Aku dah tonton filem Busker tadi. Aku pun tak tahu kenapa semangat sangat nak pergi. Mungkin terkesan dengan kegagalan menonton Jibam, maka aku bertekad nak tonton filem tempatan di pawagam.
Dalam kamar pawagam tu tadi ada lima orang termasuk aku. Aku sorang je lelaki.
Aku tak seronok menonton tadi. Sebab aku bukanlah selalu menonton di pawagam, dan aku ada jangkaan tersendiri apabila menonton di pawagam. Semua ini kesan doktrin watak Berg dalam filem Terbaik Dari Langit, "Layarnya besar, jadi idea pun kena besar!", lebih kurang begitu dialognya. Malangnya idea dalam filem Busker tidak cukup besar.
Dosa terbesar filem ini adalah menjadikan tema cinta sebagai penggerak utama. Dari awal penonton dah disogok konflik cinta Adil-Mel, kemudian Daniel-Vera, dan seperti dijangka, ditutup dengan konflik Adil-Vera, Ucop-Norli. Ideanya klise. Kau boleh agak apa akan terjadi selepas satu babak.
Sebab tu orang tua-tua berpesan, menyeluk pekasam biar sampai pangkal lengan. Walaupun penggerak utamanya cinta, tapi tema cinta tak diseluk habis-habisan. Ia sepatutnya pekat, likat dan sedap, tetapi ia mencair akibat dicampur dengan tema lain seperti muzik dan persahabatan. Boleh sahaja ketiga-tiga tema ini digaul sebati tetapi ia perlukan kemahiran dan kesenian (kehalusan). Nampaknya pengarahnya kurang mahir, atau mungkin belum mahir.
Promosinya juga banyak tentang muzik. Itu yang menarik minat aku sebenarnya. Tapi malangnya muzik hanya kosmetik dalam filem ini. Cuma kosmetiknya taklah comot, agak mencantikkan juga. Terutamanya peranan lirik dalam menyampaikan cerita.
Yang menyelamatkan filem ini ada dua orang, Anas Ridzuan dan Loque. Anas seperti biasa, sangat menghiburkan. Wataknya begitulah, seperti dia dalam CEO. Tak banyak bezanya.Monoloque pula berperanan baik sebagai pengarah muzik filem ini. Lagu-lagunya menarik dan sedap.
Filem ini ringan, sesuailah untuk tonton suka-suka. Mungkin jangkaan aku terlalu tinggi. Buat yang mahu menonton, masih sempat lagi. Silakanlah. Cuma kalau kau berminat nak tonton kerana trailer, dalam panggung kau akan tertanya, ini filem muzik ke filem cinta anak muda?
Sekian pandangan peribadi tentang filem ini.
*DIsiarkan di Facebook Ku Syafiq pada 16 Januari 2018
Comments