top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

RAYUAN SITI ZUBAIDAH : BAHAGIAN DUA



Tinggi dusun Bermandi angin Bermandi angin Ampun Tuanku junjungan patik...


Lagu Bentan Telani nyanyian Siti Mariam berkumandang dari dalam bilik kuliah. Ia didengarkan melalui mainan kaset dari sebuah radio klasik.


Di hadapan, duduk seorang lelaki kacak berkaca mata. Wajahnya manis persis Latiff Ibrahim. Duduknya menghadap kira-kira 10 orang pelajar yang rata-ratanya wanita.

"Itu Encik Faizal."


Sapaan Siti Zubaidah dari belakang membuatkan Asma terkejut.


"Dia siapa?" soal Asma. Zubaidah hanya tersenyum.


"Ada siapa tahu lagu ini dari filem mana?" Encik Faizal bertanya. Suaranya sedikit garau dan dalam. Sesuai dengan wajahnya yang maskulin.


Di bahagian belakang, seorang wanita mengangkat tangan. Asma memandangnya lama untuk mendapatkan kepastian.


"Filem Lanchang Kuning, Encik. Lakonan Latiffah Omar," wanita itu menjawab. Rakan-rakannya yang lain memandang penuh takjub.


"Bagus. Masih ada anak muda yang peka dengan karya seni klasik tanah air. Nama kamu siapa?" Encik Faizal bertanya.


"Siti Zubaidah, Encik," wanita itu menjawab dalam sipu.


"Itu...." Asma memandang Zubaidah. Zubaidah hanya mengangguk.


Mereka berdua tiba-tiba berada jauh ke belakang. Bilik kuliah terlihat jauh. Tangan Asma digenggam Zubaidah. Sambil itu dia bercerita.


"Itulah kali pertama saya bertegur sapa dengan Encik Faizal. Dia pensyarah saya, mengajar subjek Tarian Asli. Dah lama saya perhati. Kacak dan lembut tutur kata.


"Dia sudah agak tua. Lewat 30-an ketika kami berkenalan. Tapi Asma, cinta itu buta, kan?


"Kerana minat saya pada filem klasij, kami semakin rapat. Saya sendiri tidak pernah bermimpi akan jatuh cinta pada pensyarah sendiri.


"Gejolak jiwa muda dalam soal cinta, tak boleh ditahan-tahan. Kalau hati sudah mahu, tidak ada kuasa yang dapat menghalang," Zubaidah berkisah.


Asma hanya diam mendengarnya.


"Tapi Asma, saya mula sedar. Sebenarnya, ada kuasa yang dapat halang," Zubaidah menyambung. "Kuasa dengki dan ajal," kata Zubaidah.


Mereka kini berada di perkarangan Fakulti Muzik. Rupanya berbeza seperti yang dikenal Asma. Tiada warna ceria ungu dan merah jambu. Hanya ada kekelaman rona putih dan kuning.


Suasanya di dalamnya agak meriah. Seperti ada acara besar sedang berlangsung.

Kelihatan Zubaidah sedang membetulkan sanggul di bilik persiapan. Dia berkebaya hitam dan berkain batik, serupa busananya dengan yang dipakai ketika dalam bilik hostel Asma.

Seorang wanita menghampiri Zubaidah.


"Itu Khairina, si pengkhianat," Zubaidah berbisik ke telinga kanan Asma. Sekali lagi, Asma terkejut.


Perbualan Zubaidah dengan Khairina tidak begitu didengari, namun riak wajah Zubaidah menggambarkan kerisauan.


"Saya tidak mahu pergi, tetapi Khairina mendesak," Zubaidah berbisik lagi, dengan sedikit esak tangis.


Agak sukar akal Asma mahu menerima apa yang dilihat matanya. Dua manusia yang sama berada di dua tempat berbeza. Satu di dalam bilik persiapan, satu di belakangnya.


Zubaidah keluar dari bilik persiapan dengan tergesa-gesa. Dia menuju ke belakang fakulti.

Sementara Zubaidah yang dibelakangnya memegang bahu Asma untuk menghadapkan tubuh Asma ke arahnya. Dengan suara yang separa berbisik dia berkata,


"Ingat Asma, cinta adalah perasaan terindah yang dikurnia Tuhan kepada kita. Ia bunga paling mekar yang tumbuh dalam hati. Andai sudah dilorongkan Tuhan, tiada salahnya kita mencintai sesiapa pun. Percayalah kepada kuasa cinta."


Seraya itu Asma mendengar suara tengkingan. Mereka kini berada di tebing sungai di belakang Fakulti Muzik.


"Kau tidak boleh bercinta dengan Encik Faizal. Ia dilarang!" Seorang wanita memarahi Zubaidah. Tubuhnya agak gempal. Jari telunjuknya menunjal-nunjal bahu Zubaidah.


"Cuba sedar diri sikit! Awak tu pelajar, asal dari keluarga susah. Lagi mahu bercinta dengan pensyarah. Tak malukah? Ingat Encik Faizal itu ada hati ke dengan awak?" tengkingnya lagi.


Zubaidah nampaknya hanya pasrah.


"Cik Erni, saya tak bersalah. Perasaan itu datang sendiri, saya tiada kuasa menghalang. Encik Faizal sendiri pun mengakui, dia juga cintakan saya," dalam esak tangis Zubaidah memberi penjelasan.


Mata Erni membuntang. "Kau cakap apa?" Zubaidah ditolak jatuh ke tanah.


"Perempuan jalang tak sedar diri. Kau menipu?!" Erni terus menyinga.


"Betul, Cik. Saya tak tipu," Zubaidah merayu. Belum sempat dia meneruskan kata, mukanya ditampar.


"Jangan buat saya begini, Cik," Zubaidah terus ditampar.


Erni mencapai sebatang kayu. Ia diacu ke muka Zubaidah.


"Kau beritahu aku, apa lagi yang Faizal kata pada kau. Apa lagi janji dia pada kau?" Erni terus mendesak. Genggamannya pada batang kayu semakin kuat. Seluruh tubuhnya dikuasai amarah.


"Encik...Encik Faizal berjanji mahu jumpa bapa saya. Cu.. cuti semester ini dia mahu meminang saya."


Batang kayu hinggap ke muka Zubaidah. Darah memercik dari mulutnya. Zubaidah meraung.


Rantai di leher Zubaidah disentap. Lehernya terjerut. Raungannya tersekat-sekat.


"Tidak ada perempuan yang boleh merampas Faizal dari aku! Celaka, kau rosakkan hubungan aku!" Erni mengganas.


Zubaidah kelemasan, wajahnya membiru. Sanggulnya terurai kerana meronta.


Besi sanggul Zubaidah diambil Erni. Tanpa dapat dikawal, Erni menikam-nikam perut Zubaidah. Darah terburai membasahi kebaya hitam.


Ajal tiba di tenggorok Zubaidah sebelum keluar meninggalkan tubuhnya yang lesu dan kaku. Sanggul Zubaidah dicampak jauh. Erni cemas.


Tubuh Zubaidah ditarik dan dibiarkan hanyut mengikut arus sungai. Dengan segera Erni berlari meninggalkan kawasan itu.


Sayup kedengaran lagu Bentan Telani dimainkan dari dalam Fakulti Muzik. Sekumpulan pelajar sedang menari. Mereka kekurangan seorang ahli.


"Sampai ke akhir zaman, aku tidak akan pernah memaafkan Erni dan seluruh keturunannya," kata-kata Zubaidah menyedarkan Asma dari kekagetan.


Asma masih tidak percaya apa yang dilihatnya. Tidak pernah dia menyaksikan aksi pembunuhan, apatah lagi sekejam itu.


Bersambung...


*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 25 Oktober 2019

0 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page