top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

#AJL34 ULAS LAGU: PENEMAN



Untuk penyertaan ketujuh Hazama dalam final Anugerah Juara Lagu, penyanyi bersuara serak basah ini mempertaruhkan lagu Peneman ciptaan sepenuhnya oleh Tam Spider.


Dah lama sebenarnya kita tak dengar lagu ciptaan Tam. Biasanya lagu ciptaan Tam ni ada keistimewaannya yang tersendiri.


Apabila mendengar lagu Peneman ni, memang ketara air tangan Tam. Bunyinya sangat dekat dengan lagu-lagu Spider yang pernah popular suatu masa dulu.


Kali terakhir Tam layak ke final AJL sebagai komposer adalah pada AJL29 melalui lagu Di Pintu Syurga nyanyian Dayang Nurfaizah. Lagu itu berjaya mendapat tempat ketiga.


Jika hendak diramal adakah lagu Peneman mampu mendapat tempat dalam AJL34, ia sangat bergantung kepada perspektif juri.


Ini kerana lagu Peneman ini mempunyai lirik yang sangat kuat. Liriknya boleh dikatakan langka kerana sudah tidak ramai yang menggunakan formula lirik sebegini dalam lagu yang popular sekarang.


Formula yang dimaksudkan adalah menggunakan lirik yang mempunyai lebih dari satu lapis makna. Lirik sebegini biasa digunakan oleh arwah Loloq dan penulis lirik lagu rock 90-an.


Boleh dengar ulasan admin tentang lirik sebegini dalam video ini: https://youtu.be/y8-HXECZc-c


Dalam lirik Peneman ini, tanda-tanda bahawa lirik ini berlapis makna adalah pada permainan timbal balik perasaan antara penulis dengan subjek yang seakan-akan bukan sesama manusia.


Ia terlihat dalam baris “sebuah hati yang mengharapkan kasihmu” dan “memang benar cinta itu ada untukku”.


Ada beza antara kata “kasih” dengan “cinta”. Cinta merujuk kepada rasa sayang yang sangat mendalam dan biasanya dikaitkan dengan hubungan lelaki dan wanita. Kasih juga bermaksud sayang tetapi ada unsur belas atau kasihan, menjadikan ia lebih sesuai merujuk rasa sayang antara ahli keluarga atau antara manusia dengan Tuhan.


Apabila dipasangkan dengan kata “mengharapkan”, ia sangat cocok untuk dirujuk sebagai pengharapan kita terhadap kasih Tuhan.


Untuk baris kedua itu pula, ia tentang keyakinan kita bahawa ada zat yang sentiasa mencintai diri kita. Sebenarnya, agak sukar untuk kita sepenuhnya yakin seorang manusia mencintai kita. Tetapi kita wajib percaya, cinta Tuhan sentiasa ada untuk kita.


Kedua-dua baris ini yang paling jelas menunjukkan lagu ini ada unsur ketuhanan. Namun ia tidak disampaikan secara direct, sebaliknya dilapis dengan makna yang lain.


Lirik yang sangat baik ini menjadi kekuatan lagu Peneman. Namun ia tetap ada kelemahannya.


Kelemahannya adalah pada melodi lagu ini yang agak ‘basi’.


Jika lagu ini diterbitkan 15 tahun lalu, ia akan meletup malah mungkin mampu memenangi AJL. Namun pada tahun 2019, nilai komersialnya sudah kurang dan ia tidak begitu relevan.

Namun, seperti yang admin katakan tadi, ia bergantung kepada perspektif juri. Jika juri mengambil kira melodi lagu ini yang agak membelakangi zaman, sukar untuk ia mendapat tempat. Tapi jika juri berfikir sebaliknya, Tam dan Hazama ada peluang.


Itu pandangan admin tentang lagu Peneman. Pandangan anda pula bagaimana?

Dan anda mahu admin ulas finalis yang mana satu pula selepas ini?


*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 25 Januari 2020

0 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page