anarkis songsang Niki dan pasukannya ditentang pemikiran konservatif Mak Yah dan Aliya.


Namun, persoalan anarkisme Ejen Ali jauh lebih baik daripada KL Special Force yang bukan sahaja menyimpang jauh dari fahaman sebenar, malah menghina fahaman anarkisme itu sendiri.


Proses kematangan Ali diceritakan dengan baik dalam filem ini. Sejak dari siri, kita sering dipertontonkan dengan konflik dalaman diri Ali. Tapi kali ini konfliknya lebih besar. Dialog Alicia di kedai mamak yang mengingatkan Ali bahawa masalah yang mereka hadapi bukan tentang Ali, adalah sangat penting.


Walaupun nampak seperti Ali bantu Niki kerana mahu bantu penduduk pinggiran, ia sebenarnya lebih tentang Ali sendiri. Ali mahu mencari kepuasan diri dengan membantu orang. Ini dipanggil Hero Complex. Penyakit ini banyak menjangkiti aktivis sosial sekarang. Mahu bantu orang demi kepuasan diri sehingga tidak mengambil kira apa kesan keputusannya kepada komuniti yang ingin dibantu.


Untuk faham hal ini, boleh baca ulasan Asri Yusoff tentang Cita Sempurna dan Cita Bencana hasil idea Syed Hussein Alatas di sini: https://www.facebook.com/100009464825516/posts/2526494831009320?d=n&sfns=mo. Ringkasnya, Cita Sempurna tidak boleh dicapai melalui jalan yang dicampur baur dengan Cita Bencana.


Watak Niki juga mengingatkan admin kepada watak Vulture dalam Spiderman: Homecoming. Namun, krisisnya berbeza. Vulture lebih kepada krisis pekerjaan, sebab tu admin tulis tentang Universal Basic Income di sini : https://www.facebook.com/100001476793628/posts/1496158843776661?d=n&sfns=mo.


Admin sebenarnya tak sabar nak tunggu Festival Filem Malaysia atau Anugerah Skrin ni. Sebab nampak gayanya Ejen Ali boleh jadi filem animasi pertama menang anugerah Filem Terbaik di Malaysia.


P/s: Admin belum sentuh lagi tentang nilai kekeluargaan dalam filem ni sebab nanti jadi panjang sangat haha.


*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 11 Disember 2019.

1 view0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page