top of page

DI TENGAH-TENGAH RUMPUN LALANG INI

Writer: KU SYAFIQ KU FOZIKU SYAFIQ KU FOZI



Tiada siapa yang suka pada kerimasan dan kelemasan seperti kita yang setiap hari mengharapkan keselesaan dan kedamaian


Namun di tengah-tengah rumpun lalang ini rimas dan lemas adalah parasit yang melekat di belakang tubuh tiada pilihan buat kita yang tersesat yang jahil yang bakhil


Semalam anak jiranku membakar rentung tubuh rakan sebayanya


Jika di tangan ini punya sabit berbilah tajam nescaya akan kutetas lalang-lalang yang tegak berdiri ini namun di tanganku hanya ada jejari di atas kekunci sebuah ilusi keberdayaan pemesongan kepercayaan


Kelmarin adik kenalanku menekap seterika di tubuh rakan sepengajiannya


Pergerakanku terbatas kerana lalang-lalang ini daunnya tajam namun mulutku masih berfungsi penuh maka biar aku jerit : ARGHHHHHHH!!!!!! aku laung : YAHHHHHHHHHHH!!!!!!! aku pekik : HAAAAAAAAAAAAAA!!!!!!! namun lalang masih tegak menggerumuni


Dahulu kenalan ibuku membunuh ahli politik dan mengerat kemaluannya


Dahulu kenalan ayahku memancung leher ayahnya sendiri dan menikam dada adik perempuannya


Dahulu rakan sepejabatku dirogol dan dibuang mayatnya ke gaung di tepi jalan


Dan kini lalang terus hidup dan semakin banyak tiada petugas majlis daerah ingin memotongnya tiada sukarelawan belia ingin mencantasnya dan ia akan terus tumbuh meliar sehingga negara ini tenggelam dalam rimbunan lalang dan kita semua mati kelemasan dan kerimasan mati dalam kesia-siaan mati dalam kejahilan


Seksyen 7, Shah Alam 17/09/17

Recent Posts

See All

댓글


017-8800432

  • facebook

©2020 by KU SYAFIQ KU FOZI. Proudly created with Wix.com

bottom of page