KURANG sebulan lagi, 2019 bakal melabuhkan tirai.
Ternyata tahun terakhir dekad 2010-an ini melihatkan kebangkitan banyak kugiran indie yang semakin mendapat perhatian.
Berikut merupakan tiga kugiran yang dijangka cemerlang pada tahun hadapan.
1. MARGOSA
Boleh dikira sebagai kugiran super (superband) kerana menggabungkan ahli yang terlebih dahulu mencipta nama bersama kugiran lain sebelum ini. Paling dikenali pastilah pasangan kembar Raja Nazrin Shah dan Raja Nazmin Shah yang mencipta nama bersama kugiran post-hardcore, Sekumpulan Orang Gila.
Margosa mula popular melalui lagu Kotacinta yang video muziknya kini sudah mengumpul lebih 108,000 tontonan di Youtube.
Baru-baru ini, kugiran ini meriliskan dua lagi lagu, iaitu Luka Baru dan Abadi Tak Semestinya Indah. Video muzik Abadi Tak Semestinya Indah pula akan menemui peminat pada 12 Disember ini.
Vokal mantap Resya Rahman serta pakej muzik pop yang dibawakan mereka bukan sahaja akan meletakkan mereka dalam kelas tersendiri dalam ‘scene’ indie, malah diyakini mampu memikat telinga pendengar arus perdana.
2. TOKO KILAT
Satu lagi kugiran super. Toko Kilat melancarkan perjalanan muzik mereka secara gilang-gemilang melalui Jelajah Pemacu Api 2019 yang berakhir September lalu.
Dianggotai pemuzik berpengalaman, bunyian yang dihasilkan Toko Kilat sangat sofistikated dan berkarisma. Jika anda berkenalan dengan satu persatu anggotanya, anda akan faham mengapa karya dan persembahan mereka begitu matang.
Kredibiliti mereka bermain live sudah terbukti melalui Jelajah Pemacu Api. EP swatajuk (self-titled) mereka juga membuktikan kemampuan kugiran ini untuk menghasilkan rakaman yang berkualiti.
Hanya tinggal satu perkara untuk dibuktikan : mampukah mereka kekal relevan dan bertahan selama mungkin dalam industri. Ini akan menjadi pemacu untuk kecemerlangan mereka tahun hadapan.
3. MASDO
Ya, mungkin agak klise. Masdo sudah terlalu terkenal sehingga meletakkan mereka dalam senarai ini seperti tidak adil kepada kugiran lain. Namun, yang baik tetap perlu dipuji.
Masdo bakal membuka tahun hadapan dengan persembahan sulung mereka dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) apabila lagu Dinda selamat mara ke peringkat akhir. Vokalis Kapow, Fahimi dalam Junkzine meramalkan Masdo akan menang AJL dan kemenangan itu akan memacu kebangkitan gelombang indie Malaysia. Mungkinkah terjadi?
Namun, persembahan di AJL bukanlah perkara terbaik akan terjadi kepada Masdo tahun hadapan. Lebih besar lagi, album kedua mereka akan dirilis!
Album ini sangat istimewa kerana ia dirakamkan di Studio Abbey Road, London. Menurut Noh Salleh dalam rancangan Korek Fizikal, album ini sangat berkualiti dan beliau sendiri teruja menantinya.
-habis-
*Disiarkan di KitaReporters.com pada 13 Disember 2019
Comments