Asma tidak dapat menahan tangis. Mukanya ditekup dan air matanya berjuraian jatuh.
Dia mahu duduk tapi pinggulnya sudah terletak elok di atas tilam. Dia kembali ke bilik hostelnya.
"Kenapa kau menangis?" soal Gee, rakan sebiliknya.
Asma keliru. Dia memandang ke setiap pojok biliknya bagi mencari Zubaidah. Tidak kelihatan.
Dia meluru ke luar bilik, mencari di segenap ruang yang ada di rumahnya. Tiada Siti Zubaidah.
Tiada kebaya hitam, kain batik dan sanggul keria.
Dalam kekeliruan, Asma cuba menenangkan diri.
“Mimpi ni. Haihh,” dia cuba menenangkan diri.
Malamnya berlalu tanpa sebarang tanda kehadiran semula Zubaidah. Asma semakin yakin yang dia hanya bermimpi.
Keesokannya dia ke kelas seperti biasa. Menjelang tengah hari, dia mahu ke perpustakaan untuk menyiapkan tugasan. Sudah menjadi kebiasaan, dia berseorangan. Begitu caranya untuk fokus, tidak mahu berteman.
Sengaja dia melalui Tadahan Selatan untuk ke perpustakaan. Mahu melihat bilik kuliah seperti dalam mimpinya sebelum ini. Bilik kuliah tempat Zubaidah dan Encik Faizal bertemu.
Tiada apa yang aneh. Perasaannya sama sahaja seperti melihat kawasan itu sebelum-sebelum ini. Tiada kesurupan. Bulu romanya elok terlentok baring.
Suhu rendah dalam perpustakaan membuatkan dia mahu buang air. Belum sampai 10 minit dia sudah kesejukan.
Tingkat paling atas perpustakaan itu memang tidak ramai orang. Ramai yang malas mahu mendaki tangga agaknya. Kalau ada pun, beberapa pelajar perempuan yang membelek novel dan beberapa lagi yang menyendiri dalam bilik karel.
Asma selesa duduk di meja panjang yang berdekatan dengan surau serta tandas.
Selesai melangsaikan hajat, Asma membasuh muka. Suasana dalam tandas itu agak kelam, ada lampu yang rosak.
Kedinginan air menyegarkan wajah Asma. Tiga basuhan sudah cukup. Dia membuka mata dan memandang cermin.
“Sejak bila dagu aku ada tahi lalat?” getusnya dalam hati. Dia memang tidak pernah ada tahi lalat pada muka. Dan anehnya, tahi lalat itu seperti biasa dilihat. Seperti ada pada seseorang, tapi dia tidak ingat.
Keluar tandas, Asma tercegat. Di meja tempat dia duduk tadi ada seorang wanita. Dia kenal wanita itu.
Itu Zubaidah.
Zubaidah duduk tersenyum memandang Asma. Dia mengangguk-angguk. Suaranya tidak kedengaran tetapi Asma dapat membaca gerak bibirnya. Dia mengajak Asma duduk.
Asma seperti tidak percaya. Dia mengalihkan pandangan ke belakang. Matanya dipejam rapat dan di dalam hati dia memohon agar apa yang dilihat itu hanya bayangan.
Perlahan-lahan dia membuka mata dan memandang semula. Zubaidah sudah tiada.
“Kenapa takut?”
Asma terloncat. Bisikan Zubaidah yang betul-betul di telinga kirinya sangat mengejutkan. Jantungnya hampir luruh.
“Asma, sabar. Ini saya, Zubaidah. Kita kan dah berjumpa semalam,” Zubaidah memujuk dan mendekatkan diri.
“Awak nak apa?” Asma sedikit menengking. Nadanya agak tinggi. Mungkin dia sudah penat menjadi keliru. Dua hari ini sangat memenatkan fikirannya.
Riak wajah Zubaidah berubah. Dia sedikit menunduk.
“Saya ingatkan, tangisan Asma semalam tangisan yang ikhlas. Saya betul-betul fikir, Asma kasihankan saya selepas tahu cerita saya.
“Tak pernah saya jangka, saya akan dimarahi begini. Maafkan saya jika menyusahkan, atau menakutkan Asma. Bukan niat saya semua tu,” Zubaidah merintih. Wajahnya menunduk.
Setitis demi setitis cecair merah jatuh ke lantai. Asma cemas, ia seperti darah.
“Zu...Zubaidah,” panggil Asma.
Zubaidah memandang dengan wajah sugul. Dari hujung matanya mengalir darah. Dia menangis darah.
Asma menjerit ketakutan. Dia cuba mencari orang lain yang ada di dalam perpustakaan itu tetapi ia kosong. Tiada makhluk langsung. Yang ada hanya susunan buku dan lukisan hiasan tergantung di dinding.
“Asma jangan takut. Jangan takut,” Zubaidah memujuk sambil memegang kedua-dua tangan Asma.
“Sudah berpuluh tahun saya begini. Menangis darah setiap hari. Saya tidak tenang. Saya tidak boleh tenang,” Asma terus mendengar rintihan Zubaidah sambil menutup mata. Imej itu terlalu menakutkan untuk ditatap lama, apatah lagi dalam jarak dekat sebegitu.
“Asma kena bantu saya. Asma saja harapan saya,” Zubaidah terus merayu.
“Saya merayu, bantulah saya,” genggaman pada tangan Asma semakin kuat. Esak tangis Zubaidah juga semakin galak. Darah membasahi kebayanya.
“Saya nak bantu macam mana, Zubaidah?” Asma akhirnya bersuara. Matanya sudah dibuka tetapi mukanya keras menghadap lantai. Dia masih belum berani memandang Zubaidah.
“Betul Asma mahu bantu?” Zubaidah mengelap darah pada pipinya. Ada sedikit senyum terukir pada wajahnya.
“Saya akan bantu setakat apa yang saya boleh bantu,” kata Asma.
“Terima kasih Asma,” Zubaidah meletakkan dahinya pada kedua-dua tangan Asma yang masih dipegang kemas.
“Asma masih ingat kan bagaimana saya dibunuh? Erni memang kejam. Tak cukup menjerut leher saya dengan rantai emas saya sendiri, perut saya ditikam.
“Cucuk sanggul itu Asma. Itu harta warisan keluarga kami. Walaupun kami susah, harta itu tetap saya jaga rapi. Itu amanah arwah ibu saya.
“Sejak keturunan nenek moyang kami, cucuk sanggul itu yang dipakai ketika menari. Ia ada semangatnya, yang memberi keyakinan apabila kami menari.
“Asma, saya tak akan tenang selagi cucuk sanggul itu tidak dikembalikan ke tanah keluarga kami. Asma kena bantu saya,” Zubaidah merayu.
Asma kebingungan. Sudah 30 tahun peristiwa pembunuhan Zubaidah. Ia juga bahan bukti pembunuhan. Takkan tiada siapa yang jumpa cucuk sanggul itu.
Bersambung.....
*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 1 November 2019
Comentários