top of page
Writer's pictureKU SYAFIQ KU FOZI

RAYUAN SITI ZUBAIDAH (Bahagian 1)



(Inspirasi dari kisah 10/10 UPSI)


"Assalamualaikum, Asma."


Asma kaget. Seorang wanita jelita duduk sopan di katilnya. Rakan sebiliknya tiada.


"Wa...waalai...kumsalam," Asma terketar menjawab salam. Dia tidak kenal wanita itu. Entah bagaimana dia boleh masuk ke dalam biliknya.


"Duduklah," wanita itu mempelawa. Asma perlahan-lahan duduk di katil rakan sebiliknya. Matanya tidak lekang memandang wanita itu. Senyumannya semacam.


"Tup!"


Pintu biliknya tertutup dengan sendiri. Asma cemas namun wanita itu terus tersenyum.


"Jangan takut. Saya tak makan orang," kata wanita itu sinis.


Bukan itu yang ditakutkan Asma. Ia terlalu liar untuk dibayangkan. Asma cuma takut kerana sepanjang dua minit lalu, situasi yang dialaminya itu sangat aneh. Siapa perempuan itu? Mengapa dia ada dalam bilik Asma? Mengapa rupanya sangat pelik?


Asma memandang dari atas ke bawah. Rambut wanita itu panjang tetapi kemas bersanggul keria. Wajahnya disolek nipis namun cukup anggun untuk meruntuhkan perisai iman mana-mana lelaki. Busananya klasik - kebaya hitam dengan padanan kain batik coklat dan putih.


Sandal bermanik itu pula sangat elegan, menandakan wanita itu bukan calang-calang orang.


"Saya suka menari," kata wanita itu disusuli senyum simpul. Mungkin dia perasan Asma sedang ralit memerhatikan busananya.


Asma merasakan wanita itu sempurna cantiknya, kecuali pada matanya yang sedikit lebam.


"Maaf, akak ni siapa ya?" Asma memberanikan diri bertanya.


"Janganlah panggil kakak. Saya ni tiada umur," katanya. "Nama saya Siti Zubaidah," dia menambah sambil menghulurkan tangan mahu bersalam.


Salamnya disambut. Seraya disentuh, hidung Asma dicucuk wangian kemboja yang kuat.


Buat seketika Asma khayal dibuai bau itu.


"Asma jangan takut. Saya datang ni kerana biji saga yang awak kutip di Kampus Lama tadi.

Sekian lama saya tunggu awak. Akhirnya masa untuk kita bertemu sudah tiba," Zubaidah mendekatkan diri. Haruman kemboja semakin kuat, bertalu-talu menyerang deria bau Asma.


"Biji saga? Kenapa dengan biji saga tu? Saya terambil hak awak ke?" Soal Asma yang semakin keliru.


Memang dia ada mengutip biji saga di Kampus Lama tadi. Tertarik dengan warnanya yang cantik.


"Tidak. Itu bukan hak saya. Cuma bila Asma kutip biji itu, barulah saya boleh datang berjumpa Asma.


"Tak apa, saya tahu Asma keliru. Saya akan ceritakan semuanya. Asma mahu tahu?"


Asma mengangguk dalam ragu. Sebahagian fikirannya takut, sebahagian lagi terlalu penasaran mahu tahu apa yang berlaku.


"Tutup mata Asma. Biar saya ceritakan," kata Zubaidah.


Bagaikan terpukau, Asma menutup mata. Serentak itu dia terasa jari Zubaidah pada dahinya. Matanya tidak lagi boleh dibuka, kelopaknya terlalu berat.


Dalam kegelapan, Asma dapat melihat ada cahaya berbalam-balam menghampir. Ia semakin cerah dan mula menampakkan warna. Merah, kuning, hijau dan biru. Asma silau diserang warna-warna yang semakin cerah.


Dia tiba-tiba berada di hadapan bilik kuliah di Tadahan Selatan.


bersambung...


*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 24 Oktober 2019

0 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page