Bermula di pentas tugasan mingguan Akademi Seni Kebangsaan (ASK), kini menjadi legenda.
Tiada siapa sangka sebuah kugiran yang dahulunya hanya bermain dalam gig kecil-kecilan kini menjadi besar sehingga menjadi inspirasi buat banyak kugiran dan penyanyi lain.
Itulah Hujan. Ahlinya bertukar ganti, malah setiap ahli tetapnya kini turut bermain dengan kugiran lain serta giat menggerakkan projek solo. Namun nama Hujan tetap diingati dan akan dijerit serta disorak apabila membuat persembahan.
Penutup 2019 pastilah indah buat Hujan apabila mereka diangkat sebagai Artis Dekad Ini dalam majlis anugerah Tapau Awards yang berlangsung di The Bee, Publika Jumaat lalu.
Hujan ditubuhkan pada 2005 oleh vokalisnya, Noh Salleh dan gitaris, AG Coco. Perkenalan dalam Myspace dilanjutkan dengan persembahan pertama mereka di ASK (kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan - Aswara) untuk tugasan mingguan AG.
Anggota tetap Hujan kini berjumlah empat orang, dengan Noh sebagai vokalis, AG sebagai gitaris, Izzat Uzaini di posisi bass manakala Azham Ahmad sebagai pemain dram.
Mengekalkan pengaruh Hujan bukanlah mudah memandangkan kugiran itu bukanlah satu-satunya fokus ahlinya.
AG mempunyai perniagaan studio sendiri, Kamar Seni Studio untuk diuruskan. Noh pula semakin aktif dengan projek solonya manakala Azham turut bermain dram untuk kugiran Masdo.
Namun, Hujan tidak pernah putus mengeluarkan produk. Terbaharu, album keenam mereka, Pelangi Dan Kau akan dilancarkan pada Januari ini.
Dek kesungguhan dan pengaruh yang ditinggalkan Hujan dalam industri, Tapau Awards telah memilih mereka sebagai Artis Dekad Ini.
Penghargaan yang lebih besar apabila penyanyi Malaysia yang terkenal di seluruh dunia, Yuna diberi kesempatan untuk menyampaikan anugerah tersebut kepada mereka.
Yuna ketika menyampaikan anugerah itu berkata, kewujudan Hujan kira-kira sepuluh tahun lalu sebagai peneraju kebangkitan artis-artis indie telah membuka jalan kepada penyanyi sepertinya untuk mempersembahkan karyanya kepada orang ramai, seterusnya menempa kejayaan dalam industri muzik.
“Apabila mereka masuk dalam scene, semua orang tergila-gilakan mereka dan anda tak boleh endahkan mereka kerana kehadiran mereka begitu besar.
“Kerana mereka saya ada di sini. Kerana mereka, anda juga ada di sini, buat apa yang anda buat hari ini. Kalau tidak kita masih di bilik tidur, tulis muzik dan tak tahu apa akan jadi pada karya kita,” katanya.
-habis-
*Disiarkan di KitaReporters.com pada 30 Disember 2019
Comments