top of page

RAYUAN SITI ZUBAIDAH: BAHAGIAN EMPAT

Writer: KU SYAFIQ KU FOZIKU SYAFIQ KU FOZI



"Asma....Asma bantu saya ya?" Zubaidah menggenggam tangan Asma dengan lebih kuat.


Dahinya dikerut tanda pengharapan. Darah berhenti mengalir dari hujung matanya. Hanya kesan darah kering melekat di pipinya.


Asma memberanikan diri memandang wajah Zubaidah. Rasa takutnya tenggelam dalam kabus simpati. Jiwa manusia yang menebal dalam diri Asma bagaikan berbisik, memahukan dia membantu wanita malang bernama Zubaidah itu.


"Bagaimana saya nak cari? Dah lama Zubaidah, takkanlah tak ada siapa yang jumpa?"


Saya kasihankan Zubaidah, tapi saya tak tahu. Saya takut saya tak mampu bantu," Asma ikut menggenggam tangan Zubaidah. Kerisauannya lahir hati yang jernih.


"Asma jangan risau. Zubaidah akan bantu.


"Memang ada yang jumpa cucuk sanggul itu. Erma, kakak Erni. Dia sembunyikan cucuk sanggul itu setelah Erni mati," terang Zubaidah.


"Erni mati?"


"Ya, Asma. Erni mati sehari selepas membunuh saya. Apabila orang jumpa mayat saya, seluruh Tanjung Malim kecoh.


"Erni tidak keluar rumah. Dia ketakutan. Akhirnya kerana terlalu tertekan, dia bunuh diri.

"Orang kata, Erma dikunjungi roh Erni empat hari selepas kematiannya. Erni yang beri arahan untuk menyorokkan cucuk sanggul itu. Tiada siapa yang bertemu cucuk sanggul emas itu walaupun polis sudah menggeledah habis tempat saya dibunuh," Zubaidah melanjutkan cerita.


Ia sebenarnya lebih menggusarkan Asma. Nampaknya cucuk sanggul itu bukanlah mudah untuk ditemui.


"Asma jangan risau, Zubaidah akan bantu. Cucuk sanggul itu ada di situ, cuma ilmu Erma yang menyorokkannya. Orang tidak jumpa kerana ada yang jaga," kata Zubaidah.


Ah, ini lebih merunsingkan. Sudah masuk hal mistik. Asma semakin takut.


"Esok, sebelum Subuh, Asma pergi ke kawasan hutan belakang Fakulti Muzik. Tepat waktu azan Subuh berkumandang, cari sebatang pokok besar. Memang hanya ada satu pokok besar di situ.


"Cari tompokan tanah yang tidak ditumbuhi rumput, malah tiada daun kering yang jatuh di atasnya. Cucuk sanggul itu ditanam di situ," jelas Zubaidah. Asma kelihatan ragu-ragu.


"Zubaidah, saya takut. Macam mana kalau ada apa-apa yang terjadi?" Asma berkata.


Zubaidah tidak menerangkan apa-apa tentang 'penjaga' yang disebutkan tadi.


"Asma, jangan risau. Hanya pada waktu Subuh, penjaga itu tiada. Hanya ketika itu, cucuk sanggul itu boleh diambil dari situ.


"Saya berjanji, tidak akan ada apa-apa yang terjadi kepada Asma. Asma percaya pada saya, kan?"


Asma ragu-ragu, tetapi simpatinya mengatasi perasaan-perasaan lain yang ada. Fikirnya, inilah bakti yang boleh disemai kepada Zubaidah yang sekian lama terseksa kerana haknya dirampas orang. Hak terhadap nyawa juga hartanya.


"Saya....percaya," kata Asma.


Sekelip mata itu Zubaidah hilang. Asma kini sedang duduk di meja belajarnya. Di hadapannya ada komputer riba.


Sekali lagi, Zubaidah pergi. Tetapi Asma pasti, ia bukanlah mimpi. Zubaidah betul-betul perlukan bantuannya.


Malam itu, Asma tidak pulang ke kolej. Dia mahu bermalam di perpustakaan dan pergi mencari cucuk sanggul Zubaidah pada waktu Subuh keesokannya.


Kedengaran gila, tetapi Asma sudah nekad. Dia perlu bantu Zubaidah.


Dia perlu bantu Zubaidah.


Bersambung....


*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 8 November 2019

Comments


017-8800432

  • facebook

©2020 by KU SYAFIQ KU FOZI. Proudly created with Wix.com

bottom of page