Asma melangkah perlahan-lahan. Sekali-sekala lehernya menjinjang mengintai kelibat pengawal keselamatan. Dia tahu dia bukan nak buat jenayah, cuma dia tak tahu mahu jawab apa jika disoal pengawal nanti. Lebih baik jika tiada siapa yang perasan.
Dari jauh dia sudah boleh lihat pokok besar yang dimaksudkan Zubaidah. Nafas ditarik dalam. “Ini untuk Zubaidah,” bisiknya dalam hati.
Masih ada lima minit sebelum azan Subuh berkumandang. Nasib baik Asma ‘cuti’. Sudah tiga hari datang bulan.
“Allahuakbar...Allahuakbar!”
Asma bergegas menuju ke pokok besar yang diceritakan Zubaidah. Azan masih berlaung. Suasana di sekitar semak itu dingin.
Asma merangkak mencari tompok tanah yang tidak ditumbuhi rumput dan tidak disinggahi daun kering. Tidak terjumpa. Azan semakin menuju penamatnya.
Sekeliling pokok sudah selesai ditawaf namun tiada tompok tanah seperti yang dimaksudkan Zubaidah. Mata Asma melilau mencari, namun tidak berjumpa.
“La ila hailallah....”
Azan tamat.
Pipi Asma terasa sejuk. Ia bagai diusap lembut oleh angin.
“Hihi...”
Asma cemas. Jelas tadi, dia dengar ada wanita tergelak kecil di telinga kirinya. Suara itu jelas, bukan bayangan. Namun tiada sesiapa di situ, hanya dia seorang.
Dalam cemas, Asma ternampak tompok tanah yang bersih. Tiada rumput dan daun kering. Tepat seperti yang digambarkan Zubaidah.
Dia segera berlari ke tompok tanah itu. Berbekalkan sudu besi yang dibawa dari rumah, Asma menggali secepat mungkin. Matanya melilau-lilau memandang ke kiri dan kanan.
Berjaga-jaga. Cemasnya masih belum hilang, malah bertambah-tambah.
Dia hanya mahu ambil cucuk sanggul Zubaidah. Selepas selesai, dia akan pulang dan menunggu arahan seterusnya dari Zubaidah.
Sudunya terlanggar sesuatu yang kenyal. Perlahan-lahan Asma menjenguk ke lubang yang digalinya.
“Aaahhhh!!!” Jeritan Asma mengisi segenap kawasan semak itu.
Hampir gugur jantungnya melihat ada hidung manusia di dalam tanah itu. Ah, cemasnya semakin terpunggah. Berkali-kali dia memandang, cuba untuk memastikan. Benar, ia memang hidung manusia.
Asma cuba untuk bertenang. Nafasnya yang tidak tersusun cuba diatur. Apa pun yang terjadi, dia masih boleh minta bantuan. Dia pasti ada staf UPSI yang sudah di kampus.
Dia melihat ada pergerakan pada hidung manusia tadi. Tanah yang menutupi bahagian lain mukanya perlahan-lahan terselak.
Perlahan-lahan, mata dan bibir manusia itu terlihat.
Nafas Asma kembali tidak teratur. Cemasnya datang semula. Dia dapat rasakan tanah di sekelilingnya seakan bergegar. Gempa kecil yang tak pernah dia alami sebelum ini.
Manusia itu semakin menimbul. Matanya lebam. Mukanya pucat. Ah, dia bukan manusia. Itu mayat seorang wanita!
Asma ketakutan. Dia perlu segera beredar dari situ. Dalam ketar dia mencari langkah untuk berlari.
Langkahnya terhenti. Seluruh tubuhnya terpaku. Buat pertama kali dalam hidup, dia tidak mempercayai matanya.
Ada lebih 10 mayat wanita di sekelilingnya. Terapung tegak. Semua mereka menghalang laluannya untuk keluar dari kawasan itu.
Asma dapat merasakan jantungnya bagai terluruh. Semua talian sarafnya tertekan.
Cemasnya tak tentu hala.
“Asma....”
Ia sebuah rengekan. Dan disusuli tangisan. Datang dari belakang Asma.
“Asma....tolong saya Asma...”
Zubaidah. Itu suara Zubaidah. Asma pasti, itu suara Zubaidah.
“Asma...”
Zubaidah merangkak. Darah mengalir laju dari mata dan hidungnya. Dia teresak-esak menangis meminta bantuan Asma. Tangan kanannya memegang perutnya yang turut berdarah. Tangan kirinya cuba mencapai Asma.
Asma segera berlari ke arah Zubaidah. Perempuan yang sedang sengsara itu dipangku.
“Sabar Zubaidah. Kenapa awak macam ni?” Asma menangis melihat keadaan Zubaidah.
Tangannya sendiri sudah berlumuran darah apabila dia cuba menekan luka pada perut Zubaidah untuk memperlahankan pendarahan.
“Erni...Erni..dia tahu rancangan kita,” suara Zubaidah tersekat-sekat.
Serentak itu kedengaran suara nyaring wanita ketawa. Ia bergema-gema dan bersahut-sahut namun tiada kelibat sesiapa yang kelihatan.
“Asma...awak..awak kena cari...cucuk sanggul tu...”
Asma menangis. Dia tidak menyangka keadaan akan bertukar begini. Tiada ada apa yang logik ada di sekitarnya ketika ini. Dia terperangkap dalam sebuah dunia mistik.
Zubaidah tidak lagi bersuara. Matanya tertutup. Tubuhnya terkulai.
Asma menangis sekuat hati. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya sekarang.
Zubaidah mati. Pergerakannya dibatasi sekumpulan mayat yang terapung. Cucuk sanggul yang dicarinya tidak tahu di mana.
Asma terus menangis dan menangis.
“Awak sudah buat silap.”
Seorang wanita menegur Asma. Dia berdiri tegak di hadapan Asma.
Tubuhnya sedikit gempal. Ia dibalut dengan sepasang kebaya merah pendek bersama kain batik hitam.
“Awak tak sepatutnya datang ke sini. Tak sepatutnya percaya kata-kata Zubaidah.”
Asma masih keliru.
“Awak siapa?” Soal Asma. Suasana kawasan semak itu sudah berubah. Tiada lagi mayat terapung di sekelilingnya. Tiada lagi mayat wanita yang timbul dari tanah. Hanya ada Zubaidah yang di pangkuannya dan wanita itu.
“Saya tidak boleh bantu awak lagi. Dah terlambat. Awak perlu kuat. Jangan biarkan Zubaidah mempermainkan fikiran awak,” wanita itu terus berkata tanpa memperkenalkan dirinya.
Angin tiba-tiba kuat. Daun kering berterbangan. Mata Asma dimasuki butir pasir. Pandangannya terganggu.
“Awak mesti kuat. Lawan Zubaidah!” Suara wanita itu kedengaran sayup-sayup. Ia semakin jauh. Asma menggosok-gosok matanya.
Mata Zubaidah terbuka. Ia terjegil dan kemerahan. Asma menyaksikan itu sebaik sahaja dia membuka mata.
Angin terus bertiup keras. Hampir seperti ribut. Asma yang terkejut cekatan bangun. Zubaidah meluru ke arahnya.
“Mana cucuk sanggul itu? Mana?!” Zubaidah menengking. Urat hijau timbul pada mukanya yang pucat.
“Cakap! Mana cucuk sanggul itu?!” Zubaidah terus mendesak.
“Saya tak tahu. Maafkan saya Zubaidah, saya tak jumpa. Saya...”
Cakap Asma dipotong suara tangisan. Disebelah kirinya, Zubaidah melutut dan menangis.
“Asma...tolong saya cari cucuk sanggul itu...tolong Asma...”
Asma keliru. Ada dua Zubaidah sekarang. Satu yang marah-marah dan satu lagi sedang menangis.
“Hihi...”
Asma segera melihat belakang. Satu lagi Zubaidah.
“Awak tak jumpa kan? Haha...awak memang tak boleh diharap, Asma,” Zubaidah yang ketiga ketawa.
“Asma...”
Zubaidah keempat. Mengisi satu lagi sudut yang kosong.
“Tak apa Asma. Tak apa kalau awak tak jumpa. Saya tak kisah,” Zubaidah keempat memujuk.
Fikiran Asma semakin kacau. Ini terlalu berat untuknya. Dia terduduk menekap telinga. Cuba untuk tidak mendengar kata-kata keempat-empat bayangan Zubaidah di sekelilingnya.
Kata-kata mereka bersahut-sahut. Ada yang marah, ada yang gelak, ada yang menangis dan ada yang memujuk. Asma tidak lagi dapat menahan tekanan.
“Aaaarrrgghhhhh!!!!”
Asma menjerit.
Suasana sunyi. Angin yang deras menderu sudah reda.
“Bodoh.”
Zubaidah menghampiri Asma.
Asma yang terduduk masih teresak-esak menangis.
“Apa semua ni Zubaidah? Apa?” Asma membentak.
“Hahahaha. Bodoh Asma, kau ini bodoh,” Zubaidah tergelak.
“Kau gilakah mahu percaya dengan makhluk seperti aku? Yang sebaik-baik aku adalah sejahat-jahat kau?”
Asma tersentak. Kata-kata itu menangkap fikirannya. Adakah dia dipermainkan Zubaidah?
“Hati kau terlalu lembut. Mudah percaya. Hahahahaha,” Zubaidah terus ketawa.
“Kenapa Zubaidah?” Asma mula menangis semula. Apa yang dialaminya itu benar-benar di luar jangkaannya. Dan dia sangat keliru, mengapa Zubaidah sanggup buat begitu.
“Sejujurnya Asma, aku tidak perlu motif untuk buat begini. Ini adalah hiburan buat aku.
“Melihat manusia seperti kau hilang akal kerana aku adalah sebuah kenikmatan.
“Tapi untuk kau, ia istimewa. Kampus ini tempat nyawa aku diragut. Dengan kejam! Segala memoriku tentang tempat ini pahit!
“Menyeksa mental pelajar seperti kau adalah nikmat yang unggul buat aku. Hahahahaha!”
Asma terus menangis. Fikirannya sangat kacau. Tiada apa yang dapat dihadamnya.
Pengalaman ini sepenuhnya tidak masuk akal. Mengarut!
“Aku harap kau bertemu siuman kau semula, Asma. Haha! Walaupun ia adalah mustahil. Haha!
“Selamat tinggal, Asma.”
Zubaidah lesap. Tiada kesan yang ditinggalkannya. Kawasan semak itu kembali seperti ketika awal Asma tiba di situ pagi tadi.
Beberapa saat selepas itu, Asma pengsan. Pandangannya tiba-tiba gelap.
Sebelah petang itu, Asma ditemui pengawal keselamatan yang membuat rondaan di sekitar Fakulti Muzik. Asma dibawa ke hospital.
Asma selepas peristiwa itu bukan lagi Asma seperti yang dahulu. Dia hilang akal. Peristiwa dia bertemu Zubaidah menghantui sepanjang usianya.
Dia lebih gemar berseorangan dan sering kali, dia meracau-racau tanpa sebab.
Pengajiannya ditamatkan dan kini berada dalam jagaan keluarganya.
Legenda Siti Zubaidah terus menghantui Universiti Pendidikan Sultan Idris. Dikatakan, jelmaan Zubaidah akan muncul setiap kali tarikh 10 Oktober tiba. Namun sebenarnya, makhluk dajal seperti Zubaidah tidak memerlukan tarikh istimewa untuk muncul. Sepanjang masa, ia berusaha menyesatkan manusia.
Sepanjang masa.
-tamat-
*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 15 November 2019
Comments