One Two Jaga (OTJ) sudah pasti tak mampu memecahkan rekod kutipan Hantu Kak Limah dan Munafik. Silap-silap, filem ini juga mungkin akan tewas dalam festival atau anugerah filem yang akan dianjurkan nanti. Ketepikan semua itu kerana filem ini sudah pun mencipta sejarahnya yang tersendiri.
Dari siri Gerak Khas, Roda-roda Kuala Lumpur sehingga ke filem-filem seperti KL Special Force dan Polis Evo, karya seni tentang polis sering sahaja mengangkat sisi romantis dan heroik seorang polis. Karya seni sebegini dilihat cuba mengangkat kerjaya polis bagi menggalakkan lebih ramai warga untuk menjadikan polis sebagai kerjaya cita-cita. Namun, yang bersejarahnya, OTJ mengajar perkara yang berbeza - bagaimana untuk mengisi cita-cita menjadi polis dan apa batas moral yang perlu disemat dalam diri setiap warga yang mahu menjadikan kerjaya polis sebagai cita-cita.
Jika generasi yang akan ke Pulapol nanti sejak awal sudah tanam azam untuk tidak menjadi polis perasuah, menjadi lebih Hussein berbanding Hassan secara moral, negara perlu berterima kasih kepada produksi OTJ.
Seperti yang ditulis Karim Mohd, filem ini mencabar kompas moral kita. Pada akhir filem, kita berkecamuk memikirkan siapa yang baik dan siapa yang jahat. Setiap watak penting ada tindakan baik dan jahatnya, dan ada sebab mengapa bertindak demikian. Dan filem ini tiada hero.
Filem ini mengangkat warga imigran. Karya seni pertama aku baca yang berjaya mengubah persepsi aku terhadap imigran ialah novel Dalam Mihrab Cinta karya Habiburrahman El Shirazy.
Kali ini, filem ini bawa semangat yang sama. Warga imigran sangat dibenci sebahagian orang tempatan, tapi tiada yang mahu faham kedudukan mereka.
Warga imigran adalah lubuk duit bagi manusia-manusia korup - polis perasuah dan kapitalis celaka. Adi begitu gigih menanam semangat perjuangan pada warga ini. Hormat Adi pada Sugiman patut direnung dalam-dalam.
Dialog pertengkaran Sugiman dan Sumiati sangat signifikan. Sugiman diakui sering mempunyai perancangan yang baik tetapi Sumiati skeptikal pada persekitaran mereka. Sumiati tahu persekitaran yang serba zalim pada mereka akan gagalkan rancangan Sugiman untuk Joko. Sugiman pula optimis, ada wang semua gampang. Pada akhirnya, Sumiati betul.
Sugiman sangat hormat pada Pak Sarip. Dia pekerja yang sangat baik - sentiasa rujuk Pak Sarip, selalu pastikan kerjanya selesai walaupun terpaksa melangkau waktu makan. Pada akhirnya, hanya Pak Sarip yang dapat menenangkan beliau. Pak Sarip di mata Sugiman adalah bapa yang selalu membantu dan ada penyelesaian untuk masalah. Namun, bapa yang sama juga memeras wang Sugiman. Kos untuk Pak Mail hantar pulang Sumiati hanya RM500, tapi Pak Sarip minta sehingga RM1,000. Pak Sarip ni baik ke jahat?
Begitu juga dengan watak lain. Pada akhir cerita, kita akan bertanya, dia ni baik ke jahat? Persoalan ini yang menggugat kompas moral kita, seperti kata Karim.
Filem sebegini perlu dirai kewujudannya dalam sinema Malaysia. Mungkin kupasan sisi gelap kepolisannya tidak segelap The Raid Redemption dan The Raid Berandal, tapi sisi yang lebih mikro ini lebih dekat pada diri kita dan kebanyakan rakyat Malaysia.
Ini bukan filem yang mengotorkan imej polis. Imej polis, pada sesetengah golongan, memang sudah lama kotor pun, tapi ia kotor dengan cakap-cakap dan bisik-bisik. Filem ini memaparkan realitinya namun ia tidak akan buat orang takut jadi polis atau benci polis. Kecuali kalau polis itu memang korup.
Filem ini membuat kita berfikir dan membentuk batas moral - mengikut acuan pengalaman kita - yang perlu dipegang para polis dan bakal polis.
Filem ini ada ciri didaktiknya namun halus. Poetic justicenya tidak terbentuk dalam layar, sebaliknya dalam kepala penonton.
Cuba tonton Songlap. Ia filem yang memaparkan sisi gelap kota - pelacuran, pemerdagangan manusia, dadah, hutang, judi. Tapi ia tidak menggalakkan kita masuk ke lembah itu, malah ia buat kita seram dan takut nak menghampiri lembah itu. Begitu juga caranya OTJ menjadi didaktik. Ia hanya mengajar jika penonton berfikir. Kalau penonton masuk dan keluar tanpa sebarang renungan, tidak ada apa-apa yang filem ini ajarkan.
Semoga filem ini mampu mendapat kutipan yang baik dan memperoleh anugerah yang selayaknya. Buat yang belum tonton, silalah tonton. Ia pengalaman yang sangat segar.
*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 11 September 2018
Comments